SHAH ALAM - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ASEAN perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menyelaraskan sijil vaksinasi supaya diterima di semua negara.
Penganalisis Perhubungan Antarabangsa, Oh Ei Sun berkata, mereka harus mengambil inisiatif dalam memastikan aplikasi vaksinasi atau pencegahan wabak pelbagai negara adalah selaras di bawah bidang kuasa mereka dan boleh diakses bersama antara satu sama lain.
"Mereka juga boleh mengaturkan lebih banyak rundingan dalam kalangan pihak berkuasa kesihatan awam negara-negara ini.
"Jika tidak, perkara sebaliknya yang lebih malang mungkin berlaku seperti sijil vaksinasi Filipina tidak dikenali dan mereka mungkin akan terkandas di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini media melaporkan, seramai 15 pelancong dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila selepas kumpulan itu tidak dibenarkan memasuki Filipina oleh pihak imigresen berikutan menerima vaksin di Malaysia.
Menurut portal The Star pada Ahad, seorang penumpang dilaporkan berkata, mereka dimaklumkan oleh pihak imigresen negara itu bahawa sijil vaksin digital dalam aplikasi MySejahtera tidak diterima sebagai bukti vaksinasi.
Mengulas lanjut, Ei Sun berkata, kejadian itu juga menunjukkan bahawa penyeragaman bukti vaksinasi masih menjadi masalah walaupun di negara jiran.
Ujar beliau, sekiranya pengiktirafan vaksin bersama masih tidak dapat dicapai, ia hanya sekadar janji kosong oleh pemimpin yang lantang bercakap dalam sidang kemuncak tentang usaha bersepadu untuk memerangi wabak itu.
"Terus terang, ia pasti akan berlaku lagi. Kerajaan hanya perlu memadamkan api apabila ia berlaku.
"Ini memerlukan resolusi dan usaha yang lebih bersepadu melibatkan banyak negara, dan bukan hanya satu negara seperti Malaysia yang cuba berusaha supaya sijil vaksinasinya diiktiraf oleh negara lain,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca