MASALAH alam sekitar semakin signifikan dan pelbagai sifatnya. Antara yang ketara adalah fenomena perubahan iklim, timbunan sampah sarap tidak terurus, pemusnahan hutan, keterancaman hidupan liar, banjir kilat di kawasan bandar dan perebakan penyakit berjangkit akibat kurang menitikberatkan kebersihan.
Penyebab pelbagai masalah itu sering berpunca daripada aktiviti manusia. Hari ini, hasil kealpaan manusia tentang apa dan siapa dirinya serta hakikat kebergantungan mutlaknya kepada alam tabii telah mengakibatkan kerosakan alam yang begitu parah.
Tindakan manusia terhadap alam sekitar merangkumi perilaku ‘mengambil’, ‘menambah’ dan ‘mengubah’ keadaan asal alam serta sumber-sumbernya.
Kegagalan manusia mentadbir dan memakmurkan alam menyebabkan berlaku pelbagai kerosakan serta bala bencana.
Agama menjadi asas dan berperanan penting dalam menjamin kelestarian alam sekitar melalui pemupukan nilai, kepercayaan atau pegangan agama yang mantap.
Kepentingan melindungi alam adalah tanggungjawab kita kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan agama.
Agama adalah antara pendorong utama memainkan peranan penting membentuk perilaku seseorang dan amalan masyarakatnya.
Justeru, agama adalah relevan dan mempunyai pengaruh bagi menangani krisis alam sekitar melalui pembinaan pandangan semesta yang harmoni, pembentukan budaya dan gaya hidup sihat serta penggubalan sistem nilai berkesan.
Semua agama menerapkan prinsip menjaga kebersihan dan memelihara alam sekitar.
Maka, rakyat Malaysia tanpa mengira agama perlu berganding bahu menjaga dan melindungi alam sekitar kerana semua agama mengajak ke arah mewujudkan hubungan harmonis antara manusia serta alam sekitar.
Dalam agama Islam, sebagai khalifah di muka bumi, manusia bertanggungjawab melindungi dan memakmurkan alam sekitar.
Ia bermaksud kita semua diamanahkan oleh ALLAH SWT untuk menjaga alam sekitar, dunia yang dicipta-Nya untuk kita.
Perkataan khalifah atau penjaga juga disebut dalam Bible yang menyeru penganut Kristian supaya menjaga alam sekitar.
Dalam agama Hindu pula, terdapat kesan ‘karma’ yang menimpa seseorang manusia berdasarkan perbuatan baik dan buruk yang dilakukannya terhadap alam sekitar.
Kehidupan manusia di bumi turut dikongsi bersama makhluk lain seperti haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Setiap elemen saling memerlukan antara satu sama lain dalam konsep dikenali sebagai kitaran kehidupan alam.
KETIDAKSEIMBANGAN ALAM
Sebarang pencabulan hak ke atas makhluk lain seperti mencemar, merosak, membunuh tanpa keperluan dan memusnahkan sumber alam akan membawa kepada ketidakseimbangan alam.
Mengambil agama Islam sebagai contoh, Islam menegaskan kepentingan memelihara dan memulihara alam ke atas setiap manusia demi memastikan kelestarian hidup.
Sebarang bentuk pencemaran dan kerosakan ke atas alam dikira sebagai perbuatan dosa. Islam sangat menekankan tentang konsep itu dalam kehidupan.
Manusia bukan sekadar perlu menjaga hubungan baiknya dengan Tuhan, malah dengan seluruh makhluk.
Sebarang bentuk kezaliman yang akan mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan lain dilarang keras, seperti firman ALLAH SWT: "Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (al-Qasas: 28: 77).
Sebarang gangguan yang menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem, padahnya akan kembali kepada manusia.
Malah, cara kita berinteraksi dengan alam akan menentukan bentuk bumi yang bakal diwarisi generasi akan datang, adakah ia terpelihara atau sudah tercemar.
Sebarang usaha bagi menjadikan alam sekitar terpelihara dan bersih adalah perbuatan digalakkan agama.
Jadi, kita disarankan menyumbang secara positif kepada kelestarian alam, antaranya tidak membazir elektrik dan air, mengguna produk mesra alam serta mengitar semula barangan tidak digunakan.
*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca