HAKIKATNYA, isu kepentingan penjagaan kesihatan tidak pernah pudar dimomokkan kepada masyarakat agar menjadi sihat dan sejahtera.
Apabila rakyat sihat, secara langsung akan memakmurkan negara. Negara menjadi makmur bukan sahaja kerana rakyatnya ceria dan rasional, malah peruntukan kesihatan yang berbilion ringgit setahun untuk rawatan dan kemudahan pesakit dapat disalurkan kepada kegiatan ekonomi yang lain pula.
Pun begitu, sehingga kini impian menjadikan negara Malaysia sihat dan makmur hanya sekadar impian kerana peratusan rakyat berpenyakit kronik adalah antara tertinggi di Asia. Itu belum termasuk data-data berkaitan masalah obesiti, kesihatan mental dan persekitaran yang bersih serta sihat.
Menurut perspektif psikologi, terdapat tiga perkara penting saling berkait rapat dalam menjaga kesihatan diri iaitu kesihatan mental, emosi dan fizikal. Ketiga-tiga komponen tersebut akan terjaga dengan baik sekiranya kita serius menguruskan pemakanan, tidur berkualiti dan melakukan aktiviti senaman.
Sebetulnya, kesedaran rakyat untuk menjaga pemakanan, tidur cukup dan konsisten melakukan aktiviti senaman amat rendah.
Yang jelas, budaya makan pada larut malam, tidur lewat sehingga menjengah jam 2 hingga 3 pagi serta tidak larat untuk senaman kerana tidak cukup tidur menyebabkan kesihatan mental, emosi serta fizikal boleh terjejas dalam jangka masa panjang. Kesan tidur lewat juga mendorong seseorang itu culas untuk bangun solat Subuh dan melakukan ibadat-ibadat lain.
Merujuk artikel dalam buku Isu-Isu Semasa Islam dan Sains (2018), menurut perspektif Islam, kesihatan bermaksud seseorang yang selamat dan sejahtera menjalani kehidupan dari sudut spiritual (al-Din), fizikal (al-Nafs), mental (al-Aql), keturunan (al-Nasl), maruah (al-Irdh) dan akhlak berlandaskan syariah.
Natijahnya, dengan kesejahteraan hidup, mereka mampu untuk berinteraksi dengan Penciptanya, keluarga, komuniti dan persekitaran yang didiami dengan penuh kesantunan.
Menurut Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Begitu seriusnya hal penjagaan kesihatan, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang telah diluluskan Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2020 merupakan tawaran baharu (new deal) kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat.
Bagi mengukuhkan lagi peranan dan pelaksanaan ANMS, Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Kabinet ANMS yang dipengerusikan Perdana Menteri, manakala Jawatankuasa Pemandu ANMS dipengerusikan Menteri Kesihatan pada 16 Jun tahun lalu.
Secara umumnya, terdapat empat teras utama ANMS iaitu promosi pembudayaan hidup sihat, perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, kawalan kesihatan kendiri dan kebersihan persekitaran.Namun, ANMS tidak akan berjaya selagi rakyat sendiri tidak bekerjasama dengan pihak kerajaan, swasta dan pelbagai agensi bukan kerajaan untuk merealisasikannya.
Menurut Jabatan Statistik Malaysia, perbelanjaan isi rumah bagi 2019 berdasarkan pendapatan purata RM4,534 sebulan mendapati perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan hanyalah 2.1 peratus berbanding 13.9 peratus untuk makan di restoran dan hotel serta 2.3 peratus bagi membeli rokok serta minuman alkohol.
Ia bermakna, kesedaran rakyat Malaysia berbelanja untuk menjaga kesihatan masih rendah berbanding dengan tuntutan perbelanjaan yang lain.
Pada hemat saya, kecenderungan menjaga kesihatan sepatutnya menjadi keutamaan kerana sihat atau tidak diri kita bergantung kepada kawalan kita sendiri dan bukannya orang lain menentukannya.
Oleh itu, ubahlah cara hidup dengan menguruskan pola pemakanan, masa tidur dan aktiviti senaman secepat mungkin sebelum kita dihambat penyesalan.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca