PUTIH, berkilauan dan panjang kira-kira enam meter merupakan meja yang dipilih oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin dunia.
Namun, ia telah mencetuskan satu spekulasi mengenai simbolik tentang meja tersebut.
Meja panjang tersebut telah dipaparkan dalam gambar yang tersebar di internet baru-baru ini ketika Putin duduk dengan para pemimpin Barat yang bersemangat mahu meredakan ketegangan berhubung isu pencerobohan ke atas Ukraine yang ditakuti itu.
Beliau duduk berdepan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di meja tersebut yang kini menjadi terkenal pada minggu lalu dan pada Selasa, beliau duduk di meja yang sama dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz.
Secara rasmi, meja kayu itu digunakan sebagai satu protokol untuk Covid-19 bagi menunjukkan terdapat jarak antara Putin dengan para tetamunya.
Bagaimanapun, penganalisis menyatakan bahawa secara bahasa simboliknya, ia menunjukkan Putin merupakan seorang tokoh yang jauh dan terpencil.
"Adalah jelas bahawa beliau kini lebih bersendirian. Kesepian ini jelas, nampaknya beliau tidak lagi peduli apa yang orang lain fikirkan tentangnya," kata seorang penganalisis politik bebas, Konstantin Kalachev kepada AFP.
Negara-negara Barat telah membunyikan amaran kecemasan dalam beberapa minggu kebelakangan ini tentang serangan Rusia ke atas Ukraine sekali gus mendorong diplomasi ulang-alik dilakukan oleh para diplomat dan pemimpin-pemimpin yang bersemangat untuk mengurangkan ketegangan konflik antara kedua-dua negara tersebut.
Namun, Putin telah menafikan terdapat rancangan untuk menyerang Ukraine tetapi sebaliknya menuntut jaminan keselamatan daripada Washington dan sekutu-sekutunya.
Ia bukan satu-satunya meja panjang yang disukai oleh Putin.
Pemimpin Rusia yang berusia 69 tahun itu terkenal tentang sikapnya yang berhati-hati dan waspada tentang Covid-19 tetapi juga dilihat duduk dalam jarak yang jauh di meja panjang tersebut ketika pertemuan dengan beberapa penasihatnya.
Pada Isnin lalu, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan Menteri Pertahanan negara itu, Sergei Shoigu terpaksa duduk beberapa meter dari Putin ketika mereka menyampaikan laporan tentang isu Ukraine.
Ditanya mengenai langkah-langkah duduk dalam jarak yang jauh itu, jurucakap Moscow, Dmitry Peskov berkata pada Selasa bahawa cara itu hanya buat sementara.
Beliau berkata, mereka ditempatkan sebegitu ekoran terdapat varian Omicron yang mudah menular itu.
"Tidak ada yang perlu digusarkan atau istimewa di sini. Kami akan melalui masa yang menentukan langkah-langkah istimewa," kata Peskov kepada wartawan.
Langkah-langkah yang luar biasa itu telah diambil untuk melindungi Putin yang selama lebih setahun telah hidup dalam gelembung bebas virus yang ketat.
Pemimpin-pemimpin asing, para wartawan dan pegawai-pegawai dikehendaki untuk mengasingkan diri sebelum bersentuhan dengan Putin dan terowong disinfeksi dipasang di kediamannya di luar Moscow.
Ahli-ahli delegasi asing dan wartawan yang ingin pergi ke Moscow mesti menyediakan tiga ujian rantaian tindak balas polimerase (PCR) yang negatif dalam tempoh empat hari sebelum berlepas ke Rusia.
Para pemimpin asing yang mahukan pertemuan bersemuka dengan Putin mesti bersetuju untuk melakukan ujian calitan yang dikendalikan oleh Moscow atau duduk di hujung meja.
Bagaimanapun, Macron dan Scholz menolak ujian yang mahu dilakukan oleh Moscow itu dan sebaliknya memilih untuk melakukannya menerusi pasukan perubatan mereka sendiri.
Kehebatan meja panjang itu ditambah dengan hiasan berwarna putih manakala terdapat langsir keemasan di atas permaidani berwarna terang di dalam bilik penerimaan tetamu itu.
Sejambak bunga kecil pula berada di tengah-tengah meja besar itu.
Imej-imej itu telah diedarkan secara meluas menerusi online yang membuatkan meja tersebut kelihatan seperti gelanggang luncur dan sebagai tempat makan malam yang terakhir.
Putin pula dilihat sedang melihat di seberang meja seperti melakukan peperiksaan mata ke atas para tetamunya.
Netizen dengan cepat membuat komen lucu di media sosial berikutan meja panjang tersebut.
Antara jenaka yang terpapar itu ialah syarikat penjual perabot, Ikea dicadangkan menamakan salah satu meja panjang mereka dengan nama Putin.
Menurut Kalachev iaitu penganalisis politik bebas itu, imej Putin itu harus menggembirakan semua orang.
"Tidak mungkin seseorang yang memberi perhatian kepada kesihatannya akan memulakan Perang Dunia III," ujarnya.
Malah seorang pemimpin Hungary, Viktor Orban yang menjadi sekutu Putin di Eropah ketika mengunjungi Presiden Rusia tersebut di Moscow bergurau pada awal Februari lalu dengan menyatakan bahawa beliau tidak pernah melihat meja yang begitu panjang, dakwa Kalachev. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca