AWAL kemunculan virus Covid-19 pada penghujung tahun 2019, Mat Taici tidak pernah terlepas mengikuti 'perutusan' Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi mengetahui turun naik jumlah kes harian.Tidak cukup dengan itu,... Klik di sini untuk terus membaca
AWAL kemunculan virus Covid-19 pada penghujung tahun 2019, Mat Taici tidak pernah terlepas mengikuti 'perutusan' Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi mengetahui turun naik jumlah kes harian.

Tidak cukup dengan itu, Mat Taici juga gigih mencatat jumlah kes harian yang diumumkan. Bangga jugalah Mat Taici ketika itu kerana sering jadi sumber rujukan untuk kawan-kawan yang terlepas mengikuti perkembangan.

Tetapi itu dulu, sekarang Mat Taici tidak ambil pusing sangat walaupun kes harian telah mencecah lebih 20,000 hasil penangan varian Omicron.

Bukan bermakna Mat Taici sudah kebal dan tiada lagi rasa takut tetapi mungkin terlampau lali dengan situasi turun naik kes setelah lebih dua tahun hidup dengan gelombang virus maut ini.

Hakikatnya, walaupun telah lengkap suntikan vaksin dan booster, kunci utama mengelak penularan Covid-19 adalah dengan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan.

Bukan susah pun, amalkan pakai pelitup muka dan penjarakan fizikal namun malangnya masih ramai acuh tidak acuh malah melanggar SOP.

Isu melanggar SOP ini bukan perkara baharu dan ia bukan sahaja terjadi dalam kalangan rakyat marhaen seperti Mat Taici malah golongan VIP dan berpangkat pun dua kali lima.

Alasan diberi jika sudah 'kantoi' bersalah selalunya tidak sengaja dan tidak berniat melanggar SOP. Seolah-olah kepentingan SOP hanya sekadar di atas kertas dan boleh diperlekehkan sesuka hati.

Ya betul kompaun dikenakan kepada sesiapa sahaja yang melanggar SOP namun sampai bila ia harus berterusan. Buat salah. Minta maaf. Bayar denda. Move on.

Sikap kita yang perlu diubah, jangan 'ketegaq' sangat. Satu lagi, isu ini turut memberi persepsi kurang molek terutamanya jika pelanggaran SOP dilakukan oleh pihak berkuasa yang seharusnya menunjukkan teladan yang baik untuk rakyat.

Di mana justifikasi dan keadilan untuk orang lain yang bersungguh-sungguh mematuhi SOP, begitu berhati-hati agar tidak dijangkiti dan menjangkiti?

Mat Taici tiada niat mengaku diri sempurna mematuhi SOP tetapi sekurang-kurangnya Mat Taici tidaklah dengan sengaja mendedahkan diri kepada situasi yang boleh mengundang jangkitan.

Apatah lagi varian Omicron ini sangat mudah berjangkit dan tiada simptom jelas seperti hilang deria bau dan rasa sepertimana varian-varian lain sebelum ini.

Dengan situasi negara bakal menyaksikan satu lagi pilihan raya negeri bulan depan diikuti ketibaan bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi, Mat Taici hanya mampu berdoa agar SOP Covid-19 terus dipatuhi ramai.

Jangan sampai menggigit jari tidak dapat pulang beraya di kampung lagi tahun ini disebabkan kes harian yang terus meningkat tanpa henti dek kealpaan kita.

Senang cerita, tidak kisahlah miskin atau kaya, di bandar atau di kampung, tiada perbezaan darjat. SOP tetap SOP dan perlu dipatuhi untuk kebaikan bersama.

Pss - Mat Taici takut nak pergi pasar malam Klik di sini untuk terus membaca