SHAH ALAM - Rata-rata pemilik kedai makan menyuarakan kebimbangan susulan sukar untuk mendapatkan pekerja. Pemilik Warong Samad, Illya Zulfiqa Muhammad Taib berkata, kekurangan pekerja terutama pekerja tempatan menyebabkan restoran miliknya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rata-rata pemilik kedai makan menyuarakan kebimbangan susulan sukar untuk mendapatkan pekerja.

Pemilik Warong Samad, Illya Zulfiqa Muhammad Taib berkata, kekurangan pekerja terutama pekerja tempatan menyebabkan restoran miliknya mengalami kerugian kerana tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

"Buat masa ini restoran saya beroperasi dengan hanya tiga orang pekerja. Sepatutnya saya memerlukan sekitar tujuh orang pekerja.

"Sekarang untuk tempahan ambil sendiri dan penghantaran agak perlahan kerana orang lebih gemar makan di kedai.

"Keadaan ini memberi masalah kerana saya tidak cukup pekerja.

"Untuk memastikan restoran ini tetap dibuka untuk dine in, saya terpaksa menggunakan cawan dan pinggan pakai buang bagi memudahkan tugas pekerja saya.

"Tetapi cara ini pun tidak menyelesaikan masalah kerana situasi kekurangan pekerja sangat kritikal,” katanya kepada Sinar Harian.

Illya Zulfiqa yang membuka restoran di Subang Jaya dekat sini juga telah mengiklankan restorannya untuk dijual bulan lepas ekoran masalah tersebut.

Namun, dia membatalkan hasrat itu dan cuba bertahan beberapa bulan lagi kerana sayangkan restoran yang diusahakannya sejak lima tahun lalu.

"Saya pun tak pasti sampai bila boleh bertahan. Saya beri masa untuk diri saya dalam dua atau tiga bulan.

"Setakat ini bolehlah, cuma saya tak berani nak buat dine in secara penuh lagi kerana kekurangan pekerja,” katanya.

Situasi sama turut dialami pengurus Sate Hut, Syafiq Rosli yang masih belum membuka kemudahan makan di kedai akibat kekurangan pekerja.

Menurut Syafiq, dia telah beberapa kali mengiklankan jawatan kosong menerusi pelbagai media sosial, namun masih belum ada individu yang berminat untuk bekerja.

"Masalah kekurangan pekerja yang saya hadapi ini adalah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi.

"Nak cari pekerja tempatan sangat susah dan mereka seperti tidak berminat bekerja di restoran.

"Kami memerlukan lapan orang pekerja dan ketika ini kami beroperasi dengan tiga orang pekerja saja.

"Pekerja yang ada sekarang pun tidak tetap dan ada yang bekerja sekejap-sekejap dan berhenti,” katanya.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Helmi Baharudin mengakui kekurangan pekerja memberi masalah kepada operasi kedai makannya.

Dia berkata, kedai makan miliknya itu kekurangan lima orang pekerja yang membantutkan operasi kedai sekali gus menyebabkan kerugian.

"Setakat ini kami masih boleh bertahan kerana masih ada tenaga kerja warga asing. Kalau nak harapkan pekerja tempatan sangat susah.

"Mereka biasanya meminta gaji yang tinggi selain waktu kerja ikut waktu pejabat. Ia agak sukar kerana kedai makan biasanya beroperasi hingga ke malam,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca