SHAH ALAM - Pas mengharapkan UMNO boleh mengubah kembali pendirian dan sikap mereka terhadap keperluan membentuk gabungan kerjasama di antara parti-parti Melayu di Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi kepentingan ummah.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pas mengharapkan UMNO boleh mengubah kembali pendirian dan sikap mereka terhadap keperluan membentuk gabungan kerjasama di antara parti-parti Melayu di Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi kepentingan ummah.

Naib Presiden Pas, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sekiranya UMNO bersedia berbuat demikian, Pas memberi jaminan akan bekerjasama demi kepentingan umat Islam dan negara.

Jelas beliau, apabila UMNO mengisytiharkan putus hubungan dengan Pas, tindakan itu mengejutkan parti Islam itu kerana Pas amat mengharapkan hubungan dan kerjasama ini berterusan pada masa akan datang.

Ditambah UMNO memiliki kekuatan dan ahli yang ramai, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu mengakui implikasi kerjasama Pas-UMNO pastinya dapat menggambarkan kekuatan umat Islam yang berada di Malaysia.

"Kita pada awal lagi merasakan Muafakat Nasional (MN) ini sebagai permulaan kepada kerjasama politik yang lebih luas dalam Malaysia dan kita tidak boleh kongkong ataupun ikat MN antara Pas dengan UMNO sahaja.

"Kalau ada parti lain yang majoriti umat Islam mempunyai cita-cita sama sepatutnya berganding bahu. Tetapi UMNO ini mereka nak jadi ‘eksklusif’. MN antara Pas dengan UMNO sahaja. Tidak boleh terima parti lain.

"Jadi kita mengharapkan supaya suatu masa sebelum PRU15, UMNO boleh merenung kembali pendirian mereka dan mengubah sikap mereka. Ketika itu, kita bersedia bekerjasama untuk kepentingan umat Islam dan juga negara," tegasnya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian pada Sabtu.

NIK MOHD AMAR

Menyentuh mengenai status kerjasama MN di peringkat negeri, Nik Mohd Amar mengakui Pas sebenarnya berdepan dilema dalam merungkai status hubungan kerjasama politik di bawah MN

Ujar beliau, hal ini kerana UMNO di peringkat badan perhubungan negeri dilihat tidak sekata dalam aspek pengekalan hubungan dengan Pas di peringkat negeri masing-masing.

"UMNO juga kadang-kadang kita sendiri tak faham sebab di Kelantan, mereka putuskan hubungan tetapi di Selangor, UMNO kata akan kekal hubungan dengan Pas.

"Jadi kita dalam dilema. Di sini kita nampak UMNO tidak sekata dalam isu yang disebutkan tadi," luahnya lagi.

Pada masa sama, Nik Mohd Amar turut menegaskan keperluan parti-parti Melayu Islam di negara ini membentuk persefahaman dan kerjasama secara longgar dalam politik sekalipun tidak boleh bergabung di bawah satu koalisi rasmi.

Tambahnya, lagi, kemungkinan umat Islam akan kehilangan kuasa politik jika parti-parti Melayu terus berpecah atau hanya bergabung atas kepentingan satu-satu kelompok sahaja.

"Kalau tidak boleh bergabung sebagai contoh dalam satu-satu kelompok sahaja, kalau boleh ada persefahaman dan kerjasama secara longgar dalam politik supaya kepentingan umat Islam terjamin.

"Kalau kita berpecah sepertimana yang berlaku hari ini, kemungkinan umat Islam akan hilang kuasa politik. Di Malaysia kita bimbang. Bukan kerana rasis tetapi dari segi politik negara kita mesti ada sebuah parti teras.

"Sesiapa yang nak menjadi kerajaan, perlu ada parti teras yang mewakili umat Islam dan orang Melayu," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca