SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menafikan dakwaan beliau tidak mengemukakan surat peletakan jawatan kepada parti sewaktu mengundur diri daripada dunia politik pada tahun 2019, sekali gus dianggap... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menafikan dakwaan beliau tidak mengemukakan surat peletakan jawatan kepada parti sewaktu mengundur diri daripada dunia politik pada tahun 2019, sekali gus dianggap sebagai Naib Presiden ‘tidur’.

Sebaliknya, beliau menegaskan surat berkenaan sudah diserahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Oktober 2019, dengan salinannya diberikan kepada Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Nurul Izzah Anwar yang ketika itu masih menggalas jawatan Naib Presiden parti.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut menjelaskan pucuk kepimpinan parti tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap surat peletakan jawatan berkenaan, namun beliau menganggap mereka menerima dan menghormati keputusan itu.

Berikutan itu, Rafizi menyifatkan tindakan segelintir pihak dalam PKR mendakwa parti tidak menerima sebarang rekod peletakan jawatan dan menganggap beliau sebagai Naib Presiden ‘tidur’, hanyalah ‘cerita rekaan’.

"Saya telah menghantar surat (peletakan jawatan) kepada Datuk Seri Anwar pada 2 Oktober 2019 dengan lampiran surat disertakan sebagai bukti.

"Parti tidak ada maklum balas tetapi saya anggap mereka terima dan hormat keputusan saya."(Mengenai dakwaan Naib Presiden ‘tidur’) segelintir (pihak) dalam parti memang suka mereka-reka cerita untuk memburukkan saya,” katanya kepada Sinar Harian, Khamis.

Beliau mengulas dakwaan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Damansara, Syed Badli Shah Syed Osman bahawa PKR tidak pernah menerima sebarang rekod peletakan jawatan Rafizi sehingga kini.

Spekulasi kemunculan semula Rafizi (kiri) dan Nurul Izzah (kanan) kini menjadi buah mulut dalam kalangan akar umbi PKR. Anwar (tengah).

Justeru, Syed Badli Shah beranggapan secara teknikalnya Rafizi bukanlah layak dianggap membuat kemunculan semula dalam dunia politik, sebaliknya lebih kepada tindak-tanduk seorang pemimpin yang baru ‘terjaga daripada tidur’ setelah sekian lama ‘menghilangkan diri’.

Menerusi kandungan surat peletakan jawatan Rafizi yang dilihat pemberita, beliau didapati menarik diri sepenuhnya daripada parti dengan mengambil cuti tanpa had (indefinite leave), selain memohon ketidakhadirannya dalam sebarang mesyuarat tertinggi parti termasuk Kongres Nasional PKR direkodkan secara rasmi.

Bagaimanapun, Rafizi menerusi kandungan surat berkenaan turut memberikan satu tempoh masa di mana beliau dengan serta-merta dianggap meletakkan semua jawatan dalam parti sebaik sahaja Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Justeru, timbul persoalan sama ada status peletakan jawatan bekas Setiausaha Agung PKR itu masih dianggap sah selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020, susulan proses pengambilalihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar tidak menjadi kenyataan.

Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan beliau enggan berterusan melayan dakwaan dan kritikan dilemparkan terhadapnya oleh segelintir pihak dalam PKR kerana perbuatan itu adalah pilihan masing-masing.

Jelas beliau, perkara itu berlaku mungkin disebabkan ketidakhadirannya di dalam parti yang memberi kelebihan kepada kelompok berkenaan.

"Dalam mana-mana parti ada budaya ini, (saya anggap sebagai) asam garam politik kepartian.

"Itu pilihan masing-masing (mengkritik dan mendakwa) kerana ketidakhadiran saya di dalam parti memberi kelebihan kepada mereka,” ujar beliau lagi.

Klik di sini untuk terus membaca