SHAH ALAM - Peniaga di Selangor dan Kuala Lumpur menyambut baik keputusan kerajaan yang membenarkan bazar Ramadan beroperasi sepenuhnya seperti biasa pada tahun ini.
Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, keputusan itu amat ditunggu-tunggu golongan peniaga ekoran Ramadan bakal disambut tidak sampai dua bulan lagi.
Menurutnya, keputusan membenarkan bazar itu beroperasi juga akan membolehkan golongan peniaga menarik nafas lega selepas kehilangan pendapatan sejak Covid-19 melanda.
"Dua tahun lalu, peniaga kecil sebahagian besarnya tidak dibenarkan untuk berniaga di bazar Ramadan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai antara mereka kehilangan punca rezeki.
Beliau berkata, persatuan juga akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi peniaga namun pada masa yang sama berharap pengunjung juga dapat mematuhinya seperti memakai pelitup muka dan mengimbas MySejahtera ketika mengunjungi bazar itu nanti.
"Setakat ini kita telah setuju untuk kekalkan penjarakan satu meter antara peniaga selepas proses pengundian tapak bazar Ramadan di Lorong Tunku Abdul Rahman selesai bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut sama ada pihaknya akan mengehadkan pengunjung yang hadir dalam satu-satu masa, Rosli berkata, tindakan itu tidak akan dilaksanakan kerana yakin ia akan menjadikan keadaan tidak terkawal kerana masing-masing mahu cepat pulang untuk berbuka puasa.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tiada sebarang sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi termasuk bazar Ramadan pada tahun ini.
Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, SOP bazar akan diperhalusi dan diumumkan apabila sampai masanya nanti.
Sebelum ini peniaga bazar bimbang mereka tidak boleh berniaga akibat kes Covid-19 yang meningkat mendadak, susulan penularan varian Omicron sejak lebih sebulan lalu.
Tahun lalu, 700,000 peniaga bazar Ramadan di Malaysia terjejas kerana tidak dibenarkan berniaga.
Sementara itu Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Selangor, Kamal Ahmad Abdullah berkata, langkah itu tepat pada masanya kerana pelbagai sektor lain juga telah dibenarkan beroperasi sepenuh masa.
"Kerajaan telah benarkan pelbagai jenis perniagaan kembali beroperasi untuk memulihkan ekonomi negara dan pastinya langkah ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang terkesan kerana tidak dapat berniaga ,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca