PADA tahun 2011, ramai pelabur asing berpusu-pusu ke Myanmar selepas pihak tentera melonggarkan cengkaman pemerintahannya sekali gus membuka jalan bagi melakukan perubahan demokratik dan liberalisasi ekonomi di negara itu yang didiami lebih... Klik di sini untuk terus membaca

PADA tahun 2011, ramai pelabur asing berpusu-pusu ke Myanmar selepas pihak tentera melonggarkan cengkaman pemerintahannya sekali gus membuka jalan bagi melakukan perubahan demokratik dan liberalisasi ekonomi di negara itu yang didiami lebih 50 juta orang.

Namun, seorang pemimpin awam yang juga Pengerusi Liga Kebangsaan Untuk Demomrasi (NLD), Aung San Suu Kyi ditangkap pada Februari tahun lalu selepas dia digulingkan oleh pihak tentera dan dikenakan dengan pelbagai tuduhan dengan hukuman penjara telah dijatuhkan terhadapnya baru-baru ini.

Penangkapan yang turut melibatkan beberapa pemimpin politik telah menimbulkan ketidakstabilan kepada negara tersebut apabila rakyat menentang rampasan kuasa itu.

Kumpulan hak asasi manusia turut menekan syarikat-syarikat asing untuk memikirkan semula aktiviti-aktiviti di negara tersebut berikutan rampasan kuasa yang dilakukan oleh pihak tentera pada Februari 2021 sehingga dilaporkan lebih 1,500 orang telah terbunuh.

Pada bulan lalu, kerajaan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa syarikat di seluruh dunia yang menjalankan perniagaan di Myanmar akan menghadapi risiko terlibat dalam perbuatan yang boleh mendedahkannya kepada reputasi syarikat, kewangan dan risiko terhadap undang-undang.

Para pelabur dan peniaga sebelum ini diberi amaran khusus dengan perusahaan masing-masing bertukar status menjadi milik negara berkenaan seperti dalam sektor permata dan logam berharga, hartanah dan projek-projek pembinaan serta perniagaan senjata.

Syarikat tenaga gergasi, TotalEnergies yang melabur di Myanmar berhasrat untuk meninggalkan negara itu. - Foto AFP

Syarikat tenaga gergasi, TotalEnergies dan Chevron berkata, pada bulan lepas kedua-dua perusahaan itu akan meninggalkan kerjasama dengan firma yang disokong oleh pihak tentera yang mengendalikan medan gas di Laut Andaman berikutan tekanan daripada kumpulan-kumpulan hak asasi manusia.

Sebuah pertubuhan hak-hak asasi manusia, Human Rights Watch berkata, projek gas asli adalah sumber tunggal terbesar Myanmar dari segi pendapatan mata wang asing yang menjana lebih AS$1 bilion (RM4.19 bilion) pada setiap tahun.

Syarikat TotalEnergies dibayar lebih AS$400 juta (RM1.6 trilion) kepada pihak berkuasa Myanmar pada tahun 2019 dan 2020 dalam bentuk cukai dan hak-hak pengeluaran.

Tidak lama selepas itu, sebuah lagi firma tenaga Australia, Woodside menyalahkan keadaan hak-hak asasi manusia yang semakin merosot sebagai sebahagian daripada usahanya untuk meninggalkan Myanmar yang menyebabkan kos kepada syarikat itu sekurang-kurangnya sebanyak AS$200 juta (RM837.40 juta).

Woodside mengendalikan sejumlah tapak cari gali dan penggerudian di Myanmar.

Pada awal bulan ini pula, sebuah syarikat gergasi perkapalan dari Taiwan, Evergreen Marine memberitahu, AFP bahawa kapal-kapalnya tidak lagi akan berlabuh di sebuah terminal pelabuhan yang dimiliki oleh pihak tentera di pusat perdagangan Yangon.

Syarikat Taiwan itu tidak memberi sebab atau menjelaskan sama ada ia masih akan menghantar kapal ke pelabuhan-pelabuhan lain di negara berkenaan tetapi langkah itu disambut baik oleh kumpulan hak-hak asasi.

Syarikat berasaskan tembakau, British American Tobacco yang menggaji lebih 100,000 orang di Myanmar sebelum rampasan kuasa tentera berlaku pada tahun lalu bertindak menarik balik pelaburan di negara itu pada bulan Oktober 2020.

Sebuah lagi firma tenaga boleh diperbaharui dari Perancis, Voltalia juga telah bertindak meninggalkan negara tersebut.

BOIKOT

Pengumuman pada Isnin lalu oleh syarikat pengeluar minuman keras bir, Kirin dari Jepun untuk menarik keluar kilangnya dari Myanmar dibuat selepas berbulan-bulan berlakunya perbalahan di negara tersebut berikutan rampasan kuasa tentera sekali gus mendorong syarikat itu untuk menyatakan kebimbangan mengenai hak-hak asasi manusia.

Bagaimanapun, minuman bir telah diboikot oleh penduduk di negara tersebut sejak rampasan kuasa tentera berlaku pada tahun lalu.

Pemboikotan itu dilakukan terhadap apa jua jenis perniagaan yang mempunyai kaitan dengan pihak tentera yang telah merampas kuasa sekali gus menumbangkan sebuah kerajaan awam selepas memenangi pilihan raya umum pada November 2020.

Sebuah syarikat pembuat kenderaan dari Jepun, Toyota sepatutnya melancarkan pembuatan di kilang Myanmar pada tahun lepas tetapi kemudian bertindak menangguhkan projek itu.

Kilang-kilang Myanmar pernah menjadi pembekal kepada banyak jenama pakaian popular sepanjang dekad lalu tetapi beberapa syarikat antaranya dari Itali iaitu Benetton bertindak berhenti daripada membuat pesanan baharu selepas rampasan kuasa yang dilakukan oleh pihak tentera.

Sebuah syarikat gergasi tenaga dari Perancis, EDF telah menggantung penglibatannya dalam projek bernilai AS$1.5 bilion (RM6.28 bilion) untuk membina sebuah empangan hidroelektrik, Shweli-3, bersama rakan kongsi konsortiumnya, Marubeni dari Jepun dan Ayeyar Hinthar dari Myanmar.

Penyokong Suu Kyi memegang foto pemimpin itu.

Tidak lama selepas pengambilalihan kuasa oleh tentera, syarikat Suzuki dari Jepun bertindak menggantung operasi pengeluaran di dua kilangnya di Myanmar tetapi kemudian membuka semula dengan cepat kemudahan tersebut yang memasang kenderaan untuk pasaran tempatan.

Sebuah kumpulan hotel dari Perancis iaitu Accor yang mempunyai sembilan buah hotel di Myanmar menyatakan pada Jumaat bahawa ia telah membuat pilihan untuk tinggal di negara itu buat masa sekarang dan mengekalkan sokongan terhadap 1,000 pekerjanya dan untuk masyarakat yang berada berhampiran dengan hotel-hotelnya.

Pada tahun lepas, syarikat komunikasi Telenor dari Norway mengumumkan bahawa ia merancang untuk menjual anak syarikatnya iaitu Telenor Myanmar.

Namun, syarikat itu kemudian memetik permintaan daripada pihak junta tentera Myanmar yang memintanya memasang peralatan pemantauan pada rangkaian sebagai alasannya untuk meninggalkan negara tersebut.

Menurut laporan media tempatan, satu jualan dicadangkan kepada syarikat kewangan Lubnan, M1 Group dan sebuah konsortium yang diketuai oleh seorang tokoh yang rapat dengan junta tentera yang memerintah telah diluluskan oleh piahk tentera.

Perjanjian itu akan meletakkan data peribadi berjuta-juta pelanggan akan diperoleh oleh pihak junta tentera Myanmar. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca