SEKTOR pelancongan antara sektor paling terkesan sejak penularan Covid-19 merebak di Malaysia. Bagaimanapun, kerajaan tidak lagi mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun menyekat pergerakan ke daerah atau negeri, cuma sempadan... Klik di sini untuk terus membaca

SEKTOR pelancongan antara sektor paling terkesan sejak penularan Covid-19 merebak di Malaysia. Bagaimanapun, kerajaan tidak lagi mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun menyekat pergerakan ke daerah atau negeri, cuma sempadan negara masih ditutup.

Baru-baru ini, sektor pelancongan seperti mendapat suntikan baharu apabila kerajaan bercadang membuka sempadan negara bagi tujuan pelancongan ke negara-negara tertentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekatan pergerakan rakyat ke luar negara boleh dilonggarkan susulan ramai yang telah melengkapkan vaksinasi satu dan dua dos termasuk pengambilan dos penggalak.

Walaupun menyedari industri pelancongan telah mengalami kerugian teruk sejak penularan Covid-19 dua tahun lalu, namun keputusan sama ada sempadan negara boleh dibuka atau tidak masih bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Lidah Pengarang Sin Chew Daily, ketika ini pelancongan domestik telah dibenarkan beroperasi sepenuhnya tetapi ia masih belum memadai bagi membantu sektor-sektor lain yang berkait rapat dengan bidang pelancongan seperti penerbangan, perhotelan, agensi pelancongan dan peruncitan.

"Setiap tahun sekurang-kurangnya 26 juta pelancong asing memasuki negara kita sehingga membawa pulangan lumayan kepada rakyat tempatan, khasnya golongan yang terbabit dalam industri pelancongan. "Malangnya, dalam dua tahun kebelakangan ini, semua sektor perniagaan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan industri pelancongan telah menanggung kerugian cukup besar, malah ada terpaksa menamatkan perniagaan,” tulis akhbar itu.

Minggu lalu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac tanpa keperluan kuarantin wajib.

Menurut Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, syor itu antara yang dikemukakan dalam mesyuarat MPN sebagai langkah penting bagi menyokong pemulihan negara, khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan serta mampu menarik pelabur asing ke Malaysia.

"Sebagai rekod, pada 2019 jumlah pelancong asing yang tiba ke negara kita adalah seramai 26.1 juta orang dan susut 83.5 peratus pada 2020 kepada 4.3 orang.

"Mengikut data Tourism Malaysia, kadar pendapatan negara daripada sektor pelancongan turut merudum 85.3 peratus apabila hanya meraih RM12.69 bilion tahun lalu berbanding RM86.14 bilion pada 2019.

"Purata perbelanjaan per kapita untuk sektor pelancongan yang direkodkan Malaysia tahun lalu pula sebanyak RM2,928, iaitu penurunan 11.3 peratus berbanding RM3,300 pada 2019,” ujar akhbar Cina itu lagi.

Tidak dinafikan, punca utama penurunan ketara ketibaan pelancong asing ke Malaysia adalah disebabkan penutupan sempadan negara sejak 18 Mac tahun lalu.

Akhbar itu turut menjelaskan, walaupun kes penularan Covid-19 kini merekodkan jumlah tinggi, namun kerajaan boleh memikirkan bagaimana melonggarkan syarat kemasukan kepada pelancong asing yang telah lengkap dua dos dan dos penggalak.

"Tahun 2022 seharusnya menjadi tahun pemulihan bagi sektor pelancongan bagi mengelakkannya daripada terus merudum dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih teruk . Ramai orang akan terus hilang kerja jika kerajaan tidak melonggarkan syarat kemasukan pelancong asing ke Malaysia.

"Keadaan ini turut dialami kebanyakan negara di dunia. Sebagai contoh, sejak pandemik melanda, negara jiran kita Singapura telah kehilangan kira-kira 25,000 pekerjaan yang berkait rapat dengan industri pelancongan.

"Kita perlu memikirkan langkah terbaik dengan mengikut jejak langkah sesetengah negara yang telah pun melonggarkan SOP (prosedur operasi standard). Kalau kita masih mengamalkan peraturan ketat, sudah tentu ia beri kesan negatif kepada ekonomi negara termasuk industri pelancongan,” ulas Sin Chew Daily lagi.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca