Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, isu beg sekolah berat ini sentiasa menghantui masyarakat dan sekiranya ia terus berlanjutan, ia pasti memberi kesan kepada tumbesaran dan kesihatan murid-murid dalam jangka panjang.
"Isu ini bagai penderaan fizikal dan emosi kepada kanak-kanak sekolah. Bayangkan pelajar setiap hari terpaksa menggalas beg sekolah yang melebihi berat badan mereka.
"Perlukah murid-murid ini dibiarkan membawa beban tersebut? Kita inginkan mereka berasa seronok datang ke sekolah tanpa bebanan yang sepatutnya tidak berlaku secara sengaja mahupun tidak sengaja khususnya di peringkat sekolah rendah lagi,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, pihak PIBGN turut menerima puluhan aduan telefon dan penghantaran video ringkas mengenai isu beg berat pada tahun ini dan tahun lepas.
"Kebanyakan ibu bapa membuat aduan mengenai beg besar yang terdapat di pasaran dan ruangan kosong beg tersebut boleh menyebabkan pelajar mengisi pelbagai bahan yang mungkin tidak diperlukan.
"Guru mungkin boleh menyediakan ‘check list’ keperluan optima yang perlu dibawa setiap hari. Kami amat risau akan kesan jangka panjang dan risiko yang boleh berlaku kepada kesihatan, jisim dan bentuk badan murid-murid,” katanya.
Mohamad Ali berkata, antara cadangan bagi menangani penderaan beg berat ini adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membawa berat maksima bagi beg sekolah yang digalas iaitu sebanyak 10 peratus dan beg yang ditarik sebanyak 20 peratus berbanding dengan berat badan murid.
"Kita perlu sentiasa membuat kempen atau iklan untuk memastikan beg sekolah yang digunakan tidak melebihi had yang ditetapkan oleh garis panduan KPM demi kesejahteraan dan kesihatan generasi akan datang.
"Pihak sekolah memainkan peranan untuk membuat ‘spot check’ berat beg sekolah agar pelajar tidak membawa bahan atau buku yang tidak diperlukan dan denda bagi mereka yang membawa beg melebih had beban berat yang ditetapkan supaya semua pihak memandang serius akan isu ini,” katanya.
Selain itu, Mohamad Ali juga bersetuju sekiranya PIBG dan Koperasi sekolah menyediakan lokar berkunci untuk disewakan kepada pelajar.
"Selain lokar, kita boleh mengadakan inisiatif lain seperti pemeriksaan kesihatan murid secara berkala atau rawak bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
"Panduan juga harus diberikan kepada pihak swasta, pembekal dan pereka beg sekolah untuk menetapkan reka bentuk beg supaya tidak mempunyai berat yang berlebihan dan sesuai untuk digunakan ke sekolah,” katanya.
Mohamad Ali berkata, masyarakat tidak patut menuding jari kepada mana-mana pihak dan bersama-sama memainkan peranan proaktif demi kesejahteraan nasib pelajar yang perlu dibela.
"Usaha bersepadu semua pihak harus dilakukan segera untuk menghentikan penderaan senyap dan budaya membawa beg sekolah berat ke sekolah. Yang paling penting, murid-murid tidak lagi menghidapi gangguan bebanan, terencat tumbesaran atau sebarang masalah kesihatan jangka panjang.
"Saya mencadangkan mesyuarat penyelarasan untuk tindakan bersama daripada KPM, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara untuk menetapkan garis panduan saiz pemakaian beg yang praktikal dan munasabah,” katanya. Klik di sini untuk terus membaca