SHAH ALAM - UMNO berkemungkinan besar akan bertanding lebih daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac nanti. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - UMNO berkemungkinan besar akan bertanding lebih daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pertambahan kerusi diberikan kepada UMNO perlu bagi mencerminkan bentuk sebenar sebuah kerajaan negeri yang ditubuhkan Barisan Nasional (BN) sekiranya mereka menang PRN Johor nanti.

Hasni yang juga Pengerusi BN Johor berkata, agihan kerusi antara parti komponen berkenaan mestilah selari dengan pecahan dan pertambahan jumlah pengundi di sesuatu kawasan DUN terbabit.

"Kalau itu yang dihasratkan, saya rasa ia tidak mencerminkan rupa bentuk kerajaan yang kita harapkan. Kemungkinan besar kerusi yang nak diagihkan antara komponen dalam BN perlu melihat kepada keadaan di mana peluang untuk menang itu tinggi.

"Jadi bukan sekadar kerana kerusi itu MCA atau MIC, maka harus kekal... tidak. Lebih-lebih lagi dengan penambahan pengundi baharu, maka kita perlu melihat semula profil pengundi dan kawasan tertentu. Kita akan buat rundingan mendalam jika kita adakan kerusi bagi parti politik Friends of BN," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian.

Hasni berkata demikian ketika mengulas sama ada beliau akan menggunakan formula dicadangkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, supaya UMNO bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi DUN dalam PRN nanti.

Berikutan itu, Hasni berkata UMNO sudah mencapai kata sepakat dengan parti komponen BN lain terutama MCA dan MIC mengenai jumlah kerusi ditandingi parti masing-masing, pada PRN nanti.

"Di peringkat UMNO kita sudah mencapai persetujuan jumlah kerusi yang kita rasa boleh bertanding dan macam saya cakap, MCA dan MIC juga penting memenangi dengan calon-calon yang boleh menang dalam PRN kali ini. Hanya tinggal calon sahaja yang belum dikenal pasti," katanya.

Dalam pada itu, Hasni juga menafikan dakwaan bahawa UMNO dan BN akan meraih kemenangan besar jika peratusan pengundi keluar mengundi, pada PRN Johor rendah.

"Pada PRN kali ini, tidak semestinya pengundi Cina keluar beramai-ramai. Itu akan mengurangkan peluang BN untuk menang.

Saya tidak fikir kita perlu berpendapat begitu. Rata-rata yang saya tahu, mereka berpendapat jika keluar mengundi rendah, ini merujuk kepada masyarakat Cina tidak mahu keluar mengundi.

"Saya rasa sudah sampai masa kita kikis pemikiran begini kerana di Johor, peratus mengundi Melayu dan bukan Melayu sudah hampir seimbang. Jadi kalau kita nak menang, kita perlukan sokongan semua. Kalau peratusan keluar mengundi itu rendah, maknanya orang Melayu pun tidak keluar mengundi.

"Maka, ia tidak boleh dianggap bahawa peratusan keluar mengundi rendah boleh memberi kelebihan kepada UMNO. Mungkin di negeri lain, saya tidak tahu tetapi di Johor ini, Melayu dan bukan Melayu tidak jauh beza daripada segi jumlahnya," katanya.

Biarpun menghadapi cabaran pertambahan lebih 700,000 pengundi baharu, namun bekas Menteri Besar Johor berkenaan yakin bahawa pengundi muda akan terus kekal menyokong UMNO dan BN pada PRN kali ini.

Beliau berkata, keyakinan itu adalah kerana BN dan UMNO mempunyai dasar yang sentiasa membela nasib golongan muda di Johor selama ini.

"Saya sedia maklum mengenai pengundi baharu itu, malah sudah bersedia untuk menghadapinya. BN juga memperjuangkan orang muda. Banyak dasar dan hala tuju mereka diperjuangkan oleh kerajaan BN sebelum ini. Ia terbukti apabila setiap kali rancangan Malaysia dirangka sehingga Rancangan Malaysia ke-12, kehendak orang muda tidak diketepikan baik ekonomi, pendidikan ataupun perumahan.

"Malah, di Johor, Institut Dato' Onn diwujud bagi membolehkan orang muda dan mahasiswa berinteraksi menyampaikan hasrat mereka. BN tidak janji kosong terhadap orang muda dengan menjanjikan bulan dan bintang tetapi akan lakukan terbaik dengan menyediakan ruang dan peluang kepada mereka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca