SHAH ALAM - Seseorang individu yang memegang jawatan Perdana Menteri perlu menjadi lambang integriti tanpa sebarang kompromi.
Sarjana akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan berkata, sebagai pimpinan tertinggi sesebuah negara, Perdana Menteri bukan sahaja memikul amanah daripada rakyat tetapi juga daripada ALLAH.
"Jadi posisi Perdana Menteri adalah posisi yang sangat penting dan dia mestilah melambangkan integriti. Dia tidak boleh melambangkan ‘complacency’, cincai dan kompromi sana sini demi nak menjaga kepentingan parti politik dia.
"Dia sudah berada di atas, jadi dia tidak boleh lagi merasakan dia terpaksa melindungi parti politik dia,” katanya dalam satu Program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang juga pengendali program tersebut mengenai nasihat ingin dilontarkannya kepada pimpinan politik Melayu Islam.
Mohd Kamal berkata, nasihat itu bukan ditujukan kepada mana-mana Perdana Menteri tertentu tetapi sebaliknya kepada terhadap mana-mana individu yang memegang jawatan tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, aspek manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab terhadap ALLAH juga dilihat langsung tidak dibawa masuk ke dalam budaya politik sedangkan konsep tersebut telah digunakan dalam sejarah Islam sebagai pemerintah politik.
"Jadi saya mahu gunakan semula makna khalifah iaitu pengurus alam sesuai dengan kehendak ALLAH,” jelasnya yang turut berpandangan bahawa punca berlakunya korupsi dan hipokrasi dalam kalangan pemimpin politik adalah disebabkan kerana lunturnya kefahaman tentang akidah tauhid.
Dalam pada itu, penulis buku ‘Corruption And Hypocrisy In Malay Muslim Politics’ itu berkata, beliau juga tidak percaya ada rakyat yang mengangkat pemimpin yang korup sebagai wira mereka.
"Orang yang menganggap orang korup ini sebagai wira, biasanya adalah dalam kalangan ahli parti politik, penyokong dan kroni.
"Saya tidak percaya rakyat umum yang tidak menjadi ahli politik menganggap golongan korup ini sebagai wira.
"Saya fikir sekarang ini rakyat pada umumnya merasakan golongan yang korup ini sebagai pengkhianat bangsa, bukannya wira,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca