SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong melalui bekas Menteri Besarnya, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam Pilihan Negeri (PRN) Johor nanti. Dr Sahruddin yang juga... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong melalui bekas Menteri Besarnya, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam Pilihan Negeri (PRN) Johor nanti.

Dr Sahruddin yang juga Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor berkata, beliau cukup yakin akan mampu mengekalkan status quonya kerana banyak menabur bakti kepada masyarakat dan membawa pembangunan di kawasan terbabit.

"Saya menyerahkan kepada masyarakat dan pengundi di DUN Bukit Kepong dan Johor untuk menilai sejauh mana dirinya layak diberikan peluang sekali lagi untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Dr Sahruddin merupakan bekas Menteri Besar Johor yang ke-17 dari Pakatan Harapan (PH) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong selama sepenggal.

Beliau pada 14 April 2019 telah menggantikan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian selepas parti Bersatu keluar daripada PH pada Februari 2020, sekali gus menjadikan Johor, kerajaan tergantung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Dr Sahruddin memenangi kerusi DUN Bukit Kepong.

Dr Sahruddin menambah, ketika ini semua parti sahabat dalam PN termasuk Bersatu, Pas dan Gerakan sudah mengenal pasti dan sedang di peringkat akhir untuk memuktamadkan senarai nama calon yang akan bertanding dalam PRN Johor nanti.

Beliau berkata, Bersatu Johor sendiri sudah menyerahkan senarai nama calon terbaik dan yang difikirkan layak oleh pucuk pimpinan pusat untuk dimuktamadkan.

"Kita menjangkakan senarai akhir nama calon Bersatu dan PN akan diumumkan dua atau tiga hari sebelum Hari Penamaan Calon iaitu pada 26 Februari (Sabtu minggu depan).

"Kita serahkan kepada Presiden merangkap Pengerusi Bersatu Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pucuk pimpinan tertinggi PN sama ada untuk membuat pengumuman nama calon yang bertanding dalam PRN Johor nanti sama ada secara, sekali gus atau berperingkat-peringkat," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Sahruddin menegaskan, senarai nama calon Bersatu sudah diteliti dan ditapis oleh setiap bahagian, sebelum diserahkan kepada ibu pejabat parti untuk dimuktamadkan.

Beliau berkata, apa yang pasti senarai nama calon Bersatu berkenaan terdiri daripada gabungan muka baharu dan lama, berpengalaman, dikenali ramai dan mampu memenuhi aspirasi serta menjalankan tugas diamanahkan oleh rakyat Johor dengan baik.

DR SAHRUDIN


PILIH CALON TERBAIK

"Kita akan pilih calon terbaik yang boleh membantu PN menang dalam PRN Johor nanti terdiri daripada mereka berpengalaman, orang muda, muka baharu dan lama, mewakili wanita semua ada.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh dedahkan berapa jumlah kerusi bakal ditandingi Bersatu kerana ia adalah rahsia buat masa ini dan akan diumumkan oleh pucuk pimpinan tertinggi PN nanti," katanya.

Ditanya mengenai peluang Bersatu untuk memenangi semula 12 kerusi disandang mereka sebelum ini, Dr Sahruddin berkata, beliau optimis jumlahnya mungkin akan bertambah.

"Saya yakin Bersatu bukannya hanya boleh menang di 12 kerusi yang kita miliki sebelum ini, namun mungkin lebih berdasarkan sentimen pengundi di Johor sekarang," katanya.

Dr Sahruddin juga menjangkakan PRN Johor kali ini bakal menyaksikan saingan sengit dan meriah kerana setiap kerusi akan menyaksikan pertembungan antara tiga hingga enam penjuru susulan banyak parti politik lain selain PN, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah menyatakan hasrat untuk bertanding.

Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi namun masyarakat dan pengundi boleh menilai sama ada calon yang mewakili parti tertentu atau bebas adalah anak tempatan atau tidak dan boleh bekerja untuk rakyat atau sebaliknya?

"Jadi Bersatu serahkan kepada masyarakat untuk membuat penilaian sama ada calon berkenaan boleh bekerja dan membantu menjaga kebajikan mereka atau tidak. Sebagai contoh saya sudah lama buat kerja dan berkhidmat di DUN Bukit Kepong dan Parlimen Pagoh, jadi rakyat boleh menilai sumbangan dan khidmat saya.

"Oleh itu, jika diizin ALLAH dan dipilih oleh pucuk pimpinan tertinggi Bersatu, insya-ALLAH saya akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong dalam PRN Johor nanti," katanya.

Semua individu yang bakal menjadi calon PN nanti mungkin diwajibkan menandatangani akuan bersumpah (SD) sama seperti dilakukan pada PRN Melaka, baru-baru ini.

Dr Sahruddin berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan semua calon PN sentiasa memelihara tahap integriti dan tidak terbabit dengan kegiatan tidak bermoral termasuk politik wang sepanjang kempen PRN Johor nanti.

Klik di sini untuk terus membaca