SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengakui memerlukan sedikit masa berfikir dan berbincang dengan keluarga serta pelabur syarikat perniagaannya sama ada mahu melakukan penampilan semula dalam landskap... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengakui memerlukan sedikit masa berfikir dan berbincang dengan keluarga serta pelabur syarikat perniagaannya sama ada mahu melakukan penampilan semula dalam landskap politik tanah air atau sebaliknya.

Dengan tuntutan akar umbi parti mendesak Rafizi bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan bulan April ini, beliau juga menegaskan perlu melakukan solat istikharah terlebih dahulu.

"Insya-ALLAH, saya perlukan sedikit masa untuk berbincang dengan lebih banyak pihak, contohnya pemegang saham yang melabur dalam syarikat saya (sebahagian mereka pelabur antarabangsa), kakitangan dan keluarga.

"Sebab itu, saya maklumkan kawan-kawan untuk memberi sedikit masa untuk saya mengadakan solat istikharah terlebih dahulu.

"Suatu masa nanti, saya akan maklumkan sama ada memang tidak akan kembali langsung ke arena politik atau menyahut jemputan sahabat-sahabat akar umbi dalam PKR untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata demikian ketika mengulas desakan akar umbi parti itu yang dikatakan sedang berusaha memujuknya melakukan penampilan semula dan membantu memperkasakan semula PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Spekulasi kemungkinan Rafizi dan juga seorang lagi bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bakal membuat kemunculan semula dalam parti itu semakin kuat diperkatakan setelah kedua-dua mereka ‘berehat’ daripada dunia politik hampir dua tahun.

Sinar Premium difahamkan terdapat kelompok pemimpin PKR yang sedang mempertimbangkan penawaran jawatan timbalan presiden parti itu kepada Rafizi sebagai balasan sekiranya beliau bersetuju memenuhi desakan mereka.

Sebelum ini, Rafizi dan Nurul Izzah melepaskan jawatan dalam parti secara bersama dan mengumumkan pengunduran diri dari dunia politik sekitar tahun 2019 susulan masalah dalaman parti itu.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama calon PH Dr S Streram dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bergambar sambil menunjukkan isyarat empat jari sebagai tanda kedudukan keempat pada kertas undi calon PH ketika hadir bagi membantu calon PH berkempen sempena PRK DUN N27 Rantau. -Foto Bernama

Mengulas lanjut, Rafizi memahami perasaan sebilangan akar umbi yang mengharapkan rentak parti itu kembali dirancakkan dengan mereka merasakan dirinya mampu memainkan peranan membolehkan PKR kembali mendapat tempat di hati rakyat.

Secara peribadi, beliau mengakui agak keberatan untuk kembali berpolitik kerana misi politik dan amanah untuk membantu meyakinkan rakyat bahawa mereka boleh menukar kerajaan berprestasi tidak baik secara demokratik sudah tercapai pada tahun 2018.

"Sekarang ini, hasil dari perubahan tahun 2018, tidak ada parti yang boleh sombong mendabik dada dan angkuh dengan rakyat kerana mereka tahu rakyat akan hukum mereka melalui peti undi.

"Saya juga gembira dengan perniagaan berasaskan bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI) diusahakan ketika ini. Tetapi saya faham perasaan sahabat-sahabat dalam parti yang merasakan rentak parti perlu dirancakkan untuk mendapat tempat di hati rakyat.

"Mereka rasa saya ada peranan ke arah itu. Saya dengar (suara mereka) dan saya akan teliti,” tegas Rafizi lagi.

Selepas berehat daripada dunia politik, Rafizi giat mengusahakan sebuah syarikat perniagaan berasaskan bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Klik di sini untuk terus membaca