SHAH ALAM - Malaysia perlu mewujudkan satu sistem pendidikan khusus bagi melahirkan generasi pemimpin Melayu Islam yang berpegang teguh terhadap ajaran Islam dan lebih berintegriti.
Sarjana akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan berkata, harapan kini terletak pada generasi baharu demi membawa perubahan dalam kepimpinan di negara ini.
Menurutnya, pemimpin yang dididik menerusi tauhid sebagai pandangan dunia (worldview) akan dapat membawa perubahan.
"Sekarang ini yang ada di negara kita, seperti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) untuk melahirkan pemimpin birokrasi, pentadbir...bukan pemimpin politik.
"Parti Politik sendiri pun tidak ada sistem melahirkan bakal pemimpin secara sistematik. Jadi saya ingin ini diadakan. Mungkin sebuah konsortium universiti, atau konsortium badan bukan kerajaan (NGO).
"Mungkin pada masa depan, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) boleh diberi tugas seperti INTAN, di mana siapa yang mahu masuk politik, mesti melalui sistem yang diadakan di Jakim berdasarkan paradigma, kepimpinan tiokrasi," katanya dalam satu Program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Program berkenaan membicarakan mengenai buku 'Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation' yang ditulis Mohd Kamal.
Pada masa sama, Mohd Kamal yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpandangan, dalam melakukan perubahan, generasi lama yang sudah terdidik atas pandangan alam yang konvensional sudah tidak boleh diharapkan lagi.
"Mereka dididik atas pandangan alam yang konvensional yang keduniaan semata-mata..tidak melihat apa yang akan berlaku di akhirat nanti.
"Tidak merasa bertanggungjawab kepada Tuhan hanya melihat pada kedudukan,"katanya.
Klik di sini untuk terus membaca