SEJAK beberapa minggu ini negara dilaporkan mengalami krisis kekurangan bekalan telur ayam dan ia sesuatu yang perlu diberi perhatian serius agar tidak terus melarat.Apakan tidak, sudah semakin banyak rungutan dan keluhan kedengaran sama... Klik di sini untuk terus membaca
SEJAK beberapa minggu ini negara dilaporkan mengalami krisis kekurangan bekalan telur ayam dan ia sesuatu yang perlu diberi perhatian serius agar tidak terus melarat.

Apakan tidak, sudah semakin banyak rungutan dan keluhan kedengaran sama ada daripada pihak pembekal dan peniaga malah juga pengguna yang rata-rata mengatakan telur ayam sukar diperoleh.

Lebih mengejutkan ada peniaga nasi lemak yang terpaksa melupakan telur rebus dalam hidangan nasi lemak mereka kerana krisis telur ini. Peniaga lain pula terpaksa beralih menggunakan telur omega sebagai alternatif.

Persoalannya, adakah benar negara kekurangan telur ayam sedangkan menurut laporan Kadar Sara Diri (SSR) 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mengatakan SSR bagi telur ayam/itik adalah melebihi 100 peratus.

Atau lebih tepat lagi 113.5 peratus, ini bermakna tiada defisit bekalan telur ayam dan ia lebih daripada mencukupi untuk keperluan pengguna dalam negara.

Untuk rekod, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 30 juta biji telur ayam sehari atau 930 juta sebulan di seluruh negara.

DR ANJAS ASMARA


PELIK

Timbalan Dekan Pembangunan, Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Anjas Asmara Samsudin berkata, siasatan perlu dilakukan sama ada bilangan ayam penelur semakin berkurangan di ladang-ladang ternakan.

"Kebanyakan bahan mentah untuk makanan ayam seperti jagung dan kacang soya diimport dari China, Brazil dan Argentina. Kenaikan kos item tersebut boleh menyebabkan segelintir pengusaha ladang ayam penelur menutup sementara operasi bagi mengelakkan kerugian yang besar.

"Sekiranya situasi ini benar berlaku maka ia boleh menyumbang kepada gangguan bekalan telur ayam yang sedang melanda negara ketika ini," kata Anjas Asmara ketika dihubungi Sinar Premium pada Khamis.

Katanya lagi, isu kenaikan harga dedak guni yang banyak digunakan penternak kontrak (kontrak farmer) kecil-kecilan juga berkemungkinan menyumbang kepada gangguan bekalan telur ayam di pasaran.

Penternak kontrak (kontrak farmer) merupakan penternak yang mempunyai kawasan dan fasiliti menternak yang mengikat perjanjian dengan syarikat-syarikat pengeluaran ayam besar.

Syarikat-syarikat besar ini akan membekalkan anak ayam kepada penternak kontrak dan akan membeli kembali ayam tersebut apabila telah mencapai berat pasaran.

"Dari tahun 2020 hingga ke tahun ini berlaku kenaikan mendadak harga bahan mentah disebabkan kos import yang meningkat dan kebanyakan kontrak farmer ini sudah mula terpaksa menutup ladang ternakan.

"Untuk syarikat penternakan besar pula tidak terlalu terkesan kerana menghasilkan sendiri makanan untuk ternakan mereka di kilang lalu dihantar terus ke ladang," ujar beliau.

Namun kata Anjas Asmara, isu kekurangan bekalan telur ayam ini pelik kerana sekiranya berlaku kekurangan bekalan sekali pun ia tidak sepatutnya sampai ke tahap kehabisan langsung tambahan lagi ia berlaku secara mendadak dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

"Ikut kelaziman ayam penelur betina akan mula menghasilkan telur dari usia 18- 20 minggu hingga ke-70 minggu.

"Tetapi isu ini baru sahaja berlaku dalam beberapa minggu ini, jadi bagaimana boleh berlaku kekurangan bekalan telur ayam secara meluas dan tiba-tiba?

"Kalau difikir secara logik, adalah mustahil semua ayam penelur di Malaysia sudah berada pada usia 70 minggu dan tidak lagi mampu menghasilkan telur untuk dipasarkan," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, demi mengatasi masalah kekurangan telur ayam di pasaran, kerajaan telah membenarkan pengimportan daging ayam dan telur sehingga bekalan dalam negara dapat dipulihkan.

Selain itu, kerajaan juga akan memberi subsidi lima sen sebiji kepada pengeluar dan penternak untuk semua jenis kategori telur.

Tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Februari hingga 4 Jun iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).

DR ABDUL SHUKOR


TANAM JAGUNG SKALA BESAR

Bagi pakar sekuriti makanan negara UPM, Profesor Datuk Dr Abdul Shukor Juraimi, langkah membenarkan import telur ayam boleh dianggap wajar buat masa ini namun untuk jangka masa panjang langkah yang lebih mampan harus dilaksanakan.

"Untuk jangka masa panjang, pemain industri ternakan ayam dengan kerjasama kerajaan mungkin perlu memikirkan formula terbaik untuk mengeluarkan bahan makanan ternakan sendiri.

"Mungkin boleh diusahakan penanaman jagung dalam skala besar dan dibantu teknologi tinggi untuk mengurangkan kos input tinggi yang terpaksa ditanggung sekiranya kita mengimport dari luar negara," kata Abdul Shukor .

Katanya, tiada penternak yang mahu berniaga untuk rugi manakala penggguna pula perlu bekalan telur ayam sentiasa mencukupi dengan harga yang berpatutan.

"Sekiranya kita dapat menyelesaikan dilema ini maka kedua-dua pihak akan mendapatkan keuntungan," katanya lagi.

Pada akhirnya, isu kekurangan bekalan telur ayam ini perlu segera diselesaikan apatah lagi menjelang ketibaan bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi. Jangan sampai orang ramai terpaksa berebut-rebut mendapatkannya di kedai-kedai.

INFO AYAM PENELUR

* Ayam penelur betina tidak memerlukan ayam jantan untuk menghasilkan telur

* Apabila usia matang dari 18-20 minggu ayam penelur betina akan mula menghasilkan telur hingga usia 70 minggu

* Ayam penelur betina menghasilkan sebiji telur setiap 24-26 jam

* Selepas 70 minggu, ayam penelur tidak lagi menghasilkan telur dan dipanggil sebagai ayam pencen Klik di sini untuk terus membaca