PERTELINGKAHAN ahli politik secara tidak langsung boleh mengubah pemikiran rakyat berkaitan parti politik yang akan disokong, sekali gus corak pemerintahan negara pada masa hadapan. Jika asyik bertelagah, ia akan memberi kesan kepada... Klik di sini untuk terus membaca

PERTELINGKAHAN ahli politik secara tidak langsung boleh mengubah pemikiran rakyat berkaitan parti politik yang akan disokong, sekali gus corak pemerintahan negara pada masa hadapan.

Jika asyik bertelagah, ia akan memberi kesan kepada peluang parti politik dan ahli politik itu sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kemelut politik di Johor perlu diselesaikan dengan kaedah berkepentingan rakyat, bukan hanya bagi kepentingan parti politik semata-mata.

Rakyat jelas tidak setuju dengan sikap ahli politik yang suka memanaskan suhu politik negara dan hilang fokus dalam peranan membentuk kestabilan politik ketika fasa pemulihan pandemik Covid-19.

Persefahaman dan kerjasama politik di peringkat pusat wajar selari dengan negeri dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perkara itu perlu menjadi pertimbangan utama, apatah lagi ia melibatkan kerjasama politik kukuh antara parti yang mempunyai aspirasi dan matlamat sama.

Pemilihan calon berwibawa untuk diketengahkan pada PRN sangat penting. Setiap kegiatan dan reputasi calon yang akan dipilih menjadi wakil rakyat perlu dikaji serta diselidik secara terperinci.

Pemilihan calon wakil rakyat di kawasan masing-masing adalah tanggungjawab besar kerana mereka dipilih atas harapan tinggi oleh rakyat. Pada bahunya diletakkan tanggungjawab memenuhi keperluan dan penyelesaian pelbagai isu oleh rakyat yang diwakili.

Calon wakil rakyat seharusnya memberi perkhidmatan dan pembabitan sebaik mungkin kepada rakyat, selain mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.

Mereka sepatutnya bukan melihat tugas dalam skop politik semata-mata, tanpa meletakkan diri sebagai rakyat yang sentiasa memerlukan bantuan dan suara daripada pemimpin.

Penilaian terhadap kegigihan calon wakil rakyat juga bukan sekadar melihat kepada kegiatan mereka yang dipamerkan dalam akaun media sosial tetapi berdasarkan pemantauan secara menyeluruh daripada rakyat dan pihak tertentu yang dilantik parti politik.

Rakyat kini yang terdedah kepada kehidupan universal lebih prihatin terhadap individu dicalonkan sebagai wakil rakyat tanpa mengira parti politik. Kegigihan dan pembabitan calon wakil rakyat dalam masyarakat tanpa mengira musim dan masa adalah pilihan rakyat.

Masyarakat lebih tertumpu kepada kewibawaan dan kredibiliti calon wakil rakyat berbanding parti politik terutama apabila berlaku perpecahan yang paling serius dalam beberapa parti politik.

Jika wakil rakyat yang dipilih dahulu gagal memenuhi harapan masyarakat, usah bermimpi menjadi pilihan rakyat pada pilihan raya kali ini.

Kecuaian dan kesilapan dalam pemilihan calon wakil rakyat bukan sahaja boleh menyebabkan parti politik menghadapi kekalahan, malah ia juga boleh mencemar kewibawaan parti politik sebagai parti yang ketandusan kepemimpinan.

Sikap keterbukaan dan menganalisis secara terperinci sepatutnya dijadikan prinsip dalam pemilihan calon wakil rakyat kerana keupayaan dan kelayakan individu hanya dapat dikenal pasti apabila setiap aspek berkaitan dirinya dikaji dan diteliti.

Ada individu tertentu yang berkelayakan dipilih sebagai calon wakil rakyat tetapi nama mereka tidak disenaraikan kerana bukan terdiri daripada ahli politik yang suka mempamerkan diri dan menonjolkan kebolehan demi kedudukan dan pangkat.

Keupayaan mereka hanya diketahui masyarakat, lantaran keaktifan mereka dalam kegiatan kemasyarakatan dan sebagainya. Individu begini sepatutnya dilantik menjadi calon wakil rakyat.

Ahli politik yang tidak berakhlak dan sering mengundang pertelingkahan sesama ahli dalam parti politik atau masyarakat sepatutnya tidak dilantik sebagai calon.

Undi yang diputuskan kepada wakil rakyat bukan sekadar sentimen ke atas kepartian semata-mata tetapi juga rekod perkhidmatan atau ‘kad laporan’ parti yang bertanding.

Pengundi tidak sepatutnya membiarkan diri terpengaruh dengan sikap sesetengah pihak yang membunuh karakter atau watak pemimpin atau calon bertanding demi mencapai tujuan tertentu.

Teliti dan kaji secara terperinci sebelum melantik calon wakil rakyat supaya masyarakat berkeyakinan bahawa calon itu menepati harapan mereka dan mewakili parti politik berwibawa.

* Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Melaka

Klik di sini untuk terus membaca