SEORANG lelaki, Zhang Shaoge mahu berkahwin tetapi selepas sukar menemui wanita yang tepat melalui rakan-rakannya, dia kemudian menaruh harapan mencari pasangan kepada Parti Komunis China. Berikutan kebimbangan berhubung kejatuhan kadar... Klik di sini untuk terus membaca

SEORANG lelaki, Zhang Shaoge mahu berkahwin tetapi selepas sukar menemui wanita yang tepat melalui rakan-rakannya, dia kemudian menaruh harapan mencari pasangan kepada Parti Komunis China.

Berikutan kebimbangan berhubung kejatuhan kadar kelahiran dan perkahwinan serta kesan akibat ekonomi yang tidak berkembang, pegawai-pegawai tempatan dari cawangan belia parti komunis tersebut mengambil peranan sebagai penjodoh perkahwinan.

Sebahagian mereka menganjurkan lebih banyak acara untuk mempertemukan golongan bujang bagi mencari pasangan masing-masing.

"Ia mengenai masa untuk pertemuan sosial dan berkahwin pada usia ini. Tidak ada sesiapa yang sesuai di sekeliling saya pada masa ini. Jadi, saya ingin mengembangkan bulatan (perkenalan) sosial saya," kata Shaoge berusia 30 tahun seperti dilaporkan oleh AFP.

Sehingga kini kadar perkahwinan telah merosot di China.

Pada tahun 2020, seramai 8.14 juta pasangan mendaftar untuk berkahwin, menurut Biro Statistik Kebangsaan China (NBS).

KADAR KELAHIRAN TERENDAH

Kadar kelahiran di negara paling ramai penduduk di dunia itu menjunam kepada 7.52 kelahiran bagi setiap 1,000 orang pada tahun lepas, menurut data NBS.

Ia merupakan angka paling rendah sejak tahun 1949.

Sebahagiannya disebabkan oleh dasar satu anak China dan keutamaan lama yang memberi lebih perhatian kepada anak-anak lelaki berbanding perempuan.

Ia menyebabkan pengguguran kandungan terpilih dan mengakibatkan pembunuhan bayi sehingga terdapat berpuluh-puluh juta lebih ramai lelaki berbanding wanita.

Ketidakseimbangan jantina untuk generasi antara tahun 1980 dan 2016 apabila peraturan telah dilonggarkan terutamanya sekali di kawasan luar bandar menambahkan kekurangan bilangan bakal pengantin yang berpotensi untuk mendirikan perkahwinan.

Shaoge yang tinggal di bandar menjelaskan: "Saya tidak mendampingi wanita kerana tugas saya."

Dia menambah bahawa beliau menyertai acara mempertemukan jodoh kerana dia juga menghadapi tekanan daripada keluarganya untuk berkahwin.

Dia tidak bersendirian dalam soal itu.

Lebih 100 orang yang masih bujang menghadiri acara yang disokong oleh Parti Komunis itu di Jinan, Shandong iaitu wilayah timur China.

Pada majlis itu, terdapat profil para tetamu yang memperincikan peringkat umur, bidang pekerjaan dan pendapatan telah digantung pada pokok di sebuah taman di Jinan.

Majlis bagi mencari jodoh banyak dianjurkan oleh cawangan belia Parti Komunis China. - Foto AFP

MAJLIS CARI JODOH

Seorang jurutera Li Changle, 26, yang menghadiri majlis itu berkata seperti dilaporkan oleh AFP: "Saya berasa lebih selamat (dengan majlis-majlis rasmi). Ada banyak laman web mencari jodoh tetapi selepas mengisi maklumat anda, anda akan menerima gangguan menerusi panggilan-panggilan (telefon)."

Seorang lagi peserta, Xu Feng, 40, mengaku dia mendaftar untuk menghadiri majlis tersebut kerana keluarganya mahu dia cepat berkahwin.

"Ketika umur semakin meningkat, akan terdapat lebih banyak tekanan," katanya.

Di wilayah Anhui pula, pegawai-pegawai tempatan telah beralih kepada teknologi untuk mendekatkan golongan muda.

Ini menyebabkan mereka telah melancarkan program mini dalam media sosial WeChat.

Ahli-ahli yang berdaftar boleh melihat maklumat seperti nama keluarga seseorang, ketinggian dan pendapatannya.

"Jika anda suka seseorang, anda boleh menjadikan mereka sebagai seorang rakan," jelas seorang wakil Liga Pemuda Komunis, Li Heng.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, cawangan belia Parti Komunis China itu telah memainkan peranan penting dalam menaja acara besar-besaran mencari jodoh, kata Leta Hong Fincher iaitu seorang penulis buku berjudul 'Betraying Big Brother: The Feminist Awakening in China.'

Sebelum ini, Beijing melakukan kawalan perancangan keluarga yang ketat.

Namun, pada Mei tahun lalu, ia mengumumkan bahawa pasangan di negara tersebut boleh mempunyai tiga orang anak.

Bagaimanapun, pencari jodoh di kawasn luar bandar memberitahu AFP bahawa ketidakseimbangan jantina terutama sekali di kawasan pedalaman bermakna cinta dan perkahwinan mungkin tidak mampu dinikmati oleh sebahagian orang.

Pada tahun lepas, cadangan untuk menggesa wanita-wanita di kawasan luar bandar untuk tinggal di kampung halaman mereka dan berkahwin dengan lelaki tempatan yang masih bujang mencetuskan kritikan di online.

Justeru, pihak berkuasa terpaksa menjelaskan bahawa ia sebenarnya tidak cuba untuk memaksa sesiapa pun untuk menetap di sesuatu tempat.

"Jika sekarang saya berusia 20-an, saya tidak akan mencari isteri," kata seorang pemandu penghantaran, Zhao Liang menyatakan bahawa proses perkahwinan itu ketika ini sangat materialistik berbanding ketika dia berkahwin.

BAYAR KELUARGA PEREMPUAN SAMPAI RM105,372

Parti Komunis China turut menyasarkan amalan perkahwinan tidak sihat dengan melancarkan pembaharuan perintis untuk membendung majlis perkahwinan yang dianggap diadakan dengan berlebih-lebihan seperti pemberian hadiah-hadiah mahal.

Juga dikenali sebagai 'harga pengantin perempuan', ia diberikan oleh keluarga pengantin lelaki dan di beberapa kampung di Henan dan boleh menjadi setinggi sehingga 160,000 yuan (RM105,372).

Beberapa pegawai telah mula mengehadkan hadiah itu kepada 66,000 yuan (RM43,465) sebagai cara menjadikan perkahwinan lebih mampu milik di kawasan luar bandar.

"Penduduk mahu anda mempunyai sebuah rumah dan sebuah kereta, walaupun tidak ada hadiah pertunangan. Ia sekurang-kurangnya sebanyak 500,000 yuan (RM329,287) hingga 600,000 yuan (RM395,145). Bagi sebuah keluarga di kawasan luar bandar, ia tidak mudah," kata Liang. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca