SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) berpandangan bahawa penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan itu sepatutnya dilaksanakan sejak tahun lepas lagi.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, pengumuman tersebut tidak perlu dinyatakan sekiranya isu tersebut masih lagi dibincangkan dalam kabinet.
"Kenapa nak naikkan gaji minimum RM1,500 pada hujung tahun ini? Sepatutnya dah naikkan tahun lalu.
"Lagi pula, menteri yang bercakap itu kata, nak tunggu kabinet buat mesyuarat, sudah satu bulan dah dia cakap,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengumumkan gaji minimum RM1,500 sebulan dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.
Mengulas lanjut, Solomon berkata, kerajaan seharusnya jelas mengenai isu berkenaan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.
Dalam pada itu, Solomon turut mendakwa bahawa kenyataan pakar ekonomi berhubung penetapan kadar gaji baharu itu seperti memanipulasikan fakta gaji kepada rakyat.
Katanya, mustahil rakyat dapat terus hidup dengan penetapan gaji minimum bawah daripada RM1,500 di negara ini terutamanya di kawasan bandar.
Jelasnya, kajian Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2016 telah menyatakan bahawa gaji golongan bujang di Kuala Lumpur adalah pada RM2,700 manakala pasangan yang berkahwin adalah sebanyak RM4,500.
"Bila pakar ekonomi buat kenyataan macam ini, ia nampaknya seperti suara daripada majikan yang tidak bertanggungjawab.
"Kalau betul pakar-pakar ekonomi di Malaysia ini bertanggungjawab dan nak beri kepentingan kepada rakyat Malaysia, hari ini tidak akan ada B40 dan M40.
"Saya ingat selepas pandemik ini, mereka berubah dan beri (fakta) yang terus-terang tetapi nampaknya mereka masih tidak belajar,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca