SEKARANG ini memang trend orang minum kopi dan kalau pembaca nak tahu, Mat Taici memang hantu kopi dan wajib cuba kafe-kafe baharu yang menyajikan kopi serta suasana ‘hipster’ yang sesuai untuk tangkap gambar.
Baru-baru ini terdapat sebuah jenama kopi Malaysia yang sangat popular bagi generasi Z dan Mat Taici pun tidak mahu kalah lalu mencubanya untuk menikmati sendiri sama ada apa yang mereka gembar-gemburkan itu berbaloi atau tidak.
Mat Taici fikir apa salahnya kita menyokong perniagaan buatan Malaysia namun seribu kali hampa apabila kopi itu tidak menepati cita rasa Mat Taici sebagai penggemar setia kopi nombor satu negara.
Malah, harga kopi tersebut agak mahal dan tidak sesuai buat rakyat Marhaen seperti Mat Taici ini tetapi tidak dinafikan dari segi ‘packaging’, ia sangat sesuai untuk dihebohkan di Instagram dan TikTok.
Kadang-kadang Mat Taici pelik dengan orang zaman sekarang yang minum kopi tidak habis tetapi membelinya hanya untuk kandungan di media sosial sahaja sehingga sanggup berhabis ratusan ringgit.
Mungkin juga selera Mat Taici tidak sama seperti generasi zaman sekarang yang mana Mat Taici lebih gemar minum kopi pekat di gerai tepi jalan berbanding kafe hipster yang harganya boleh membeli tiga bungkus nasi lemak tanpa telur mata.
Namun, apa yang lebih mengejutkan tentang jenama kopi tersebut adalah baru-baru ini dikhabarkan mereka menolak seorang individu yang memohon kerja di sana oleh sebab dia merupakan orang kurang upaya (OKU).
Menurut ciapan Twitter milik individu itu, dia memohon untuk bekerja sambilan di kedai kopi tersebut namun ditolak dengan alasan pengambilan sudah ditutup di cawangan tersebut selepas dia mendedahkan dirinya sebagai OKU pekak.
Rata-rata netizen di Twitter amat marah dengan sikap tidak bertanggungjawab kedai kopi itu kerana mendiskriminasikan mereka yang kurang upaya walaupun berpengalaman.
Ada juga yang menyalahkan cara mereka menolak permohonan pekerjaan tersebut yang didakwa tidak berhemah dan agak biadab terhadap golongan OKU ini.
Mat Taici sendiri amat marah dan hairan kerana pada zaman teknologi maju, masih ada lagi pemikiran kolot seperti ini. Banyak syarikat yang menggunakan alasan menolak pengambilan OKU kerana masalah komunikasi yang sukar untuk dilakukan.
Mat Taici berharap kepada semua pemilik syarikat tahu bahawa terdapat banyak latihan yang disediakan bagi OKU untuk memudahkan mereka mencari kerja dan besar kemungkinan mereka sudah pun mempunyai asas latihan tersebut.
Contohnya, kerajaan menyediakan bengkel daya dan bengkel terlindung yang dikhaskan bagi OKU yang tidak berdaya saing untuk mendapat pekerjaan di pasaran terbuka dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi mereka.
Selain itu, Kolej Imperia memperkasakan kebolehan OKU melalui kepelbagaian latihan secara percuma di bawah inisiatif kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia.
Bayangkanlah, sebuah jenama kopi peringkat antarabangsa pun menerima dan mengiktiraf golongan OKU ini sebagai pekerja malah mereka mempunyai kedai khas untuk pekerja OKU pekak di tengah-tengah bandar.
Mat Taici juga yakin sebelum memohon pekerjaan tersebut, individu OKU ini pasti sudah tahu di mana tahap kebolehannya untuk bekerja dan sama ada pekerjaan itu sesuai bagi individu sepertinya. Oleh itu mengapa perlu ada diskriminasi?
Kita harus ingat mereka juga manusia biasa yang harus menyara kehidupan diri dan keluarga serta mempunyai keinginan untuk bekerja seperti orang lain. Mereka tidak diminta untuk lahir dengan keadaan yang serba kekurangan jadi apa salahnya kita saling membantu dan berbelas ihsan?
Mat Taici faham kita tidak boleh memilih pekerja berlandaskan perasaan simpati semata-mata, tetapi tidak salah untuk kita memberi peluang kepada golongan ini untuk bekerja sekiranya mereka benar-benar layak dan berpengalaman.
Pss: Biar buta mata jangan buta hati...
Klik di sini untuk terus membaca