APABILA disebut mengenai Chelsea di United Kingdom, tentunya perkara pertama terlintas di fikiran pembaca adalah kelab bola sepak Chelsea. Ia begitu sinonim sebagai salah satu kelab yang mempunyai ramai penyokong dan peminat global... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA disebut mengenai Chelsea di United Kingdom, tentunya perkara pertama terlintas di fikiran pembaca adalah kelab bola sepak Chelsea.

Ia begitu sinonim sebagai salah satu kelab yang mempunyai ramai penyokong dan peminat global tersendiri.

Ramai tertanya-tanya apakah hubung kait antara kelab bola sepak itu dengan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2022) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur kurang 45 hari lagi?

Difikirkan sejenak, ia mungkin tidak dapat memberi apa-apa petunjuk yang mengaitkan Chelsea dengan Kuala Lumpur, apatah lagi dengan pameran pertahanan yang dimaksudkan.

Chelsea sebenarnya menyimpan khazanah industri pertahanan negara yang telah lama, pernah wujud di Tanah Melayu atau Malaya dan sehingga hari ini tidak berupaya dinobatkan semula oleh industri pertahanan tempatan walaupun berbilion ringgit telah dicurahkan pelbagai pihak.

Kenyataan di atas mungkin membuatkan ramai mengerut dahi dan menggelengkan kepala, malah mungkin ada menganggapnya sebagai kenyataan tidak berasas.

Apa tidaknya, kerana jika bercakap tentang industri pertahanan, bukan sedikit peneraju pemain industri pertahanan tempatan, agensi dan kementerian berkaitan telah berpeluang melawat United Kingdom, namun tumpuan mereka pada masa lapang mungkin lebih kepada bermain golf di kelab St Andrews atau bersiar-siar di Trafalgar Square.

Jika berpeluang ke Chelsea, eloklah pemain industri turun ke hospital Royal Chelsea.

Terdapat selaras meriam, jika dilihat sekali imbas mempunyai reka bentuk meriam kontemporari buatan negara Barat pada era ia pernah digunakan dalam peperangan.

Meriam itu telah menjadi penghuni setia di ruang terbuka pekarangan hospital berkenaan sejak 1887.

Ia mempunyai sejarah penggunaan dalam konflik yang unik. Pihak British telah merampas meriam tersebut dari Myanmar ketika Perang Burma Ketiga antara 1885-1886.

Sebelum itu, kerajaan Raja Burma telah menawan meriam itu daripada kerajaan Siam selepas mereka berjaya menawan bandar Ayuthia.

Untuk mengetahui kaitannya dengan industri pertahanan tempatan, pelawat perlu menghampiri meriam tersebut dan membaca inskripsi terukir di larasnya.

SENJATA TANAH MELAYU

Namun, perlu diingat sebagai orang Melayu, diharap pembacanya tidak buta tulisan jawi kerana penulisan sepenuhnya tertera sedemikian.

Meriam tersebut dihasilkan pada 1653 dan dimiliki oleh Sultan Singora yang hari ini dikenali sebagai wilayah Songkhla di Thailand.

Walaupun tidak diketahui siapa pembuatnya yang asal, namun sebahagian besar ahli sejarah British percaya ia dihasilkan di Malaya oleh seorang individu bernama Tun Jumaat.

Tun Jumaat telah mengukir bahagian laras meriam itu dengan tulisan disadur perak.

Kata-kata yang ditinggalkan Tun Jumaat membawa makna mendalam dan merupakan peringatan kepada generasi hari ini, antaranya: "Ingat-ingat hai engkau anak dagang, ke tanah juga kau kan pulang.

”Terdapat juga kata-kata untuk generasi mendatang bermaksud: "Aku telah membuat meriam ini untuk mengumpulkan musuh kejam dengan sembahan mereka di neraka, sebuah meriam yang akan dikagumi oleh teman-temanku apabila aku telah tiada.”

Demikianlah halusnya bahasa generasi terdahulu, namun untuk mengaitkan tulisan jawi dengan era kuno seperti mana oleh sesetengah pihak hari ini jelas sekali meleset kerana penggunanya juga mampu menghasilkan sistem per-senjataan moden setara dengan pihak Barat ketika itu.

Bayangkan, apabila British berjaya menawan meriam tersebut, ia dalam keadaan baik dan masih digunakan tentera Burma walaupun ketika itu ia telah menjangkau usia lebih 200 tahun! Demikianlah hebatnya teknologi bahan logam dan pembuatan senjata berat di Tanah Melayu.

Salah satu sebab kenapa meriam sedemikian dibawa ke United Kingdom, kerana pihak British tidak mahu ia digunakan lagi oleh sesiapa untuk mengancam keselamatan mereka di Burma selepas perang tamat.

Hari ini dengan kewujudan pelbagai firma dan agensi berkaitan pertahanan, sokongan institusi kajian serta pengajian tinggi, kerjasama dengan firma pengeluar asal aset pertahanan luar negara dan berbilion ringgit telah dihabiskan, kita masih gagal menjumpai Tun Jumaat atau produk seperti dihasilkan beliau.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca