SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung pada 12 Mac nanti bukan usaha UMNO untuk menyelamatkan geng 'kluster mahkamah' Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung pada 12 Mac nanti bukan usaha UMNO untuk menyelamatkan geng 'kluster mahkamah'

Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kluster mahkamah tiada kena mengena dengan keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN Johor.

Bekas Menteri Besar Johor itu juga menegaskan dakwaan bahawa PRN Johor diadakan bagi menyelamatkan geng kluster mahkamah hanyalah gimik politik murahan bagi memburukkan imej BN dalam kalangan pengundi sahaja.

"Apakah dengan kemenangan BN di Melaka pada PRN di sana pada November lalu mempengaruhi perbicaraan dan keputusan kluster mahkamah ini. Saya tidak lihat perkara itu berlaku sama sekali. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih hadir perbicaraan dan keputusan mahkamah sama sekali tidak berubah disebabkan BN menang dalam PRN.

"Banyak pihak pertikai keabsahan kerajaan negeri termasuk kaitkan PRN Johor dengan tangan-tangan ghaib. Jika diimbau kembali sejarah Johor banyak wujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi yang stabil disebabkan ketika itu adanya sebuah kerajaan yang stabil," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, tujuan utama beliau membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN Johor adalah untuk mengembalikan kegemilangan dan kestabilan seperti yang pernah dinikmati di negeri itu sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan membubarkan DUN dibuat kerana BN mahu mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang kukuh untuk mentadbir seterusnya merangka lebih banyak pembangunan kepada rakyat Johor.

Hasni menjelaskan, pembubaran DUN Johor terpaksa dibuat kerana kerajaan negeri sedia ada ketika itu tidak stabil dan hanya mempunyai kelebihan satu kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH).

"Saya selalu cakap 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kerajaan negeri ada 28, manakala pembangkang iaitu PH pula ada 27. Saya kira situasi ini sebagai 'hung government' (kerajaan tergantung) atau tidak stabil.

"Ditambah pula situasi Speaker daripada parti Amanah. Situasi itu menyebabkan kedudukan sama di DUN iaitu kerajaan dan pembangkang masing-masing ada 28 kerusi, seterusnya menyebabkan keadaan kerajaan negeri tergantung.

"Sampai bila sidang DUN perlu bergantung kepada Speaker dalam keadaan bersetuju atau tidak? Ini soal maruah. Kerajaan negeri perlu ada keabsahan. Johor suatu ketika dahulu cukup kukuh tidak pernah dipersoalkan keabsahannya. Tentunya saya juga perlukan kerajaan negeri seperti itu," katanya.

Hasni Mohammad

Dalam perkembangan berkaitan, Hasni berkata, pembubaran DUN Melaka dan Johor juga adalah berbeza sama sekali.

"PRN Melaka diadakan kerana kerajaan hilang majoriti selepas wujud usaha membentuk satu pakatan baharu yang membawa kepada pembubaran DUN pada Oktober tahun lalu. Individu yang keluar daripada UMNO di sana cuba untuk menyertai parti pembangkang.

"Tetapi berbeza situasinya di Johor. Di sini pembubaran DUN dilakukan kerana kerajaan negeri yang kukuh diperlukan untuk mentadbir seterusnya merangka lebih banyak pembangunan kepada rakyat Johor. Jadi bagaimana pembubaran DUN Johor ini dilihat susah sangat sehingga ada yang menyatakan tujuan tangguh dan bubar itu kerana saya sebagai Menteri Besar yang gila kuasa.

"Saya juga pasti semua parti politik di negara ini hendakkan kuasa. Kuasa berkenaan ada pada kerajaan, bukan pada pembangkang.

"Apa beza mereka (pembangkang) tandatangan memorandum persefahaman dengan kerajaan? bukankah itu mereka juga hendak kuasa. Jika tidak mahu kuasa jangan tandatangan memorandum, mereka boleh sahaja sokong Perdana Menteri sama ada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Bagaimanapun, Hasni berkata, beliau tidak mengharapkan BN akan menang semua kerusi DUN Johor sama seperti zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Tan Sri Abdul Ghani Othman menjadi Menteri Besar.

"Kita semua menjunjung demokrasi maka saya bersedia memimpin kerajaan negeri dengan adanya wakil pembangkang di dalam DUN. Pendekatan semak dan imbang itu yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana parti komponen mampu membantu BN meraih kemenangan dalam PRN kali ini, Hasni berkata, semua parti mempunyai peranan dan fungsi masing-masing.

"Saya tidak nampak bahawa BN ini membelakangkan konsep kongsi kuasa. Ada juga pengalaman kita di mana sokongan masyarakat Cina membuatkan BN menang di banyak kawasan. Ada juga masa-masa di mana pengundi UMNO yang membuatkan kerusi-kerusi MCA dapat dimenangi.

"Jadi kaedah kongsi kuasa ini memang menjadi sesuatu yang merupakan kekuatan dalam BN, saya kira bukan sahaja berlaku di pihak MCA atau MIC, ada sahaja di peringkat UMNO begitu, tetapi kita harap rakan-rakan komponen kita dalam menghadapi PRN Johor kali ini dapat keluar habis-habisan untuk memastikan calon-calon mewakili BN menang.

"Kongsi kuasa dalam BN ini tidak sama dengan kongsi kuasa parti-parti gabungan itu lain. Sebab itu, saya percaya bukan mudah untuk bergabung-gabung ini dan saya tak dapat melihat bahawa bagaimana Parti Warisan (Warisan) atau Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahu berada di Johor ini, sedangkan jasa dan khidmat parti-parti yang sudah lama bertapak ini merupakan parti lebih sesuai bertanding," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca