SHAH ALAM - Rangkaian restoran mamak seluruh negara ketika ini mengalami kekurangan 10,000 tenaga kerja dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, jumlah itu adalah separuh daripada 20,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan pemilik-pemilik restoran berkenaan.
"Gara-gara kekurangan tenaga kerja, lebih 2,000 daripada 12,000 restoran mamak di negara ini terpaksa ditutup semenjak PKP 1.0. Sekarang hanya tinggal lebih kurang 9,000 sahaja restoran mamak yang masih beroperasi.
"Kita jangka lebih banyak lagi restoran akan ditutup selepas ini kalau masalah ini masih berlarutan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, apa yang menyedihkan masalah kekurangan pekerja itu turut menyebabkan pemilik restoran yang beroperasi di bangunan kepunyaan sendiri juga tidak mampu bertahan.
"Salah seorang pemilik restoran yang beroperasi di bangunan sendiri di Pulau Pinang pun tewas. Dia terpaksa tutup kedai dan sewakan bangunan kepada pasar raya sebab masalah ini.
"Bila kurang pekerja, kami memang tak mampu berniaga sebab kami utamakan layanan yang cepat kepada pelanggan. Jadi kalau tak cukup pekerja, memang ia satu masalah besar,” ujarnya.
Katanya, isu kekurangan pekerja itu berlaku disebabkan rakyat terutama belia tidak berminat bekerja dalam sektor perkhidmatan restoran dan sekatan kemasukan pekerja asing.
"Sektor ini bukan pilihan utama belia kita. Sebab itu masalah kekurangan tenaga kerja ini masih berlanjutan.
"Pekerja asing yang pulang semula ke negara mereka sepanjang PKP pula tak dapat kembali semula ke negara ini. Ia menyebabkan masalah ini kian parah,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca