SHAH ALAM - Biarpun tindakan pemecatannya sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama, dikatakan bertentangan dengan perlembagaan parti, namun Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berharap isu berkenaan dapat diselesai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun tindakan pemecatannya sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama, dikatakan bertentangan dengan perlembagaan parti, namun Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berharap isu berkenaan dapat diselesai dalam semangat kekeluargaan.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu ketika dihubungi wartawan Sinar Premium juga menegaskan beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan muktamad mengenai kedudukannya sebagai Ahli dan Setiausaha Majlis Ulama Pas.

Khairuddin yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, ini kerana mengikut Fasal 8(5) dan (7) Perlembagaan Pas hanya Mursyidul Am dan Majlis Syura Ulama yang boleh melucutkan jawatannya selaku seseorang Ahli dan Setiausaha Majlis Syura Ulama.

Mohd Khairuddin

"Sementara itu mengenai kedudukan saya sebagai ahli dan Setiausaha Majlis Syura Ulama, saya serahkan pada kebijaksanaan Tuan Guru Mursyidul Am dan ahli Majlis Syura Ulamak seperti ditetapkan mengikut Fasal 8 (5) dan (7), Perlembagaan Pas.

"Bagaimanapun, jika diberi kesempatan saya sangat berharap segala perkara akan dibincangkan secara semangat kekeluargaan kerana ia adalah resipi yang sangat berkesan dalam memperkasakan parti dan jamaah," katanya.

Untuk rekod Fasal 8 (3) Perlembagaan Pas, memperuntukan seseorang yang hendak dilantik menjadi Ahli Majlis Syura ‘Ulamak itu hendaklah seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (AL-USUL) dalam syariat Islam dan hukumnya atau/dan dapat merujuk masalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar.

Ahli Majlis Syura Ulama Pas juga hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah seorang ahli Pas.

Fasal 8 (4) Perlembagaan Pas pula mengariskan empat orang daripada ahli Majlis Syura 'Ulama itu hendaklah dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan empat orang yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulama Pas Pusat.

Keahlian seseorang ahli majlis itu boleh diperbaharui oleh pihak yang memilih atau melantiknya setelah tamat tempoh tersebut Ahli-ahli Majlis Syura 'Ulama itu hendaklah memegang jawatannya selama lima tahun.

Bagaimanapun, Fasal 8 (5) Perlembagaan Pas, menetapkan seseorang ahli Majlis Syura 'Ulama itu hendaklah memegang jawatannya selama lima tahun. Namun, mereka boleh berhenti sebelum cukup tempoh lima tahun dan boleh diberhentikan oleh Majlis Syura 'Ulama yang mempunyai kuasa menentukan kelayakan seseorang ahli mengikut peruntukan ceraian (3) Fasal ini dan sebab-sebab seseorang ahli itu patut diberhentikan.

Sementara, Fasal 8 (7) Perlembagaan Pas pula menetapkan bahawa seorang Setiausaha Majlis Syura ‘Ulama hendaklah dilantik oleh Mursyidul ‘Am di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura ‘Ulama dari kalangan ahlinya.

Setiausaha Majlis Ulama Pas, hendaklah memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura Ulama dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

TETAP BERSAMA PAS

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Khairuddin berkata, beliau akan terus istiqamah dengan perjuangan Pas dan akan memberi tumpuan penuh kepada tugas selaku Ahli Parlimen Kuala Nerus sebaik mungkin.

"Sebagai ahli Pas, insya-ALLAH saya akan terus istiqamah dengan dasar perjuangannya iaitu Islam dan memberikan komitmen terbaik untuk merealisasikan tujuan dan usaha dakwah serta politik Pas sebagaimana termaktub dalam Perlembagan Pas.

"Saya juga akan menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas saya sebagai Ahli Parlimen Pas. Saya mengharapkan doa dari semua sahabat seperjuangan dan seluruh umat Islam yang mencintai perjuangan Islam ini agar saya dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik," katanya.

Terdahulu, dalam rakam video berdurasi 13 minit 51 yang dikongsi di laman Facebooknya, Khairuddin menjelaskan beliau akan terus menutup mulut dan menyerahkan segalanya kepada pucuk pimpinan Pas untuk menentukan untung rugi nasibnya.

"Ini kali pertama saya bersiaran langsung setelah pelbagai isu dan perkara berlaku terhadap diri saya dalam parti dan perjuangan. Ramai minta respons dan ulasan saya terhadap apa yang berlaku. Namun saya masih mengambil sikap untuk kekal tidak menjawab dan mengulas apa yang berlaku. Saya serahkan segalanya kepada parti," katanya.

Difahamkan Khairuddin kini dipercayai berada di luar negara, melihat kepada suasana latar belakang video berkenaan pada waktu siang dan keadaan bekas menteri itu sendiri yang menahan kesejukan dengan berjaket tebal.

Dalam pada itu, Khairuddin menjelaskan beliau akan terus istiqamah dan kekal bersama perjuang parti biarpun tidak memegang jawatan dalam parti.

"Saya istiqamah dengan perjuangan Pas dan sabar. Belum masanya saya memberi respons terhadap apa yang berlaku," tambahnya.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan pengguguran Khairuddin sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama susulan isu disiplin melibatkan pemimpin itu.

Abdul Hadi

Abdul Hadi menjelaskan pengguguran jawatan itu berkuatkuasa pada 10 Februari lalu. Oleh kerana pelantikan beliau dalam Majlis Syura oleh Jawatankuasa Pas Pusat maka Pas Pusat membatalkan pelantikan itu.

"Maka dia tak jadi Ahli Majlis Syura lagi dan (jika) nak jadi Setiausaha Majlis Syura mesti ahli Majlis Syura, maka gugurlah daripada Majlis Syura dan (jawatan) Setiausaha Majlis Syura," katanya dalam satu majlis di Marang, Terengganu. Penyingkiran itu berlaku kira-kira sebulan selepas beliau digugurkan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat pada 12 Jan lalu.

Klik di sini untuk terus membaca