KES tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila tentulah memeranjatkan. Soalannya, apakah sijil vaksinasi Malaysia tidak diiktiraf di Filipina? Apakah ada negara lain yang juga tidak mengiktiraf sijil yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?
Menurut mereka yang terkandas, pihak Imigresen Filipina tidak mengiktiraf sijil digital MySejahtera sebagai bukti vaksinasi. Peliknya mereka yang mendapat vaksinasi dari negara lain dalam rombongan itu dibenarkan masuk. Mujurlah pihak Kedutaan Malaysia di Filipina membantu mereka yang terkandas. Ringanlah sedikit beban mereka.
Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Awang dengar khabar tindakan Imigresen Filipina ini adalah reaksi balas oleh sebab Malaysia belum membuat keputusan mengiktiraf sijil vaksinasi Filipina, VaxCertPH. Menurut ceritanya, Malaysia yang melengah-lengahkan pengiktirafan itu.
Sepatutnya ada penyelarasan di antara negara-negara khususnya dalam ASEAN tentang hal ini. Awang tidak tahu apakah peranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam hal ini. Apakah rakyat Malaysia perlu dapatkan sijil vaksinasi antarabangsa yang dikeluarkan oleh WHO untuk negara-negara tertentu?
Takkanlah isu semudah itu tak dapat diselesaikan? Di mana semangat ASEAN yang selama ini digembar-gemburkan? Atau ASEAN sudah tidak relevan lagi?
Klik di sini untuk terus membaca