SHAH ALAM - Tiada bukti menunjukkan vaksin Covid-19 dapat meningkatkan risiko serangan jantung atau strok di negara ini. Pakar jantung Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Akbar Onn Akbar Ali berkata, masyarakat perlu bijak membezakan dua isu yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tiada bukti menunjukkan vaksin Covid-19 dapat meningkatkan risiko serangan jantung atau strok di negara ini.

Pakar jantung Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Akbar Onn Akbar Ali berkata, masyarakat perlu bijak membezakan dua isu yang berlainan iaitu meninggal dunia akibat serangan jantung selepas vaksinasi atau disebabkan vaksinasi.

"Serangan jantung dan strok masih lagi menjadi punca utama kematian di Malaysia dan data itu kekal sebelum wujudnya wabak Covid-19 lagi.

"Setakat ini 6.3 bilion dos vaksin Covid-19 telah diberikan di seluruh dunia dan setiap kerajaan atau jabatan kesihatan ada niat yang baik untuk pelihara rakyat negara masing-masing daripada terkena kesan Covid-19.

"Setakat ini tiada bukti langsung mengatakan vaksin itu sendiri yang akan meningkatkan risiko serangan jantung atau strok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar edisi ke-323 bertajuk 'Takut booster atau takut Covid-19' pada Selasa yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Wacana itu turut menampilkan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin dan selebriti, Irma Hasmie Ibrahim manakala Khairil Amri bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu Akbar Onn mengakui, ada berita di laman sosial yang mendakwa mangsa meninggal dunia akibat strok dan serangan jantung selepas terima vaksin.

"Memang tidak mustahil kalau kita nampak ada orang tiba-tiba rebah kerana serangan jantung atau strok selepas vaksin, namun kena yakin bahawa tidak semestinya mangsa meninggal atau kena strok disebabkan vaksin.

"Ini kerana apabila kemuncak program vaksinasi nanti akan ada 500,000 orang yang akan terima vaksin setiap hari dan risiko untuk kena serangan jantung telah wujud adanya vaksin Covid-19.

"Satu atau dua orang dalam setiap 100,000 dalam kalangan dewasa meninggal disebabkan serangan jantung dan sekali lagi saya ulang, serangan ini dan strok adalah punca utama kematian di Malaysia," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca