BEBERAPA hari lalu dunia teknologi komunikasi dunia digemparkan dengan berita kononnya ada rakyat Malaysia bekerja untuk syarikat China bagi mencuri rahsia kepakaran walkie talkie milik konglomerat Amerika Syarikat (AS).
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa kakitangan Motorola di Malaysia mencuri rahsia teknologi radio mudah alih digital syarikat AS tersebut dan ‘menjualnya’ kepada sebuah syarikat pengeluar transceiver radio serta sistem radio terbesar China.
DOJ percaya Hytera Communications Corp di Shenzen, Guangdong China telah melakukan kesalahan besar. Hytera ialah pengeluar transceiver radio dan sistem radio China sejak 1993 dan beroperasi secara global. Sistem radio dan penyelesaian radio tersebut mematuhi piawaian Digital Mobile Radio (DMR), Terrestrial Trunked Radio (TETRA), Long-Term Evolution (LTE), Ministry of Posts and Telegraph 1327 (MPT-1327).
Hytera ialah penyumbang utama sistem standard Profesional Digital Trunking (PDT), yang direka untuk organisasi keselamatan awam di China. Ia juga pembekal utama Kementerian Keselamatan Awam China. Kini, Hytera dinamakan sebagai defendan dalam saman litigasi harta intelek dikemukakan Motorola Solutions. Kes tersebut dijalankan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat atas tuduhan mencuri DMR teknologi.
Syarikat China itu didakwa atas 21 pertuduhan jenayah, termasuk konspirasi melakukan pencurian rahsia perdagangan. Jika sabit kesalahan, Hytera berdepan denda jenayah tiga kali ganda nilai rahsia perdagangan dicuri.
Penulis mengikuti kisah perjuangan Hytera dan Motorola sejak Februari 2020 apabila Motorola Solutions menang dengan keputusan juri bernilai AS$764.6 juta (RM3.2 bilion) dalam kes kecurian rahsia perdagangan dan pelanggaran hak cipta. Hytera didapati mengguna dokumen sulit Motorola Solutions dan kod sumber dilindungi hak cipta untuk bersaing dalam pasaran walkie talkie global.
JALAN MUDAH CARI WANG
Apa yang penulis cuba bangkitkan di sini ialah pembabitan rakyat Malaysia yang didakwa bersikap ‘tamak’ mahu mengaut keuntungan besar. Mereka sanggup mencuri dan tidak gentar berdepan tindakan undang-undang sekiranya perbuatan mereka diketahui pihak berkuasa. Apatah lagi, peperangan Hytera dan Motorola pasti akan memberi impak negatif kepada mana-mana yang terlibat dalam kes mencuri harta intelek.
Sebagai rekod, sejak awal 2000, beratus-ratus jurutera dan teknologis di Motorola Malaysia menghabiskan masa bertahun lamanya menyelidik dan membangunkan penyelesaian perkakasan serta perisian teknologi DMR. Rata-rata jurutera dan teknologis tersebut berjaya membantu Motorola mengeluar serta memasarkan produk DMR sehingga ke pasaran AS, Jepun dan negara Eropah.
Selang beberapa tahun kemudian, Hytera cuba menandingi Motorola di pasaran AS. Hytera telah ‘membeli’ jurutera Motorola Malaysia dengan bayaran gaji berlipat kali ganda antara 2008 dan 2009. Jurutera warganegara Malaysia ini didakwa masih mengakses maklumat rahsia dagangan daripada pangkalan data dalaman Motorola. Mereka kemudian bertindak menggunakan teknologi tersebut di Hytera.
Apa yang berlaku sekarang ialah jurutera dan teknologis warga Malaysia itu mencari jalan mudah untuk mencari wang segera.
Sedangkan ALLAH SWT mengharamkan perbuatan mengambil harta orang lain dengan cara batil atau tanpa diketahui. Perkara ini disebut dalam surah al-Nisa ayat [4:29] maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, curi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengasihani kamu.”
Justeru itu, sekiranya pendakwaan DOJ AS didapati benar, jurutera dan teknologis warga Malaysia itu harus bertanggungjawab. Mereka perlu dikenakan tindakan tegas.
Bagaimanapun, di sebalik kes Motorola lawan Hytera ini, membuktikan jurutera dan teknologis Malaysia mempunyai kepakaran setanding negara maju.
Penulis berharap Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) atau mana-mana pihak berkuasa berkaitan harta intelek agar mewawancara semua jurutera dan teknologis yang bekerja dengan Hytera ini. Sayang sekiranya mereka tidak dapat menyumbang kepada masa depan dunia teknologi negara sendiri.
Kesimpulannya, Malaysia sebenarnya memiliki ramai tenaga pakar bertaraf dunia. Cuma ada yang memilih jalan salah dengan mengutamakan kepentingan diri sendiri dan kekayaan singkat.
* Profesor Ir Dr Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre Selangor
Klik di sini untuk terus membaca