"BOLEH saya tanya soalan bodoh?,” tanya Pak Din sambil membelek surat khabar.
"Tanya sahaja. Ramai orang berjaya dengan bertanya soalan dan buat kenyataan tak masuk akal,” jawab saya.
"Ramai bercerita had gaji minimum. Ada bermacam pendapat. Soalan aku, kenapa tak ada orang tanya tentang had gaji maksimum?” tanya Pak Din.
"Kenapa dengan had gaji maksimum pula?,” tanya saya.
"Ada orang bijak pandai cakap, kalau had gaji minimum dinaikkan boleh menyebabkan inflasi meningkat."Persoalannya, apakah kenaikan gaji minimum akan menyebabkan inflasi? Dan lagi, adakah akan meningkatkan harga barang?” tanya Pak Din.
"Jadi, jawapannya?” tanya saya lagi.
"Yang pertama, kita kena faham dulu apa itu inflasi,” jelas Pak Din bak kata pepatah, tahu di dalam lubuk.
"Silakan,” kata saya sambil menatap mata Pak Din yang sedang bersinar-sinar.
"Kata bijak pandai secara ringkasnya, inflasi merujuk kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan dalam ekonomi pada satu-satu masa yang berkait dengan susut nilai duit itu sendiri,” jelas Pak Din.
"Kaitan dengan kenaikan had gaji minimum?,” tanya saya.
"Kata bijak pandai lagi, apabila gaji minimum naik, bermakna akan banyak duit di pasaran dengan kuasa membeli besar, maka nilai duit akan berkurang.
"Nilai duit berkurang kerana lambakan duit dalam pasaran menyebabkan barang dan perkhidmatan berkurang menghasilkan kenaikan harga.
"Sebab itu, kenaikan had minimum gaji akan menyebabkan masalah inflasi lebih meruncing. Ini aku baca dalam surat khabarlah,” kata Pak Din yakin.
"Gaji tak naik pun, ramai hilang kerja dan pendapatan, jatuh miskin, harga barang tetap naik. Inflasi pun meningkat kata bijak pandai seperti yang diukur melalui indeks harga pengguna,” kata saya.
Pak Din menggaru kepalanya yang tidak gatal, ibarat kata pepatah, bagai kucing kehilangan anak agaknya.
"Apa kaitannya dengan had gaji maksimum?” tanya saya.
"Itulah aku cuba nak kaitkan ni. Tapi kau dah kata gaji tak naik, harga barang naik juga, aku dah pening,” jawab Pak Din.
"Katanya, kalau jadi akhir tahun ini akan dinaikkan had gaji minimum kepada RM1,500 ya?,” tanya saya.
"Ya, cuma aku rasa eloklah dinaikkan had itu. Ramai memerlukan kenaikan gaji untuk hidup. Sebelum ini bertahun-tahun sebelum pandemik pun, syarikat dah banyak untung. Ada juga syarikat yang tidak pernah beri kenaikan gaji.
"Macam aku, pernah kerja sembilan tahun dengan sebuah syarikat tapi tak pernah ada kenaikan gaji. Yang ada, bila kerajaan umum kenaikan gaji, baru ada pelarasan gaji. Walaupun macam ada kenaikan tapi itu lebih kepada pelarasan sahaja,” kata Pak Din lagi.
"Bonus pernah dapat?” tanya saya.
"Bonus lagilah tak pernah,” kata Pak Din kecewa dengan masa lalu.
"Tapi sekarang dah berniaga sendiri baguslah tu. Nanti bila ada pekerja sendiri, Pak Din kenalah beri gaji minimum ikut saranan kerajaan,” kata saya.
"Aku berniaga kecil-kecil sahaja. RM1,500 itu banyak juga. Kalau perniagaan aku untung, bolehlah kot,” kata Pak Din tersenyum.
"Pulak!,” kata saya.
"Aku rasa berkenaan had gaji minimum ini, kalau dikatakan menyebabkan inflasi, kita boleh sahaja seimbangkan. Itu yang aku nak kaitkan dengan had gaji maksimum,” tiba-tiba Pak Din seperti mendapat akal. Melihatkan matanya bersinar, bak kata pepatah lagi, laut budi tepian akal.
"Macam mana tu?” tanya saya.
"Gaji menteri, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua pegawai eksekutif yang sekarang ini puluh ribu dan ratus-ratus ribu, dihadkan sahaja kepada RM10,000 sebulan, tidak boleh lebih. Nanti kalau kerajaan menaikkan had gaji minimum rakyat jelata, akan seimbanglah kuasa membeli dan menstabilkan inflasi kan?,” kata Pak Din sambil ketawa.
Kenyataan Pak Din, bak kata pepatah ibarat rantai besi dimakan bubuk.
Tetapi jika dikaitkan dengan teori permintaan dan penawaran, maka ada logiknya. Apakah pula pendapat tuan puan?
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca