SHAH ALAM - Jangkaan bahawa kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,500 sebulan akan mengakibatkan kerugian kepada pengusaha adalah ungkapan standard yang sering digunakan sejak 20 tahun lepas sehinggalah ke hari ini.
Demikian kata Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal sebagai mengulas kenyataan Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor Dr Barjoyai Bardai bahawa penetapan kadar gaji minimum yang baharu dijangka mengakibatkan lebih banyak syarikat dan usahawan mengalami kerugian, seterusnya terpaksa gulung tikar.
Mohamed Shafie berkata, apabila ada sahaja tuntutan daripada kesatuan untuk menaikkan atau pelarasan gaji, tambah pula sekarang kenaikan gaji minimum, itu adalah pandangan sama yang sering disuarakan.
"Tuntutan ini bukan bermakna kita sebagai pemimpin kesatuan tidak tahu apa yang sedang berlaku dalam negara dan suka-suka sahaja buat gesaan dalam kemelut ekonomi.
"Sedangkan sepatutnya kadar gaji minimum RM1,500 ini tiga tahun lalu sudah diluluskan, sebelum berlakunya penularan wabak Covid-19 dan bencana banjir.
"Tetapi perkara ini dilengah-lengahkan, macam-macam alasan dan helah diberi oleh majikan. Kita menghormati apa sahaja pandangan yang disuarakan, tetapi jangan sesekali menidakkan kesusahan dan keperitan yang dialami oleh pekerja sendiri.
"Kalau ada yang berpendapat ini bukan masa yang sesuai untuk kenaikan gaji minimum, habis bila waktu yang sesuai? 10 atau 20 tahun lagi? Gambaran seperti ini seolah-olah menunjukkan negara kita sudah bankrap, sebenarnya tidak,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, Mohamed Shafie turut menggesa agar Majlis Perundingan Gaji Negara dapat mengeluarkan satu kenyataan yang positif dan berani berhubung hal tersebut.
"Jangan berselindung, mereka perlu beri pandangan. Apa rekomendasi mereka sekarang?
"Sebab di situ ada ramai intelektual, jadi kita nak mereka beri satu pandangan yang konkrit dan konstruktif supaya ia boleh dijadikan sebagai jajaran serta pegangan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.
Beliau berkata, jika dikaji semula, kenaikan gaji setiap tahun dalam kalangan B40 adalah rendah, iaitu hanya sekitar RM10 hingga RM20 sahaja.
Jelasnya, ada juga syarikat yang menafikan kenaikan gaji tahunan dilaksanakan selama tiga atau empat tahun dengan alasan kesan pandemik Covid-19.
"Jangan politikkan hal ini, kita sekarang cerita pasal maruah, bangsa dan Keluarga Malaysia. Kita mesti angkat gaji RM1,500 sebagai satu agenda.
"Pekerja dah muak dengan alasan kerajaan. Harga barang melambung sehingga ada pekerja yang terpaksa berhutang dari koperasi dan pinjam bank kerana pendapatan yang ada tidak cukup untuk menyara hidup keluarga. Apa guna nama Keluarga Malaysia jika hidup secara menderita?” soal beliau.
Klik di sini untuk terus membaca