SHAH ALAM - Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menggesa kerajaan Malaysia mencontohi usaha Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) membasmi sepenuhnya operasi sindiket pengambilan pekerja... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menggesa kerajaan Malaysia mencontohi usaha Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) membasmi sepenuhnya operasi sindiket pengambilan pekerja asing ke Malaysia yang menggunakan sistem monopoli.

Setiausaha Agungnya, Dr Sukumaran Nair berkata, keputusan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad memberi peluang sama rata kepada semua agensi pengambilan pekerja asing berlesen untuk menguruskan pengambilan rakyat negara itu bekerja di Malaysia juga dianggap tindakan tepat.

Hal ini kerana beliau mengakui masalah 'gangguan' pihak tertentu mengeksploitasi rakyat Bangladesh yang hendak mencari pekerjaan di luar negara termasuk Malaysia menyebabkan sebahagian besar mereka terpaksa menggadaikan segala harta benda bagi memenuhi keperluan sindiket.

Masalah itu diburukkan dengan dakwaan terdapat pihak tertentu dari Malaysia dan Bangladesh sedang melobi untuk meminta kerajaan membenarkan hanya 25 syarikat sahaja membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh.

"Sekiranya keputusan hanya menamakan 25 ejen pengambilan pekerja dari Bangladesh berkenaan diluluskan, maka Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri perlu mengimplementasikan saluran lain bagi mewujudkan opsyen pengambilan khas pekerja negara berkenaan.

"Keadaan ini akan menjadi lebih kurang sama dengan sistem SPPA dikendalikan Synerflux Sdn Bhd sekitar tahun 2016 hingga 2018 sewaktu langkah pengambilan khas itu dibuat.

"Bagi mewujudkan eksploitasi dan pengambilan pekerja asing, sesebuah pihak itu perlu mempunyai keupayaan mengawal proses permohonan permit pekerjaan sah untuk diluluskan selain kebenaran visa memasuki negara ini dan sistem SPPA seolah-olah membuka jalan ke arah itu," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Sukumaran turut menggesa kerajaan tidak mengehadkan jumlah syarikat yang dibenar membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh bagi mengelak monopoli kumpulan tersebut seperti pernah berlaku sekitar tahun 2016 hingga 2018.

PERSAINGAN SIHAT

Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi juga mendakwa hanya 10 syarikat dibenarkan mengambil pekerja asing pada 2016 sehingga mewujudkan monopoli.

Namun, dengan 25 syarikat, Yong Hooi mengakui keadaan itu bakal mewujudkan situasi baharu iaitu oligopoli yang menyebabkan tindakan salah satu syarikat terpilih itu boleh mempengaruhi harga pasaran dan mempunyai kesan ketara ke atas pesaingnya.

Mengulas lanjut, Sukumaran tidak menolak kemungkinan ahli-ahli sindiket pengambilan pekerja asing yang memulakan sistem SPPA pada tahun 2016, juga merupakan pihak sama yang sedang melobi kerajaan ketika ini.

Bagaimanapun, beliau menarik nafas lega setelah kerajaan Bangladesh kali ini menolak sebarang permohonan pengambilan rakyat negara itu bekerja di Malaysia dengan menggunakan kaedah hampir menyerupai sistem berkenaan.

"Berikutan itu, PAPSMA menggesa Kementerian Sumber Manusia untuk meneliti semula status pekerja antarabangsa di negara ini di samping menyokong hasrat kami menolak sebarang penglibatan mana-mana sindiket yang berterusan mencemarkan ketelusan proses pengambilan pekerja di bawah Akta Pekerja 1955 dan Akta Persaingan Malaysia 2010.

"PAPSMA turut menyokong usaha BAIRA dalam menolak amalan pengambilan pekerja asing ke Malaysia melalui sindiket tertentu yang cuba mengamalkan sistem monopoli.

"Kami semua percaya dalam kaedah persaingan sihat dan pasaran terbuka dalam membekalkan pekerja asing untuk keperluan pelbagai industri di negara ini," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca