SEHARI dua ini negeri Bumi Kenyalang menjadi topik perbualan apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 bagi menggantikan terma jawatan Ketua Menteri kepada... Klik di sini untuk terus membaca
SEHARI dua ini negeri Bumi Kenyalang menjadi topik perbualan apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 bagi menggantikan terma jawatan Ketua Menteri kepada Premier.

Timbul persoalan apa kewajaran dan keperluan menukar nama jawatan tersebut sehingga ada pemimpin pembangkang di negeri itu menyifatkan ia langkah syok sendiri selain menyamakan istilah Premier itu dengan jenama tisu.

Namun menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang membentangkan RUU tersebut, pertukaran nama jawatan Ketua Menteri kepada Premier itu selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini yang mengembalikan semangat asalnya oleh pihak-pihak terlibat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), apabila Sarawak bersetuju untuk menjadi rakan dalam pembentukan Malaysia, iaitu bersetuju supaya Sarawak mengekalkan statusnya sebagai salah satu daripada tiga wilayah (Persekutuan Malaya, Sabah dan Sarawak) yang membentuk Persekutuan Malaysia yang baharu.

Justeru meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan tidak boleh dianggap sebagai sama taraf dengan negeri-negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.

"Status istimewa Sarawak perlu dicerminkan dengan cara yang berbeza daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia.

"Seperti yang diamalkan di wilayah Komanwel lain yang penubuhannya serupa dengan Malaysia termasuk Australia dan Kanada, Ketua Persekutuan disebut sebagai Perdana Menteri dan Ketua Wilayah yang membentuk Persekutuan pula disebut sebagai 'Premier' manakala negeri lain diketuai oleh Ketua Menteri.

"Oleh itu, untuk menggambarkan dengan betul status Sarawak sebagai berbeza daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan, adalah dicadangkan jawatan Ketua Menteri ditukarkan kepada 'Premier'," kata Abdul Karim.

Berdasarkan hujah yang diberikan, jelas motivasi utama Sarawak dalam menggantikan terma Ketua Menteri kepada Premier adalah untuk membuktikan kedudukan istimewa negeri terbesar di Malaysia itu.

Namun adakah alasan tersebut cukup sah dan adakah pertukaran terma tersebut mempunyai sebarang impak yang boleh menimbulkan satu isu besar?

Khairil Azmin Mokhtar


Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, daripada segi undang-undang, pertukaran nama jawatan Ketua Menteri Sarawak kepada 'Premier' adalah sah dan terpakai.

"Perihal pertukaran nama jawatan Ketua Menteri Sarawak kepada Premier tidak bertentangan undang-undang dan selari dengan Perlembagaan Persekutuan sekali gus tidak timbul sebab yang boleh dibawa ke mahkamah atau dipersoalkan kesahihan dari segi undang-undang.

"Adalah menjadi hak bagi DUN Sarawak untuk meminda Perlembagaan Sarawak selagi tidak bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan dalam bidang kuasanya.

"Malah mana-mana negeri pun boleh menukar nama jawatan tersebut menurut kesesuaian masa dan suasana politik serta faktor lain apabila difikirkan perlu,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Tambahnya, kuasa, peranan dan fungsi jawatan serta kedudukan dalam Perlembagaan juga tetap sama sebelum pindaan.

Khairil Azmin turut berkata, perkara pertukaran nama atau istilah Premier ini tidak perlu dijadikan isu besar berikutan kewujudan perbezaan sedia ada nama jawatan Ketua Kerajaan Negeri di setiap negeri.

"Istilah ‘Menteri Besar’ untuk negeri yang mempunyai Sultan atau Raja dan istilah ‘Ketua Menteri’ untuk negeri yang tidak mempunyai raja.

"Walaupun gelaran berbeza, jawatan tetap sama iaitu ketua kerajaan negeri yang dilantik oleh ketua negeri iaitu Sultan, Raja atau Yang di-Pertua Negeri manakala di peringkat pusat pula ketua kerajaan menggunakan istilah Perdana Menteri,” katanya lagi.

Menurutnya, faktor utama menukar nama atau istilah jawatan Ketua Menteri Sarawak kepada Premier adalah untuk menunjukkan bahawa Sarawak mempunyai kedudukan istimewa dibandingkan dengan negeri-negeri lain dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengiktirafan kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan antaranya menurut Perkara 95B dan Jadual 9 berkaitan kuasa perundangan dan kuasa eksekutif.

Kedua, Perkara 9(3) yang memberi kuasa pentadbiran keluar masuk ke Sabah dan Sarawak kepada kedua-dua negeri terbabit.

Diikuti Perkara 110 dibaca bersama Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan yang merujuk kepada kuasa kewangan.

Semua perkara di atas memberi kuasa lebih kepada Sabah dan Sarawak dan dengan jelas meletakkan Sabah dan Sarawak dalam kedudukan yang istimewa berbanding dengan negeri-negeri lain.

Pada masa sama, kuasa, hak atau autonomi yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak juga lebih daripada kuasa yang diberikan kepada 11 negeri yang lain.

Hal ini boleh dilihat menerusi sistem persekutuan atau federalisme yang diamalkan di negara ini yang membahagikan kuasa perundangan, kuasa eksekutif dan kuasa kewangan antara kerajaan pusat atau persekutuan dengan kerajaan negeri.

"Perkara 95B Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Jadual Sembilan, jelas menunjukkan bahawa kuasa perundangan dan kuasa eksekutif Sabah dan Sarawak lebih banyak dari negeri-negeri lain,” kata Khairil Azmin.

Menariknya kini, nama jawatan Ketua Kerajaan Sarawak sama dengan nama jawatan Ketua Kerajaan Melaka dan Pulau Pinang walaupun negeri Sarawak mempunyai kuasa lebih apabila dibandingkan Melaka dan Pulau Pinang.

"Perbezaan nama jawatan ini sekurang-kurangnya memberitahu masyarakat awam bahawa terdapat perbezaan pembahagian kuasa antara negeri Sarawak dengan negeri Melaka dan Pulau Pinang begitu juga dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

"Namun penting untuk memberikan penjelasan tentang penggunaan istilah Premier bagi mengelakkan kekeliruan dengan nama jawatan ketua kerajaan persekutuan,” katanya.

PREMIER ITU PERDANA

Menyentuh tentang istilah Premier yang hangat diperkatakan, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Intan Safinaz Zainudin berkata, dari segi bahasa istilah Premier itu bermaksud sama dengan Perdana dalam Bahasa Melayu.

"Namun istilah Premier tidak boleh diterjemahkan kepada Perdana kerana maknanya yang serupa dengan Perdana Menteri.

Intan Safinaz Zainudin


"Oleh itu lebih sesuai menterjemahkan istilah itu sebagai Premier iaitu pinjaman dari Bahasa Inggeris,” katanya.

Jelasnya, istilah Premier itu masih baru dan masyarakat perlu tahu perbezaan bahawa gelaran Premier itu hanya digunakan untuk konteks di Sarawak iaitu ketua kepada kerajaan di Sarawak.

"Gelaran Premier ini tidak sama dengan gelaran Perdana Menteri yang merupakan pemimpin utama kepada kerajaan Malaysia,” katanya lagi.

Untuk rekod, istilah Premier yang telah diluluskan itu hanya akan digunakan secara rasmi selepas ia dibawa kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud untuk persetujuan sebelum diwartakan. Klik di sini untuk terus membaca