INDUSTRI pembinaan di Malaysia merupakan sektor yang masih berkembang dari masa ke masa. Industri itu memainkan peranan penting dalam menjana dan meningkatkan ekonomi negara. Apabila saiz projek pembinaan meningkat dan menjadi lebih rumit... Klik di sini untuk terus membaca

INDUSTRI pembinaan di Malaysia merupakan sektor yang masih berkembang dari masa ke masa. Industri itu memainkan peranan penting dalam menjana dan meningkatkan ekonomi negara. Apabila saiz projek pembinaan meningkat dan menjadi lebih rumit dan kompleks, alam sekitar akan terkesan dengan peningkatan sisa pembinaan. Pembaziran boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu pembaziran fizikal seperti bahan mentah dan pembaziran bukan fizikal seperti aktiviti atau proses dalam pembinaan. Pembaziran bukan fizikal adalah sebarang aktiviti yang menimbulkan kerugian seperti penjanaan kos tambahan dan tidak mempunyai nilai tambah kepada produk akhir.

Toyota Motor Corporation yang berpangkalan di Jepun telah mula mengeksperimentasikan konsep lean seawal 1920-an kerana kekangan modal pelaburan untuk memulakan pembuatan berskala besar. Konsep lean bertujuan memaksimumkan keuntungan dan dalam masa sama mengurangkan pembaziran. Perkara yang perlu dititikberatkan dalam mengadaptasi konsep lean adalah mengesan dan menghentikan pembaziran sehingga semua aktiviti yang dijalankan menjadi bernilai dan mempunyai objektif jelas. Selepas kejayaan besar dalam industri pembuatan, industri pembinaan mula dilihat dalam konsep ini.

Konsep lean mula menembusi industri pembinaan seawal 90-an. Dengan mengadaptasikan konsep lean di dalam projek pembinaan, semua pembaziran daripada proses pembinaan boleh diminimumkan atau dihapuskan ke tahap tertentu. Pelaksanaan konsep lean di dalam sektor pembinaan dianggap sebagai strategi moden. Walaupun banyak kajian dilakukan terhadap konsep lean, tetapi kadar penggunaannya masih dianggap rendah seperti dilaporkan penyelidik pada 2021.

ELAK PEMBAZIRAN

Hasil dapatan kajian mengenal pasti tiga aktiviti yang perlu dilihat dengan teliti untuk menyingkirkan pembaziran dalam proses pembinaan. Pertama kemalangan kerja: Projek pembinaan adalah berisiko tinggi kerana ia melibatkan banyak bahan binaan dan penggunaan mesin yang berbahaya.

Banyak ketidakpastian yang perlu diperhalusi di dalam proses menyiapkan projek. Ia boleh mengakibatkan kematian atau kecederaan yang akan menyebabkan pembaziran kepada organisasi dalam bentuk kelewatan dan peningkatan kos seperti insurans, rawatan perubatan dan pemulihan pekerja. Kecederaan di tempat kerja juga boleh menjejaskan semangat pekerja. Kemalangan kerja boleh mencetuskan kelewatan projek kerana perintah pemberhentian mungkin dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk memberi laluan kepada pihak yang bertanggungjawab menyiasat kemalangan itu.

Kedua pula kecacatan kecil: Di dalam projek pembinaan, kecacatan kecil adalah perkara yang kerap berlaku. Ia adalah jenis sisa termudah yang dihasilkan dalam industri pembinaan di mana produk akhir tidak memenuhi keperluan pengguna akhir seperti contoh kemasan lantai yang tidak rata, pemasangan pintu atau tingkap yang longgar dan cat dinding yang tidak sekata. Kecacatan kecil juga boleh dilihat sebagai penjanaan dwi-sumber pembaziran; pertama, ia menyebabkan pembaziran berkaitan sumber yang terdiri daripada bahan binaan, pekerja dan peralatan yang digunakan. Kedua, ia menyebabkan pembaziran dari segi masa dan kos daripada kerja baik pulih kecacatan tersebut.

Ketiga ialah pergerakan tidak cekap: Ia melibatkan pergerakan seperti membongkok, berjalan, meregang dan mengangkat. Pergerakan ini melibatkan pekerja, bahan binaan dan peralatan yang digunakan. Pergerakan yang tidak cekap boleh berpunca daripada peralatan yang tidak mencukupi, kaedah kerja yang tidak berkesan atau susunan tempat kerja yang lemah. Jika pergerakan yang dilakukan tidak memberi nilai tambah kepada keseluruhan proses pembinaan, ia perlu diubah atau tambah baik.

Impak konsep lean kepada industri pembinaan adalah diharapkan dapat meningkatkan bilangan projek yang disiapkan tepat pada masa, dalam bajet dan menepati kualiti yang dikehendaki seterusnya dapat meningkatkan kepuasan pelanggan. Kadar kepuasan pelanggan lebih tinggi secara langsung akan memberikan kesan yang baik kepada kejayaan jangka panjang organisasi pembinaan.

Untuk melaksanakan konsep lean dengan berkesan dan cekap, perhatian perlu diberikan bukan sahaja terhadap sisa fizikal tetapi juga terhadap aktiviti sisa bukan fizikal. Pengurangan dalam kedua-dua jenis sisa akan memberi impak besar kepada pelaksanaan konsep lean.

* Dr Mohd Ashraf Mohd Fateh Pensyarah KananPusat Pengajian Pembinaan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur UiTM Shah Alam

Klik di sini untuk terus membaca