BILA belek-belek WhatsApp di telefon pagi tadi, Mat Taici terkejut terbaca berita 15 pengunjung dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila, Filipina sejak Ahad.
Menurut laporan akhbar tempatan itu, kumpulan 13 warganegara Malaysia dan dua warga asing yang difahamkan hendak melancong, menjalani urusan perniagaan dan kerja-kerja kemanusiaan ke negara Filipina, tidak dibenarkan memasuki negara jiran itu.
Hal ini kerana sijil vaksinasi yang tertera dalam aplikasi MySejahtera dimiliki mereka tidak boleh diterima pakai oleh Jabatan Imigresen Filipina sebagai bukti vaksinasi.
Malahan, pihak berkuasa Filipina turut memaklumkan mereka perlu mengambil vaksin dari negara lain seperti Singapura atau memiliki sijil vaksinasi antarabangsa dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Laporan itu turut menyebut kumpulan berkenaan yang tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang pada jam 8.30 pagi Ahad, telah dirampas pasport perjalanan selain bakal menghantar mereka pulang segera ke tanah air pada Selasa.
Mat Taici pun terkesima memikirkan nasib kumpulan pengunjung Malaysia berkenaan yang terpaksa tidur atas bangku ruang menunggu lapangan terbang seharian, hanya disebabkan satu 'kesalahan' yang sebenarnya bukan kesalahan mereka.
Walaupun Wisma Putra melaluinya Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah kemudiannya menegaskan Kedutaan Besar Malaysia di Manila kini sedang membantu rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang negara itu.
Namun, Mat Taici jadi musykil mengapa sijil vaksinasi yang dikeluarkan oleh aplikasi MySejahtera - aplikasi khas yang dibangunkan kerajaan Malaysia sendiri - jadi tidak laku bila di luar negara?
Bagi Mat Taici, pelbagai persoalan timbul sama ada data penerimaan sijil vaksinasi oleh mana-mana rakyat negara ini sebagaimana dipaparkan melalui aplikasi MySejahtera, benar-benar dikemas kini dan selari dengan sistem data raya (big data) Sijil Vaksinasi Antarabangsa dikeluarkan WHO atau tidak.
Atau terdapat perkara lain seperti isu salah faham di antara pihak berkuasa negara yang menyebabkan masalah sebegini tercetus?
Dengan kos pembangunan aplikasi MySejahtera dianggarkan bernilai RM70 juta dan melibatkan kerjasama di antara Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sepatutnya data sijil vaksinasi yang dipaparkan aplikasi itu tidak bermasalah untuk diiktiraf negara-negara luar, apatah lagi negara-negara jiran dalam Asia Tenggara.
Bagi Mat Taici, kerajaan perlu cepat bertindak untuk mengenal pasti punca sebenar permasalahan besar sebegini, bukan sahaja dari aspek teknikal aplikasi MySejahtera berkenaan, bahkan kesinambungan data sijil vaksinasi diambil rakyat dengan data dikemaskini WHO.
Memandangkan Malaysia kini sudah merancang untuk membuka sempadan negara kepada dunia luar, tidak sewajarnya masalah-masalah teknikal sebegini berlaku.
Mat Taici pun harap masalah kumpulan rakyat Malaysia yang terkandas di Filipina dapat diselesaikan dengan kaedah 'menang-menang' agar mereka dapat diberi akses menyelesaikan urusan masing-masing di negara jiran itu.
Pss: Hari-hari semak aplikasi MySejahtera, bilang kontak Covid-19 sekeliling kawasan rumah
Klik di sini untuk terus membaca