BIARPUN Pakatan Harapan (PH) pada dasarnya bersetuju menyerahkan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), namun tidak mustahil parti berkenaan akan tewas di semua kawasan berikutan tindakan... Klik di sini untuk terus membaca

BIARPUN Pakatan Harapan (PH) pada dasarnya bersetuju menyerahkan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), namun tidak mustahil parti berkenaan akan tewas di semua kawasan berikutan tindakan sabotaj sesama komponen pembangkang sendiri.

Apakan tidaknya, walaupun proses penamaan calon dan kempen belum bermula sudah ramai pemimpin parti komponen PH lain terutama PKR secara terang-terang mengisytiharkan 'perang dingin' terhadap Muda kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pucuk pimpinan yang menyerahkan parti pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ini terbukti apabila Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis, secara jelas meluahkan rasa tidak puas hati atas keputusan Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kerusi Puteri Wangsa kepada Muda kerana mereka sudah lama melakukan gerak kerja di kawasan terbabit.

Berikutan itu timbul cakap-cakap bahawa besar kemungkinan jentera PKR di kawasan terbabit tidak akan turun padang membantu Muda berkempen di DUN berkenaan selepas penamaan calon nanti.

PELUANG MENANG

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tindakan sabotaj dalam kalangan parti komponen PH sendiri menyebabkan peluang Muda untuk menang kerusi pada PRN Johor nanti semakin tipis.

Beliau berkata, ini kerana Muda tidak mempunyai jentera pilihan raya sendiri dan terpaksa bergantung kepada kekuatan rakan dalam PH terutama PKR, DAP dan Amanah untuk berkempen dan menang kerusi dalam PRN Johor nanti.

Mohd Azizuddin berkata, kemenangan Muda dalam PRN Johor juga bergantung kepada pemilihan calon kerana kebanyakan penduduk dan orang muda di Johor hanya mengenali Syed Saddiq sahaja.

"Jika jentera ketiga-tiga parti gabungan PH berkenaan enggan memberi kerjasama dan berkempen untuknya maka peluang Muda menang di PRN Johor amat tipis. Sebab itulah saya berpandangan peluang Muda untuk menang adalah amat sukar kerana undi mungkin berpecah jika penyokong tegar PH sendiri tidak menyokong calonnya.

"Tambahan pula BN mempunyai kelompok penyokong tegarnya agar besar dan mempunyai kekuatan di hampir semua kerusi DUN di Johor, jadi peluang Muda untuk menang adalah pengantung kepada pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun dan pengundi atas pagar," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium pada Ahad.

Mohd Azizuddin

Sementara itu, Mohd Azizuddin berkata, tindakan PH memberikan kerusi kepada Muda adalah satu tindakan bijak dan strategi politik bagi memenang kerusi majoriti Melayu kerana sokongan kepada pembangkang di Johor semakin menurun.

"Tambahan pula UMNO dilihat mempunyai peluang lebih baik dan kembali menjadi kerajaan negeri selepas PRN nanti. UMNO mempunyai kelebihan untuk menang kerana tidak banyak isu setempat boleh dimainkan PH, selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah tidak bersama pakatan pembangkang sekarang," katanya.

EKSPERIMEN POLITIK

Mohd Azizuddin juga berpandangan PH membuka ruang kepada Muda kerana terdapat peningkatan ketara dalam kalangan pengundi muda berusia antara 18 hingga 21 tahun.

"Malah, terdapat sentimen kuat mengatakan majoriti pengundi muda di kawasan bandar menyokong dan menerima baik penyertaan MUDA dalam PRN Johor kali ini, manakala di luar bandar pula sebaliknya.

"Ini mungkin kerana kebanyakan isu cuba dibawa oleh MUDA kena dengan sentimen pengundi muda di kawasan bandar dan sebab itulah PH bawa parti baru berkenaan masuk. Kebanyakan kerusi diberikan kepada Muda adalah kerusi dikuasai Bersatu dan Amanah," katanya.

Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, tindakan PKR, DAP dan Amanah menyerahkan kerusi kepada Muda dalam PRN Johor adalah eksperimen atau uji kaji politik.

Beliau yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia berkata eksperimen berkenaan penting bagi mengukur sejauh mana kekuatan dan sokongan pengundi terutama golongan muda kepada Muda dan PH menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Kalau kita perhatikan bahawa ini adalah kali pertama Muda turun bertanding dalam pilihan raya, jadi kita tidak tahu sejauh mana kekuatan sebenar mereka sama ada memberangsangkan atau tidak.

"Kemenangan Muda banyak bergantung kepada cara kempen, gerak kerja, kekuatan dan kerjasama diberikan oleh jentera parti pembangkang lain terutama DAP, PKR dan Amanah yang bakal digunakan.

"Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada parti komponen PH terutama PKR akan bersetuju meminjamkan jentera parti kepada Muda. Ini kerana masih ramai dalam kalangan pemimpin dan penyokong setia mereka di bawah sana kurang bersetuju dan marah dengan tindakan PH menyerahkan kerusi boleh menang kepada Muda, sekali gus mengundang tindakan sabotaj sesama sendiri dalam kempen PRN Johor nanti," katanya.

Sivamurugan Pandian

Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, Muda perlu menang beberapa kerusi dalam PRN Johor nanti bukan hanya untuk membuktikan keupayaan sebenar mereka, malah menunjukkan parti itu mampu menjadi wadah perjuangan baharu anak muda di negara ini.

"Memang terlalu awal untuk kita meramalkan keputusan PRN Johor, namun Muda kena buktikan keupayaan mereka dengan menang beberapa kerusi di PRN Johor bagi membukti bahawa mereka bukan sekadar cakap-cakap kosong sahaja kerana secara dasarnya sekarang UMNO dan BN kekal menjadi pilihan utama untuk menang," katanya.

Penganalisis politik merangkap Pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, pula percaya tindakan itu mungkin suatu perhitungan PH untuk mendapatkan sokongan majoriti Melayu memandangkan PH tidak lagi ada parti yang boleh memfokus undi Melayu.

"Dulu usaha berkenaan dilaksanakan oleh Bersatu dan Pas. Mungkin juga bilangan pengundi muda Melayu ramai di situ. Maksudnya Muda ambil alih peranan Bersatu dan Pas.

"Jadi ia sudah pasti boleh menjejaskan peluang UMNO dan Perikatan Nasional (PN) jika pengundi muda Melayu ramai turun mengundi," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca