PSIKOSIS (sebutan: sai-ko-sis atau pēsi-ko-sis) dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia berasal daripada psychosis, satu istilah bahasa Inggeris dan beberapa bahasa di dunia. Istilah psyche (sebutan: sai-ki) dalam bahasa Latin pula berasal daripada istilah Yunani kuno psukhe (sebutan: shu-ka) yang membawa beberapa makna seperti nafas, roh dan jiwa.
Psikosis ialah keadaan minda yang tidak normal. Abnormaliti mental ini menjadikan minda tidak mempunyai hubungan dengan realiti. Gejala lain yang boleh hadir dalam suasana psikosis ialah delusi dan halusinasi. Delusi ialah kepercayaan yang palsu dan tetap. Misalannya, seorang lelaki berusia 45 tahun dari Jawa Tengah atau utara Kedah mempercayai bahawa dia ialah Imam Mahdi. Halusinasi pula bermakna persepsi atau pengamatan deria tentang sesuatu yang tidak hadir. Misalannya, halusinasi auditori atau pendengaran ialah apabila seorang individu mendengar beberapa orang bercakap tentang dirinya walhal tiada manusia yang hadir di sisinya.
Kumpulan penyakit mental merangkumi kelompok psikosis serta banyak kelompok dan subjenis kecelaruan mental yang lain. Skizofrenia ialah antara penyakit mental yang paling kerap ditemui dalam kalangan kecelaruan psikosis. Diagnosis kecelaruan skizofrenia ini digunakan di negara Rusia dan kumpulan negara yang menyalahgunakan diagnosis psikiatri untuk mengekalkan kuasa siasah.
'Skizofrenia lambat' (sluggish schizophrenia) ialah kategori diagnostik yang digunakan dalam Kesatuan Soviet (Union of Soviet Socialist Republics atau USSR) untuk menggambarkan apa yang didakwa sebagai jenis skizofrenia yang muncul secara perlahan-lahan. Kategori ini mula dikembangkan pada tahun 1960 oleh Profesor Psikiatri Soviet, Andrei Snezhnevsky dan rakan-rakannya. Diagnosis ini digunakan secara eksklusif di USSR dan beberapa negara Blok Timur, sehingga kejatuhan komunisme bermula pada tahun 1989. Ia tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lantaran dua sebab. Pertama, hujah ilmiah yang tidak mencukupi untuk diagnosis tersebut dan kedua, ia digunakan sebagai alat membatasi pihak pembangkang.
Isu pelanggaran hak pesakit mental serta hak pembangkang siasah mula terkenal pada dasawarsa 1970-an sewaktu salah guna psikiatri oleh kuasa siasah di USSR dan Blok Timur berleluasa. Rekod buruk salah guna ini telah memaksa wakil Soviet berundur daripada Pertubuhan Psikitari Sedunia pada 1983. Namun mereka kembali pada 1989 setelah USSR runtuh, bersekali dengan tewasnya USSR dalam Perang Afghanistan.
The International Association on the Political Use of Psychiatry (IAPUP) yang ditubuhkan di Paris pada 20 Disember 1980 dihubungkan dengan Global Initiative on Psychiatry (GIP). Prinsip GIP menegaskan bahawa salah guna psikiatri oleh kuasa siasah merujuk kepada salah guna diagnosis serta rawatan psikiatri dan penahanan pihak pembangkang untuk tujuan menyekat hak asasi manusia bagi individu dan grup dalam sesuatu masyarakat.
Kini banyak penulis, pengkaji serta pejuang Hak Asasi Manusia di seantero dunia yang memantau pelanggaran hak pesakit mental, sekali gus memastikan psikiatri tidak disalahgunakan untuk pemegang kuasa siasah.
Di negara demokrasi Barat seperti Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Jerman, New Zealand, Sweden dan Norway, salah guna psikiatri berlaku sekali-sekala dan tidak dirancang oleh negara.
Hingga awal kurun ke-21, Republik Rakyat China terus melanggar hak asasi manusia dalam bidang psikiatri. Walaupun salah guna psikiatri ini berlaku di beberapa buah negara Asia yang lain seperti India, Jepun dan Thailand, ia tidak berlaku di negara kita. Akta Kesihatan Mental 2001 serta Peraturan Kesihatan Mental 2010 yang digunapakai oleh Malaysia menjadi perisai bagi hak asasi pesakit mental dan hak asasi manusia di sini.
* Datuk Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis masyarakat
Klik di sini untuk terus membaca