SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) hampir pasti tidak akan menyerahkan sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kepada Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) sempena pilihan raya negeri itu yang akan diadakan pada 12 Mac hadapan.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) hampir pasti tidak akan menyerahkan sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kepada Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) sempena pilihan raya negeri itu yang akan diadakan pada 12 Mac hadapan.

Sumber dalaman PKR berkata, hal ini kerana Muda yang dipimpin bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seolah-olah bersikap lebih sudu daripada kuah apabila menolak tawaran asal PKR untuk memberi tiga kerusi DUN kepada mereka.

Sinar Premium difahamkan PKR pada asalnya menawarkan DUN Senggarang, Sri Medan dan Tanjung Surat kepada Muda sebagai syarat untuk menghormati asas kerjasama di bawah khemah besar pembangkang bersama parti-parti selain PH.

"Muda sebaliknya menolak tawaran tiga kerusi DUN itu, sebaliknya mereka meminta dua kerusi DUN mampu menang yang kita labelkan sebagai gred A. Mereka minta DUN Gambir dan Larkin.

"Mereka ini bersikap lebih sudu daripada kuah kerana sudah diberi kerusi 'tulang', mereka hendak kerusi 'daging' pula. Walhal calon-calon mereka pun orang tak kenal, jentera pilihan raya pun tiada.

"Justeru, PKR hampir pasti akan kekal bertanding pada 20 kerusi DUN yang diperuntukkan kepada kami sebelum ini. Mengenai status rundingan kerusi dengan Muda, terpulang kepada parti itu kerana sekurang-kurangnya PKR sudah kemuka tawaran baik," jelas sumber pemimpin muda PKR dari Johor kepada Sinar Premium pada Isnin.

Teka-teki rundingan kerusi PRN Johor di antara PKR dan Muda masih belum terjawab apabila kedua-dua parti masih lagi mengunci mulut apabila ditanyakan mengenai status rundingan tersebut.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh menjelaskan rundingan kerusi pilihan raya di antara parti itu dan Muda masih berlangsung dengan urusan tawar-menawar sedang dilakukan bagi mencapai penyelesaian 'menang-menang'.

Syed Ibrahim turut menjelaskan parti itu sudah menawarkan tiga kerusi DUN kepada Muda, bagaimana angka itu berkemungkinan akan kurang sekiranya PKR menawarkan kerusi 'bagus'.

Pada Isnin, PKR mengumumkan senarai calon PRN Johor untuk keseluruhan 20 kerusi DUN yang bakal ditandingi mereka, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa rundingan di antara parti itu dengan PKR sudah menemui jalan buntu.

PH dan Muda masih lagi berbincang untuk memuktamadkan pembahagian kerusi.


Muda sebelum ini berjaya memperolehi enam kerusi DUN daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP setelah ketiga-tiga parti itu memuktamadkan rundingan agihan kerusi di antara mereka.

Enam kerusi berkenaan adalah DUN Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap dan Bukit Permai.

Dalam pada itu, seorang lagi sumber pemimpin berpengalaman PKR mendakwa parti itu terpaksa melepaskan permohonan mendapatkan kerusi DUN Puteri Wangsa sewaktu rundingan di antara parti-parti dalam PH diadakan sebelum ini.

Jelas sumber yang enggan dinamakan itu lagi, hal ini kerana Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut PKR menyerahkan sekurang-kurangnya tiga kerusi DUN gred A kepada mereka sekiranya PKR berkeras mahu bertanding di DUN Puteri Wangsa.

"Atas dasar menjaga semangat setiakawan selain enggan hilang tiga kerusi Gred A, PKR kemudiannya bersetuju melepaskan kerusi DUN Puteri Wangsa kepada Amanah.

"Dengan Amanah kemudiannya menunjukkan kesungguhan bertanding di situ apabila mencadangkan nama bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat sebagai calon, PKR pun rasa berbesar hati dan anggap itu penyelesaian terbaik.

"Namun, apabila Amanah kemudiannya menyerahkan kerusi DUN itu pula kepada Muda bersama tiga lagi kerusi mampu menang lain, kami berasa terkilan dan kecewa kerana pengorbanan kami seolah-olah tidak dihargai mereka," katanya.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim dalam satu kenyataan menafikan rundingan antara PKR dan Muda telah gagal.

"Saya tidak akan mengatakan gagal, saya akan mengatakan ia masih terbuka tetapi perlu dimuktamadkan.

"Kami mengumumkan calon hari ini (Isnin) jadi kami berkata, kami akan bertanding di kerusi itu. Jika anda tanya saya sama ada kerusi yang kami umumkan hari ini adalah yang ditandingi oleh Muda, ya, beberapa...

"Jadi, pada saya, sekarang mari kita fokus untuk memenangi kerusi," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca