SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan akan menggunakan logonya sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ketetapan tersebut dibuat kerana ia merupakan pilihan raya pertama partinya.
"Ini adalah pilihan raya pertama kami (Muda) dan kami akui kami ialah underdog tetapi ingin memberikan tawaran khidmat serta pembaharuan dasar yang terbaik untuk jadi pembangkang atau insya-ALLAH pada masa akan datang (dalam) kerajaan.
"Tetapi pembangkang yang berpadu, bermaruah, berprinsip, berintegriti dan yang akan sentiasa mempertahankan isu-isu rakyat secara lantang di Dewan Undangan Negeri (DUN),
"Sebab itu, kita akan gunakan logo dan identiti Muda,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 26 Februari ini, manakala undi awal pada 8 Mac dan pembuangan undi pula 12 Mac nanti.
Muda juga sudah turut mencapai kesepakatan antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP agar parti pimpinan Syed Saddiq bertanding di enam kerusi iaitu DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
Ahli Parlimen Muar itu turut mengesahkan, walaupun partinya merupakan underdog tetapi berniat ikhlas dan akan bekerja keras untuk rakyat.
"Saya berharap anak Johor berilah peluang kepada calon Muda,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq juga masih berteka-teki sama ada akan bertanding atau sebaliknya pada PRN Johor itu nanti.
Katanya, fokus dan keutamaan kini adalah untuk mencalonkan muka baharu bagi membawa nama parti berbanding meletakkan dirinya secara individu.
Justeru katanya, langkah mengumumkan Amira Aisya bertanding di DUN Puteri Wangsa sebagai calon pertama dipilih mewakili Muda juga selari dengan hasrat penubuhan parti itu.
"Sebab utama kita mencalonkan Amira Aisya dahulu, bukan saya, bukan pimpinan yang lain adalah kerana kita ingin menonjolkan lebih ramai pimpinan baharu, yang segar, lebih banyak wanita berwawasan untuk dijadikan pasukan yang Muda.
"Ia kerana kita tidak melihat sekadar seorang figura atau individu. Muda itu lebih besar daripada Syed Saddiq dan saya terhutang budi kepada ramai pimpinan dan akar umbi Muda yang berjuang, berkhidmat sekian lama.
"Tidak harapkan jawatan, tidak harapkan kontrak, tidak harapkan habuan kerana kita tahu apabila menyertai Muda (dan) ini adalah permulaan politik, kita tidak mewah, tidak ada sokongan yang luar biasa, jaringan di setiap kampung,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca