RAMAI kagum dengan kepetahan wartawan cilik, Muhammad Haziq Mohd Asyraf dari Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah bila dia melaporkan penemuan ular sawa yang amat besar di pasar awam di daerahnya.
Padahal, ular ditemuinya itu tidaklah sebesar mana, yang besar adalah imaginasinya sebagai seorang kanak-kanak.
Kita yang menonton video tular itu pada mulanya turut percaya dengan ‘kedahsyatan’ ular itu.
Terdapat beberapa media bebas yang memaparkan video tersebut termasuk media-media utama seperti Astro Awani, RTM dan TV3 sehinggakan Bernama membuat rakaman temu bual Muhammad Haziq bersama Perdana Menteri.
Capaian keseluruhan berita-beritanya boleh mencecah sehingga 500,000 tontonan. Sampai begitu sekali berita ular sawa mengangkat seorang kanak-kanak bernama Muhammad Haziq.
Media yang membuat liputan mengenainya turut mencari sudut-sudut cerita sehingga kita tahu kanak-kanak berusia 12 tahun itu juga pandai memasak dan ingin menjadi seorang cef. Dan dia adalah penghidap penyakit talasemia.
Begitulah kita hari ini. Kita meminati apa yang dinamakan sebagai berita human interest. Kita sudah kurang meminati berita political interest, social interest, economic interest, malah world interest. Kesemua interest yang lain sudah tidak menarik lagi.
Saya teringat kata-kata Eleanor Roosvelt, isteri Theodore Roosvelt, salah seorang Presiden Amerika Syarikat. Kata-katanya yang pedas dan menikam – "Small minds talk about people, average minds talk about issues, big minds talk about ideas.”
Nampaknya kita sudah tidak meminati untuk bercakap tentang isu, apatah lagi mengenai idea. Sebaliknya, kita lebih meminati hal-hal manusia. Hari ini berita berkaitan manusia, khususnya mengenai keletah, kerenah dan kegilaan manusia menjadi berita pilihan. Apakah minda kita sudah kecil?
Sejak munculnya situs media sosial pada 1997 yang membolehkan manusia berkawan dan berinteraksi serta penulisan blog mula popular pada 1999, sumber berita melalui radio, televisyen dan akhbar cetak tidak lagi menjadi pilihan utama. Sejak itu sesiapa sahaja boleh menjadi penyampai berita.
Sama ada berita itu benar, separuh benar mahupun palsu, ia berkembang dan berleluasa kerana individu mahupun mereka yang menulis berita tidak terikat dengan apa-apa etika kewartawanan.
Maka, terjadilah huru-hara maklumat yang mengakibatkan kita lebih banyak terdedah kepada maklumat dan berita tidak tepat serta fitnah.
Pada mulanya manusia menyukai kebebasan media dan ketelusan maklumat. Mereka percaya telah mendapat informasi lebih terbuka dan tiada tapisan. Mereka berasa pihak berkuasa tidak boleh lagi berselindung dan berbohong. Yang memerintah kini seperti tinggal di rumah kaca kerana rakyat sentiasa boleh melihat mereka di dalam.
Malangnya, huru-hara maklumat yang bersimpang-siur, bertimpa-timpa dan berulang-ulang telah mengaburkan maklumat sebenar. Taufan maklumat itu dengan mudah membolehkan pihak yang menimbulkan persoalan itu berselindung di sebalik tembok kebisuan.
Hanya dengan mendiamkan diri sahaja, keterujaan kita mendapat kebenaran menjadi tawar. Contohnya, apabila berita korupsi atau salah laku mula ditularkan, dalam tempoh tidak sampai seminggu, apa yang menjadi keghairahan bualan dan diskusi kita sudah tidak lagi diminati.
Ia tenggelam kerana pelbagai berita lain yang menyeronokkan berderet-deret muncul dan menjenguk di skrin telefon kita. Terlalu banyak maklumat menjadikan kita malas dan penat.
Kita lebih sukakan berita segar dan menggembirakan kerana ia tidak menyenakkan fikiran. Kerana itu, berita yang memerlukan kita memerah otak dengan persoalan dan penyelidikan mudah ditolak ke tepi. Kisah seperti yang dibawa oleh Muhammad Haziq itulah yang jadi tumpuan kerana ia disulami dengan ‘ha ha ha’.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca