Bagi saya sesiapa yang belum dijangkiti Covid-19 adalah insan cukup bertuah kerana dalam keadaan wabak itu sudah berada dalam komuniti sejak dua tahun lalu, mereka masih terselamat. Saya tidak tergolong dalam kumpulan itu kerana telah... Klik di sini untuk terus membaca

Bagi saya sesiapa yang belum dijangkiti Covid-19 adalah insan cukup bertuah kerana dalam keadaan wabak itu sudah berada dalam komuniti sejak dua tahun lalu, mereka masih terselamat.

Saya tidak tergolong dalam kumpulan itu kerana telah disahkan positif semasa awal-awal pandemik berkenaan menyerang Malaysia.

Pada waktu itu, bimbang juga kerana masih belum menerima vaksin dan ada dalam kalangan kawan-kawan yang dimasukkan ke wad dan ada yang telah meninggal dunia.

Mungkin varian yang hinggap di tubuh saya tidak sekuat lain, saya hanya menghabiskan kuarantin di rumah tanpa sebarang simptom.

Sebagai alumni Covid-19, saya bersyukur kerana tidak mengalami kesan jangka panjang yang dialami rakan-rakan rapat seperti mengah, nafas pendek dan mudah letih.

Selepas lengkap dua dos, saya seperti sesetengah individu yang lain bimbang untuk mengambil dos ketiga kerana melihat kesan sampingan dialami ahli keluarga, sahabat dan pengakuan netizen di media sosial.

Ada ahli keluarga yang mengaku mereka menjadi kurang cergas selepas mengambil dos penggalak. Malah ada juga yang mengadu demam hingga seminggu dan mengalami komplikasi lain.

Oleh kerana bimbang dengan keadaan itu, saya mengambil keputusan menangguhkan sementara pengambilan dos penggalak kerana tidak mahu jadi seperti mereka.

Saya bimbang sekiranya mengambil booster, keadaan badan yang sedang sihat tiba-tiba menjadi tidak menentu.

TERATUR DAN SISTEMATIK

Sehinggalah apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menetapkan bahawa penerima vaksin Sinovac wajib mengambil dos penggalak jika tidak akan dilabelkan sebagai tidak mempunyai vaksin, maka saya tiada pilihan.

Saya akan menghadapi banyak kesukaran selepas ini jika tidak mengambil dos penggalak. Maka pada 10 Februari lalu, saya dengan rela hati menyerah diri untuk dicucuk di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC).

Setelah sampai di sana, saya diberi pilihan untuk memilih dos penggalak. Maka dengan senang hati saya memilih Sinovac kerana saya rasa badan saya sesuai dengan vaksin itu.

Selain Sinovac, orang ramai boleh pilih sama ada mahu dicucuk Pfizer atau Astrazaneca. Setakat ini itu pilihan yang ada.

Petugas di IDCC juga bagus dalam menjalankan tugas masing-masing. Semuanya teratur dan sistematik.Walaupun tidak nampak senyuman mereka kerana ditutup dengan pelitup muka, jelas terpancar sikap mesra dan baik hati.

‘Tukang cucuk’ juga menjalankan tugas dengan efisien dan sedia menjawab persoalan yang ditujukan oleh orang ramai. Tanyalah apa saja asalkan relevan, mereka sedia membantu tanpa jemu.

Bagi saya ia adalah pengalaman manis kerana prosesnya berjalan lancar dan mengambil masa yang singkat.

Tambahan pula, selepas seminggu dicucuk booster, saya sihat walafiat dan tidak mengalami sebarang kesan sampingan atau kemudaratan.

Saya juga sudah melakukan aktiviti sukan yang ringan dan tiada perbezaan dirasai sewaktu sebelum dan selepas booster. Mungkin kesan vaksin dan booster ini tidak sama bagi setiap manusia.

Semua sedia maklum, sakit atau sihat, hidup atau mati semuanya di atas ketentuan Maha Pencipta. Dengan sedikit usaha dan perlindungan vaksin ini, saya rasa sedikit yakin dan kurang bimbang apabila kes Omicron kini sudah melebihi 20,000 kes.

Walaupun ada rakan-rakan terdekat yang positif, dengan perlindungan dimiliki saya rasa dilindungi.

Kepada golongan antivaksin, jangan tuduh saya tentera upahan negara Yahudi atau ahli Illuminati pula, saya hanya rakyat marhaen yang mahukan perlindungan diri dan dapat hidup dengan sihat.

* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca