NEGARA mungkin akan melihat perubahan dasar dalam agihan spektrum internet generasi kelima (5G) daripada model Single Wholesale Network (SWN) kepada Dual Wholesale Network (DWN). Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar... Klik di sini untuk terus membaca

NEGARA mungkin akan melihat perubahan dasar dalam agihan spektrum internet generasi kelima (5G) daripada model Single Wholesale Network (SWN) kepada Dual Wholesale Network (DWN).

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, kedudukan Digital Nasional Berhad (DNB) dan model SWN atau DWN yang menjadi perdebatan serta polemik akan diselesaikan pada awal Mac ini.

Annuar berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Kementerian Kewangan (MOF) diarahkan Jemaah Menteri untuk memuktamadkan konsep serta perjalanan masa depan perkhidmatan teknologi maklumat itu.

Kesimpulan daripada kenyataan Annuar itu ialah perubahan dasar pelaksanaan 5G negara mungkin berlaku kerana ada polemik, bukan kerana kegagalan model SWN.

Polemik akan sentiasa ada kerana apa sahaja dasar kerajaan terdedah kepada kritikan, komentar dan pandangan berlainan. Benar, kerajaan perlu membuat keputusan berdasarkan kepentingan sebahagian besar majoriti rakyat dan negara.

Realitinya, polemik sahaja tidak cukup untuk mengubah dasar 5G. Sudah tentu ada lobi lebih besar di belakang tabir dalam menggesa perubahan tersebut.

Kebimbangan ramai orang adalah perubahan dasar akan menjejaskan tempo pelaksanaan 5G ke seluruh negara.

Bagi majoriti rakyat terutama industri kecil dan sederhana di luar bandar, kita mahu pelaksanaan 5G tidak mengulangi masalah infrastruktur dan liputan 4G.

Teknologi 4G mengambil masa begitu lama untuk sampai ke luar bandar dan kelajuan disediakan juga sangat rendah berbanding negara serantau.

Pelaksanaan sekarang pasti akan diperlahankan jika kabinet membuat perubahan dasar tersebut. DNB perlu merombak semula keseluruhan strategi perniagaan mereka.

Pembiayaan kewangan yang mereka peroleh berdasarkan kedudukan sebagai pemborong tunggal rangkaian 5G mungkin akan dinilai semula oleh institusi kewangan terbabit.

RHB Investment Bank dalam nota penyelidikannya pada 25 Januari berpendapat, model DWN akan menyebabkan lebih banyak cabaran, bakal menangguhkan pelaksanaan 5G dan menyumbang kepada kapasiti berlebihan dalam jangka panjang.

Justeru, secara teorinya persaingan lebih daripada satu perkhidmatan borong 5G akan menjadikan harga lebih kompetitif, namun realitinya tidak sedemikian.

KOS PEMBANGUNAN INFRA

DWN boleh menyebabkan kos per gigabait akan menjadi tinggi kerana terdapat dua entiti akan membangunkan infrastruktur di kawasan sama. Kos pembangunan infra itu akan diterjemahkan dalam caj kepada pengguna.

Tujuan model SWN dan DNB digunakan adalah untuk memastikan infrastruktur 5G dibangun serta dinaik taraf secara menyeluruh ke seluruh negara tanpa mengambil kira kuasa beli atau permintaan pengguna.

Kewujudan satu lagi entiti bersifat komersial sepenuhnya turut menimbulkan persoalan. Apakah mereka akan membangunkan infra 5G di kawasan yang tidak memberi keuntungan?

Kemungkinan paling besar akan berlaku – model DWN akan menyebabkan kawasan luar bandar tertinggal kerana pasaran utama 5G berada di bandar-bandar besar.

Akhirnya DNB terpaksa menanggung kerugian membangunkan infrastruktur 5G di luar bandar tetapi konsortium syarikat telekomunikasi mengaut keuntungan dengan menumpukan di kawasan bandar.

Satu lagi pertimbangan perlu dibuat oleh kabinet adalah kredibiliti negara di peringkat antarabangsa. Ericsson, sebuah syarikat peneraju dunia dalam teknologi 5G telah memenangi tender pembekalan peralatan 5G.

Walaupun tiada jaminan DNB dan model SWN akan memuaskan hati rakyat, namun ia harus diberi peluang setelah bertahun kajian serta pendengaran awam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pasukan Petugas 5G Kebangsaan.

Jangan nanti kerajaan dilihat seperti tikus membaiki labu dengan menjadi flip-flop hanya kerana pelobi.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca