DALAM satu temu duga yang dihadiri oleh penulis baru-baru ini, antara soalan yang ditanya kepada calon yang ditemu duga ialah siapakah Perdana Menteri Malaysia sekarang, siapakah Timbalan Perdana Menteri dan namakan sekurang-kurangnya tiga anggota barisan kabinet Malaysia.
Untuk soalan yang pertama, jawapan yang diberikan ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Itu pun calon berkenaan gagal menyebut nama Muhyiddin dengan penuh malah untuk gelaran disebutnya Datuk Seri, bukan Tan Sri. Apa pun, jawapannya salah.
Untuk soalan yang kedua, jawapannya ialah Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Malaysia tidak lagi mengisi jawatan berkenaan. Kali terakhir jawatan itu disandang oleh Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Bagaimanapun calon berkenaan amat yakin dengan jawapannya.
Bagi soalan yang seterusnya, dia hanya mampu menyebut nama Menteri Pendidikan iaitu Datuk Dr Radzi Jidin. Untuk dua lagi nama menteri dia berhadapan kesukaran untuk mengingatinya atau tahu. Akhirnya dia mengalah dan berterus terang mengatakan tidak tahu.
Dan calon ini adalah calon untuk jawatan wartawan serta lulusan sekolah kewartawanan. Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah nanti dia akan membuat liputan dan menulis seandainya terpilih sedangkan pengetahuannya mengenai hal ehwal semasa sangat terhad malah memberikan jawapan yang salah.
Jika seorang lulusan kewartawanan tidak dapat menamakan dengan betul Perdana Menteri Malaysia sekarang, bagaimana pula dengan remaja yang lain yang baharu sahaja tamat pengajian menengah atau universiti? Ini semua sangat meresahkan dan membimbangkan.
Juga tidak dapat dibayangkan, tanpa pengetahuan am ini, bagaimanakah pengundi 18 tahun yang pendaftaran sebagai pengundi kini adalah secara automatik akan ke dewan mengundi dan memangkah calon atau parti yang akan mewakilinya jika mereka tidak tahu apa-apa tentang hal ehwal dalam negara, politik mahupun situasi semasa.
Boleh dikatakan sebahagian besar calon lain yang hadir pada sesi temu duga tersebut memiliki pengetahuan am yang lemah dan ada juga calon tidak bersedia langsung untuk datang temu duga. Mereka tidak melakukan persediaan yang rapi dengan pengetahuan yang diperlukan untuk pekerjaan yang mereka pohon.Ada calon apabila ditanya mengapakah dia datang tanpa membuat persediaan yang rapi, dia memandang panel penemu duga dengan pandangan yang tajam dan penuh sinis seolah-olah apa kaitan itu semua dengan kehadirannya pada hari berkenaan.
Seorang calon lagi masuk ke dalam bilik temu duga melenggang - hanya bawa diri - tanpa sebarang sijil atau apa jua bahan yang boleh ditunjukkan untuk menyokong dirinya atau meyakinkan bakal majikannya. Calon terakhir yang masuk datang tanpa memakai tali pinggang dengan baju dan seluar yang sama sekali tidak sesuai.
Sesungguhnya, usaha mencari calon yang sesuai pada zaman ini, tidak semudah yang disangka. Boleh dikatakan kesemuanya mengambil mudah dan merasakan kerja akan datang bergolek di hadapan mata tanpa perlu berusaha sedaya upaya untuk meyakinkan bakal majikan bahawa merekalah calon yang dicari-cari selama ini.
Amat jelas sekali, siswazah yang sedang dalam lambakan di pasaran hari ini tidak dilengkapkan dengan kemahiran untuk berkomunikasi, berdaya saing dan berdaya maju. Mereka merasakan, ijazah yang mereka miliki adalah tiket masa depan yang cerah. Mereka tidak sama sekali bersedia ataupun membuat persediaan untuk bukan sahaja menghadapi bakal majikan malah tidak peduli akan kerjaya yang bakal mereka sandang. Pengetahuan mereka tentang kerjaya yang mereka pohon adalah ‘kosong’. Ini kerana ada yang muncul dengan penuh yakin ingin memohon jawatan ‘Pengarang Berita’ sedangkan dia baharu sahaja tamat pengajian, konvo pun belum, apatah lagi bekerja, bagaimana dia ada hasrat untuk mengisi satu jawatan yang memerlukan pengalaman sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun dalam bidang kewartawanan.
Maka ada baiknya juga pihak universiti melihat akan perkara ini dengan serius dan memikirkan keperluan untuk melengkapkan graduan-graduan ini dengan pengetahuan dan persediaan menghadapi temu duga.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca