[MUKADIMAH] Pas melahirkan kebimbangan umat Islam di negara ini akan kehilangan kuasa politik jika terus berpecah.
Naib Presiden Pas yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Malaysia amat memerlukan sebuah parti teras yang mewakili kelompok terbesar di negara ini.
"Kalau kita berpecah sepertimana yang berlaku pada hari ini, kemungkinan umat Islam akan hilang kuasa politik. Di Malaysia kita bimbang.
"Bukan kerana rasis tetapi dari segi politik negara kita mesti ada sebuah parti teras. Sesiapa yang nak menjadi kerajaan perlu ada parti teras yang mewakili umat Islam dan orang Melayu,” katanya.
Ikuti kupasan Mohd Amar kepada wartawan Sinar Harian, DIANA AZIS dan RAJA NUR FAZNIE AIDA serta jurukamera MOHD HALIM ABDUL WAHID tentang dasar pentadbiran, kejayaan Kelantan mencapai sifar rasuah, masa depan dan situasi politik semasa, dalam wawancara eksklusif yang diadakan di Kompleks Karangkraf baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Apakah kejayaan penting Pas dalam pentadbiran di negeri Kelantan?
MOHD AMAR: Bagi saya, kejayaan terbesar Pas apabila mengubah minda dan perspektif masyarakat sebelum menjadi kerajaan pada tahun 1990.
Masyarakat tidak yakin bahawa seorang ulama boleh menjadi pemimpin utama dan mentadbir negeri dengan cekap dan baik.
Juga tidak terfikir Islam boleh menjadi asas kepada pentadbiran dan pemerintahan tetapi apabila Pas menguasai negeri Kelantan pada 1990 sehingga ke hari ini, kita berjaya buktikan kepada masyarakat bukan sahaja di Kelantan tetapi di seluruh negara dan mungkin peringkat dunia bahawa ulama atau orang alim boleh menjadi ketua negeri dan mentadbir dengan baik sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat walaupun beliau daripada latar belakang yang tidak ada pengalaman mentadbir.
Namun dengan ilmu dan wawasan yang ada, beliau berjaya meletakkan Kelantan sepertimana pada hari ini, kemudian diteruskan oleh Menteri Besar sekarang, Datuk Ahmad Yakob.
Dalam tempoh lebih 30 tahun memerintah Kelantan, kita berjaya buktikan Islam boleh menjadi dasar dalam pentadbiran. Banyak perubahan yang telah berjaya dilaksanakan berpandukan ajaran Islam yang tertakluk dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Satu perkara yang paling menonjol dalam pentadbiran Kelantan adalah apabila kita buktikan bahawa pentadbiran berasaskan Islam ini adalah yang terbaik kerana dalam tempoh 30 tahun mentadbir, tiada kes rasuah melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan ahli politik di Kelantan.
Apakah perancangan baharu bakal berlaku untuk Kelantan tahun ini?
Kita mengekalkan dasar membangun bersama Islam yang telah diasaskan oleh Allahyarham Tok Guru (Nik Aziz).
Kemudian Menteri Besar sekarang memperkenalkan dasar yang baharu, lebih kepada kesinambungan kepada dasar yang sedia ada iaitu merakyatkan dan membangun bersama Islam.
Dasar itu untuk memastikan supaya ia bukan hanya difahami dan diterima pakai di peringkat kepimpinan tinggi tetapi biarlah turun sampai ke rakyat dan semua lapisan masyarakat boleh memahami dengan baik supaya mereka boleh ikut serta menterjemahkan hasrat membangun bersama Islam dalam kehidupan.
Kedua adalah meningkatkan pembangunan ekonomi dan fizikal. Sebagai contoh masalah kebersihan, orang selalu complaint tentang Kelantan.
Namun dalam tempoh lima hingga enam tahun ini, dengan usaha semua pihak kita berjaya meningkatkan pencapaian dan sekarang ini boleh dikatakan orang sudah tidak bercakap tentang isu kebersihan di Kelantan kerana mereka sudah melihat satu perubahan besar, rakyat juga sudah ada kesedaran untuk menjaga kebersihan.
Baru-baru ini, kerajaan negeri menerima pelaburan daripada syarikat Nextgreen Global Berhad yang bersetuju untuk melabur di Kelantan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani menerusi projek yang bernilai RM2.23 bilion dan boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada tidak kurang 5,000 anak Kelantan.
Selain itu, Projek Pembangunan Bandar Perabot di Gua Musang yang akan memberi peluang pekerjaan kepada 2,000 orang, selain pembangunan-pembangunan di beberapa tempat yang lain.
Sekarang ini, kita mahu memberi sesuatu kepada rakyat. Jika dahulu mungkin rakyat sokong kerana ideologi tetapi selepas 30 tahun, orang melihat apa yang mereka boleh dapat seperti peluang pekerjaan dan sebagainya. Itu yang cuba diusahakan oleh kerajaan negeri Kelantan.
Dengan dasar baharu itu, bagaimana penerimaan di peringkat rakyat serta pemimpin?
Rakyat mula memahami, cuma kalau kita nak bagi semua orang boleh faham mungkin memakan masa yang agak lama kerana rakyat mempunyai latar belakang yang berbeza, tetapi sekurang-kurangnya orang boleh faham pemerintahan sesuai dengan ajaran Islam.
Pelaksanaan terserah dari segi dasar, kemudian pelaksana yang kita gelar sebagai eksekutif, pegawai kerajaan, ketua jabatan dan jajahan, saya rasa ia akan berjaya kerana kita sudah menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan.
Kalau dulu banyak projek yang ditahan tidak masuk ke Kelantan termasuk peruntukan projek dan sebagainya, namun sejak kita menjadi sebahagian Putrajaya, banyak projek baharu sudah diluluskan.
Dengan perkembangan baharu, kita percaya boleh membangunkan Kelantan dan mungkin dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang setanding dengan negeri-negeri di Pantai Barat.
Bagaimana dengan masa depan negeri Kelantan?
Saya optimis dengan masa depan dan saya lihat peluang yang lebih cerah, lebih-lebih lagi kita berjaya mengekalkan kedudukan dalam kerajaan Persekutuan.
Jadi kalau kita boleh menang lagi dan ada kerusi yang lebih banyak, sekarang ini hanya ada 18 kerusi tetapi kalau boleh tambah sehingga 30 kerusi, saya rasa masa depan akan menjadi lebih cerah.
Sudah terbukti bahawa isu rasuah dan integriti di Kelantan amat kurang. Boleh Datuk jelaskan bagaimana kerajaan negeri lakukannya?
Apabila kita bercakap mengenai membangun bersama Islam, bermakna sudah tanam dalam pemikiran para pentadbir dan juga ahli-ahli politik bahawa kita perlu bergerak mengikut lunas Islam. Antara perkara yang dilarang dan dibenci oleh Islam adalah rasuah.
Nabi Muhammad SAW menyebut ‘orang yang memberi dan menerima rasuah akan masuk ke dalam neraka’.
Itu menjadi satu sempadan dan guideline kepada semua kepimpinan politik dan pentadbir di Kelantan supaya mereka berusaha menjauhkan diri daripada rasuah.
Kedua, kerana model pemimpin. Dahulu kita ada Tok Guru (Nik Aziz) yang telah mempamerkan satu model kepimpinan yang tinggi dan dia sendiri bersih dari segi peribadi dan pentadbiran. Jadi itu menjadi ikutan kepada orang lain.
Apabila kita yang pernah berada di bawah, tengok Tok Guru (Nik Aziz) tidak pernah terlibat dengan perkara tidak baik, maka dengan sendirinya kita akan menjaga diri supaya boleh seiring dengan beliau.
Menteri Besar sekarang ini juga perjalanannya lebih kurang dengan Tok Guru (Nik Aziz), beliau juga daripada sifat sederhana, tawaduk dan bersih, jadi dengan sendirinya pegawai kerajaan berusaha untuk mengikut jejak mereka sebagaimana Nabi Muhammad SAW menyebut kepimpinan melalui tauladan.
Pepatah Cina menyebut, ikan buruk bermula dari kepala, maka kalau kepala buruk keseluruhan ikan akan buruk. Jadi kalau pemimpin buruk, maka ia menjadi ikutan.
Alhamdulillah, Menteri Besar Kelantan mempamerkan kepimpinan yang berintegriti. Maka dengan sendirinya kami di bawah akan ikut. Ini antara faktor kekuatan dan membolehkan Pas bertahan sehingga hari ini.
Sebagai pemimpin, bagaimana untuk mengatasi masalah rasuah dan integriti dengan lebih berjaya?
Asas yang paling penting adalah pentadbiran negara mesti berasaskan agama. Kalau Malaysia masyarakat majmuk, masih ada pegangan agama masing-masing.
Semua agama menolak rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah. Jadi kalau semua pemimpin yang ada dalam negara tidak kira parti politik mana, boleh hidup dengan agama, boleh hidup dengan menghayati ajaran agama, saya percaya kita akan menjadi lebih baik.
Hari ini sebab orang yang melakukan pecah amanah, rasuah dan sebagainya adalah orang yang tidak mengamalkan ajaran agama mereka, termasuk orang Islam.
Orang Islam tahu rasuah itu ajaran buruk, masuk neraka tetapi kita masih buat. Sebab itu perlu letak negara berasas agama.
Selain itu, kita perlu berikan kuasa yang besar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Di Kelantan, kami memberi kerjasama yang penuh, sentiasa berbincang dengan SPRM dan meminta pandangan mereka apa yang patut dilakukan supaya pegawai tidak terdorong melakukan rasuah.
Jadi SPRM memberikan kerjasama yang baik dan memberi nasihat serta teguran kepada kerajaan, justeru gabungan ini yang membolehkan kita bertahan hingga lebih 30 tahun tanpa rasuah.
Dahulu SPRM di bawah Parlimen, tidak terikat dengan mana-mana pihak jadi terus lapor pada Parlimen. Diberi kuasa penuh untuk siasat, mendakwa dan sebagainya.
Namun sekarang terletak di bawah menteri, sedikit sebanyak tentu ada kesan sebab tidak sepenuhnya bebas.
Apakah perasaan Datuk apabila UMNO Kelantan tidak lagi bersama dalam Muafakat Nasional (MN)?
Secara peribadi Pas terkejut sebab tidak menduga bahawa UMNO Kelantan akan membuat keputusan untuk berpisah.
Sebab kita dengan UMNO tidak ada masalah semenjak ada MN walaupun mungkin kita jarang berjumpa, tetapi hubungan tiada sebarang masalah.
Kita menghormati keputusan mereka dan sebab itu sebagai contoh wakil rakyat UMNO diberi peruntukan, program besar kita panggil semua.
Apabila UMNO mengisytiharkan putus hubungan, ini memang satu kejutan kepada kita. Kalau tanya saya, saya berasa kesal sebab Pas mengharapkan hubungan dan kerjasama ini berterusan untuk kepentingan umat Islam dan negara pada masa akan datang. UMNO ada kekuatan dan mempunyai ahli yang ramai.
Sebahagian ahli mereka orang yang jujur dan mahukan perkara yang baik. Jadi sepatutnya kita boleh bekerjasama terutama di Kelantan.
Apabila mereka putuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Pas, kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana itu hak mereka.
Kita nak sekat tidak boleh walaupun rasa berat dan kalau boleh kita tidak mahu putus, sebab keputusan itu hak mereka, tak boleh nak kata apa.
Bagaimana jika UMNO Kelantan mahu berbaik semula dengan Pas?
Tiada masalah. Sebab sekarang ini, kita tidak kata apa-apa dekat UMNO.
Hatta dalam Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini pun calon-calon Pas tidak menyerang UMNO walaupun kita berlawan sesama sendiri.
Jadi kita mengharapkan supaya suatu masa sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO boleh merenung kembali pendirian mereka dan mengubah sikap mereka. Ketika itu, kita bersedia bekerjasama untuk kepentingan umat Islam dan juga negara.
Banyak pihak merasakan MN yang melibatkan parti-parti politik Melayu Islam merupakan formula terbaik untuk masa depan negara. Apa komen Datuk?
Memang betul kalau kita bekerjasama dengan UMNO, ia dapat menggambarkan kekuatan umat Islam yang ada di Malaysia.
Bagaimanapun itu tidak bermakna bahawa kita dengan UMNO sahaja. Kita pada awal lagi merasakan MN ini sebagai permulaan kepada kerjasama politik yang lebih luas dalam Malaysia dan kita tidak boleh kongkong ataupun ikat MN antara Pas dengan UMNO sahaja.
Kalau ada parti lain yang majoriti umat Islam mempunyai cita-cita sama sepatutnya berganding bahu. Tetapi UMNO ini mereka nak jadi ‘eksklusif’. MN antara Pas dengan UMNO sahaja. Tidak boleh terima parti lain.
Jadi di situ ada perbezaan pandangan antara Pas dengan UMNO yang menyebabkan perkara ini berlaku.
UMNO juga kadang-kadang kita sendiri tak faham sebab di Kelantan, mereka putuskan hubungan tetapi di Selangor UMNO kata akan kekal hubungan dengan Pas. Jadi kita dalam dilema. Di sini kita nampak UMNO tidak sekata dalam isu yang disebutkan tadi.
Apakah harapan Datuk terhadap semua parti politik Melayu Islam?
Sebenarnya apa yang kita usahakan sejak dulu sehingga kini ialah sebagai orang tengah yang menghubungkan parti politik yang ada terutama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Kita tahu memang UMNO ada masalah dengan Bersatu disebabkan sejarah penubuhan kemudian isu-isu dalaman. Memang kita faham dan tidak nafikan. Kalau UMNO rasa sukar untuk bekerjasama dengan Bersatu pun kita boleh faham tetapi kita sentiasa berusaha mencari jalan bagaimana supaya ada titik persefahaman.
Kalau tidak boleh bergabung sebagai contoh dalam satu-satu kelompok sahaja, kalau boleh ada persefahaman dan kerjasama secara longgar dalam politik supaya kepentingan umat Islam terjamin.
Kalau kita berpecah sepertimana yang berlaku hari ini, kemungkinan umat Islam akan hilang kuasa politik. Di Malaysia kita bimbang. Bukan kerana rasis tetapi dari segi politik negara kita mesti ada sebuah parti teras.
Sesiapa yang nak menjadi kerajaan, perlu ada parti teras yang mewakili umat Islam dan orang Melayu.
Kita harap Pas, UMNO dan Bersatu menjadi teras kepada kerajaan kelak. Ketiga-ketiga ini menjadi teras kepada kerajaan yang memerintah Malaysia pada masa akan datang. Itu yang kita harapkan.
Baru-baru ini, parti Amanah mendakwa tidak mungkin bersama dengan Pas kerana akidah sama tetapi akhlak berbeza kerana Pas dilihat bertoleransi dengan pihak yang didakwa melakukan rasuah. Apa komen Datuk?
Apakah dalam Pakatan Harapan (PH) semuanya bersih? Tanya Amanah macam mana kes Lim Guan Eng. Kalau mereka mengkritik Pas berkawan dengan UMNO kerana Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagaimana pula dengan DAP? Kes Guan Eng itu satu kes yang klasik.
Sewaktu PH memerintah, kes beliau ditarik balik oleh Peguam Negara. Itu satu perkara yang besar. Kita melihat berlaku double standard.
Jadi kalau mereka betul-betul boleh bekerjasama dengan parti yang bersih, mungkin mereka boleh bercakap mengenai perkara ini, tetapi DAP pun orang tahu.
Dulu orang ingat mereka bagus, menentang rasuah dan kleptokrasi. Apabila menjadi sebahagian daripada kerajaan, dalam masa 22 bulan orang sendiri melihat wajah sebenar DAP.
Bagaimana pula kalau Amanah ubah fikiran nak bekerjasama dengan Pas?
Sebelum ini saya telah keluarkan satu kenyataan bahawa Pas sedia untuk berbincang, duduk semeja dengan Amanah bersyarat mereka keluar daripada PH, tinggalkan DAP.
Sebagaimana dengan Bersatu dahulu, kita pun berlawan sewaktu mereka dalam PH tetapi bila Bersatu keluar daripada PH, memisahkan diri daripada DAP, kita boleh duduk dan berbincang bersama. Amanah pun sama. Kita tak menjadi masalah kerana pendekatan politik kita terbuka. Pas meletakkan kepentingan ummah dan negara di hadapan. Lebih daripada perkara yang lain.
TRIVIA
Dari kecil sudah dikelilingi suasana politik
Saya sebenarnya lahir dalam keluarga ahli politik. Saya lahir pada tahun 1959. Sewaktu itu berlaku pilihan raya, ayah saya sedang berceramah di Kota Bharu. Sewaktu itu jugalah saya dilahirkan.
Sejak kecil lagi saya dibawa oleh ayah pergi ke merata-rata tempat berkempen mengenai pilihan raya. Jadi saya dibesarkan dalam suasana politik.
Itu yang membina minat dan kesedaran kepada saya sehingga menceburkan diri sepenuh masa dengan dunia politik.
Bercakap tentang anak-anak, saya tidak memaksa mereka untuk melakukan apa yang saya lakukan sekarang. Ayah saya dulu pun tidak paksa saya, cuma dia bagi pendedahan. Jadi, anak-anak saya pun begitu.
Walaupun mereka tidak seperti zaman saya, mereka juga terdedah sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Saya berhenti menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1995.
Pulang ke kampung meninggalkan Kuala Lumpur sedangkan anak saya dibesarkan di sana. Mereka lihat saya jarang berada di rumah.
Jadi ini sedikit sebanyak akan membuatkan mereka belajar dan saya percaya ia boleh memberikan kefahaman serta kesedaran tentang politik dan juga mengenai kehidupan ayah mereka.
Gemar baca komik Dimension X
Jika diberikan pilihan, saya memang nak kembali semula ke universiti. Dulu saya seorang pensyarah. Selama 10 tahun di UAIM.
Saya rasa itulah yang paling sesuai dengan saya tetapi disebabkan tuntutan dan keperluan ummah, saya terpaksa tinggalkannya.
Saya suka universiti kerana ada peluang untuk membaca. Kalau jadi pensyarah kita terpaksa membaca untuk kita mengajar. Kadang-kadang ada lebih tiga buku kita rujuk sebelum mengajar.
Kemudian saya boleh berkongsi maklumat dan pengalaman dengan pelajar-pelajar selain menambahkan lagi ilmu pengetahuan.
Apabila terlibat dengan dunia politik ini, masa untuk membaca amat terhad. Jadi saya merasakan hilang sesuatu dalam diri iaitu tidak boleh membaca buku. Saya membaca buku pelbagai genre.
Saya juga gemar membaca komik sebab dapat melahirkan satu kreativiti. Sebahagian daripadanya juga ada asasnya.
Kita lihat di negara Barat, mereka tak percaya dengan alam ghaib tetapi dalam komik itu sendiri ada menceritakan tentang makhluk yang datang daripada Dimension X.
Sebenarnya dalam Dimension X, itulah alam ghaib, alam metafizik tetapi kalau di Barat mereka tak nak mengaku, maka mereka guna istilah itu.
Dimension X adalah alam rohani, spiritual dan metafizik. Jadi ini perkara-perkara yang menarik perhatian saya.