SHAH ALAM - Pemilik ladang kelapa sawit di seluruh negara menghadapi masalah kekurangan pekerja yang kritikal. Presiden Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA), Jeffrey Ong berkata, dianggarkan kira-kira 100,000 pekerja diperlukan di... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemilik ladang kelapa sawit di seluruh negara menghadapi masalah kekurangan pekerja yang kritikal.

Presiden Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA), Jeffrey Ong berkata, dianggarkan kira-kira 100,000 pekerja diperlukan di ladang kelapa sawit di seluruh negara.

"Perkara ini (masalah kekurangan pekerja) bertambah kritikal dengan banyak ladang yang semakin kekurangan pekerja. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, industri perladangan sudah kekurangan 36,000 pekerja.

"Sekarang ini sudah setahun lebih dan angka itu semakin bertambah dan jika tiada langkah daripada kerajaan untuk mengatasinya, maka ia akan bertambah parah dan akan menyebabkan kerugian kepada ladang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, kekurangan pekerja itu menyumbang kepada banyak masalah termasuk untuk kerja-kerja penuaian hasil ketika harga komoditi itu sedang tinggi di pasaran dunia.

"Kerugian yang bakal dihadapi oleh pemilik adalah tidak dapat memaksimumkan penuaian hasil. Kalau kebiasaannya buah kelapa sawit dituai dua kali sebulan tetapi disebabkan kekurangan pekerja ia dilakukan dalam tempoh masa dua atau tiga kali dalam tempoh dua bulan.

"Ia sekali gus menyebabkan buah yang dikutip sudah rosak atau sudah kekurangan kualiti pada buah itu. Selain itu, kekurangan pekerja ini menyebabkan ladang kekurangan orang untuk membaja sehingga pokok kekurangan zat. Malah, kerja menebas rumput di ladang juga tidak dapat dilakukan sekali gus menyebabkan rumput panjang dan menyukarkan kerja untuk mencari buah.

"Akibat kekurangan pekerja ini, pemilik ladang perlu membuat pilihan sama ada pada bulan tersebut menumpukan kepada kutip buah, membaja atau menebas rumput,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan tindakan segera daripada kerajaan bagi mengatasi masalah itu sekali gus memastikan negara tidak akan mengalami kerugian daripada sektor tersebut pada masa akan datang.

Sektor perladangan kelapa sawit di negara ini yang berkeluasan 5.88 juta hektar memerlukan kira-kira 736,111 pekerja ladang iaitu secara purata seorang pekerja bagi lapan hektar ladang.

Klik di sini untuk terus membaca