[MUKADIMAH] Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dianggap underdog (bukan pilihan) kerana akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor buat kali pertama. Sebagai sebuah parti baharu, rakyat ingin melihat parti itu menampilkan lebih... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dianggap underdog (bukan pilihan) kerana akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor buat kali pertama.

Sebagai sebuah parti baharu, rakyat ingin melihat parti itu menampilkan lebih ramai anak muda yang sebelum ini tidak diberikan peluang dalam landskap politik negara.

Parti itu juga perlu berada di barisan hadapan dan menawarkan jalan penambahbaikan kepada kedudukan ekonomi, pengangkutan, alam sekitar dan rumah mampu milik bagi negeri Johor.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid dan Nurul Huda Hussain serta jurukamera, Mohd Halim Abdul Wahid bersama Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Kompleks Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini bagi mengetahui lebih lanjut tentang parti itu dan strategi menghadapi PRN Johor.

SINAR AHAD: Muda buat pertama kalinya bertanding dalam pilihan raya. Bagaimana Yang Berhormat (YB) melihat peluang Muda di Johor?

SYED SADDIQ: Muda sedar kedudukan sebagai parti baharu, kami underdog (bukan pilihan) menyertai PRN. Dengan itu kita tidak boleh angkuh dan bodoh sombong serta saya agak yakin rakyat ingin melihat parti seperti Muda menampilkan lebih ramai anak muda yang sebelum ini tidak diberikan peluang dalam landskap politik negara untuk menjadi frontliner (barisan hadapan) dan menawarkan jalan penambahbaikan kepada kedudukan ekonomi, pengangkutan, alam sekitar dan rumah mampu milik di Johor.

Mereka mahukan perjanjian dan permulaan baharu untuk jangka masa panjang. Menang atau kalah, fokus Muda adalah untuk berkhidmat kepada rakyat Johor.

Walaupun jadi pembangkang, kita tetap ingin membuktikan bahawa kita pembangkang yang matang, berpadu, lantang bersuara mempertahankan hak rakyat dan ini dijadikan fokus Muda.

Bukan soal politik kerusi, jawatan Menteri Besar dan politik lain. Kita mahu menjadi pembangkang yang baik dan efektif, pada masa sama fokus kepada tawaran pembaharuan di Johor supaya dinikmati oleh rakyat. Tidak ada tembok yang memisahkan Muda dengan rakyat di Johor.

Syed Saddiq berkata, fokus Muda adalah untuk berkhidmat kepada rakyat Johor.

Muda sebelum ini berjaya memperoleh enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Amanah dan DAP. Bagaimana pula status rundingan kerusi PRN Johor di antara PKR dan Muda?

Muda akan keluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat berkenaan dengan status rundingan tersebut. Cuma saya faham, ramai rakan media yang ajukan bagaimana rundingan apabila PKR sudah pun mengumumkan mereka akan bertanding di 20 kerusi dan tidak ada ruang diberikan kepada Muda.

Perkara ini Muda akan respons dalam tempoh terdekat tetapi fokus Muda adalah untuk menampilkan barisan kepimpinan berbilang bangsa dan agama, fokus kepada pembaharuan dasar, politik nilai, politik khidmat dan juga politik dasar untuk kita menjadi pembangkang yang padu.

Dengan ini kita berikan tawaran dan kita berharap rakyat memberikan peluang. Anak Johor akan memberikan peluang kepada calon-calon Muda untuk berkhidmat kepada mereka.

Calon pertama, Amira Aisya Abd Aziz telah diumumkan bertanding di DUN Puteri Wangsa. Sebagai calon masih muda dan sangat baru dalam politik, apa sebenarnya yang Muda pertaruhkan? Apa kelebihan Amira Aisya yang Muda yakin mampu menarik rakyat Johor mengundi beliau?

Walaupun Amira Aisya kurang pengalaman dalam dunia politik tetapi daripada sudut khidmat sumbangannya agak luar biasa. Walaupun dibesarkan dalam keluarga yang agak susah di Kampung Melayu, datang daripada latar belakang yang agak susah dan dibesarkan ibu tunggal tetapi beliau membuktikan kebolehannya sebagai seorang pelajar terbaik di peringkat sekolah, universiti dan pernah mendidik lebih 10,000 pemimpin Johor melalui Majlis Kepimpinan Johor.

Beliau juga pernah membawa nama Johor ke tiga negara dan buat pertama kalinya membawa model United Nations di sekolah-sekolah awam kerana sebelum ini program itu hanya bagi anak-anak keluarga kaya di sekolah swasta tetapi beliau ingin memberikan peluang kepada anak-anak di sekolah awam untuk menikmatinya dan berjaya bawa perubahan dengan mendidik ramai anak muda.

Bukan itu sahaja, sebagai seorang graduan ijazah selepas tamat pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, minatnya dalam bidang pendidikan itu agak luar biasa.

Beliau menyertai Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu) dan banyak cadangan reformasi yang dibawa seperti untuk memastikan sekolah kebangsaan, sekolah menengah diberikan perhatian yang sepenuhnya daripada sudut reformasi pendidikan atau sukatan mata pelajaran yang perlu dibawa supaya tidak ada pertindihan daripada mereka yang melalui saluran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi atau diploma.

Jadi banyak pembaharuan yang dicadangkan dan ingin dibawa, sebab itu saya rasa individu seperti Amira melambangkan apa yang Muda ingin tawarkan.

Seorang pemimpin wanita yang saya panggil ‘wanita besi Muda’, berkhidmat sekian lama, walaupun kurang pengalaman politik tetapi latar belakang berkhidmat itu agak luar biasa.

Seorang yang berprinsip, idealisme yang tinggi dan kita perlu lebih banyak wanita muda dalam landskap politik negara sebab itu Muda memilih Amira sebagai calon pertama kerana kita memerlukan lebih ramai pemimpin wanita muda yang mempunyai kredibiliti dalam politik dan kami bangga dengan prestasi Amira dan kita berharap anak Johor dapat memberikan peluang kepada Amira untuk berkhidmat dalam DUN ini.

Syed Saddiq yakin dengan kemampuan calon Muda, Amira Aisya Abd Aziz yang akan bertanding di DUN Puteri Wangsa.

PKR terkilan kerana kerusi DUN Puteri Wangsa yang pada asalnya diserahkan kepada Amanah, tiba-tiba diberikan kepada Muda. YB juga dilabel ‘lebih sudu daripada kuah’ kerana tolak tawaran PKR untuk beri 3 kerusi DUN iaitu Senggarang, Sri Medan dan Tanjung Surat dan dikatakan demand dua kerusi DUN gred A. Komen YB?

Kerusi gred A, B, C dan D ini semua ditentukan rakyat anak Johor, pengundi, paling penting adalah pembaharuan tawaran calon yang kita boleh ketengahkan.

Saya percaya dalam kita menyertai meja rundingan, penting untuk kita hormati sahabat-sahabat. Sebab itu Muda sampai hari ini tidak mendedahkan keputusan rundingan selagi ia tidak tamat, selagi itu kita menghormati kesulitan perbincangan ini. Jadi, jika ia betul-betul tamat, Muda akan memaklumkan dan akan keluarkan kenyataan susulan.

Cuma bila ada tanggapan bahawa Muda ini lebih sudu daripada kuah, kami akan buktikan dalam PRN ini dengan tawaran calon, bukti rekod khidmat dan dasar yang kami ketengahkan bahawa kita di Johor untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat, bukan berebut kuasa.

Berkenaan lantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Muda, Nurainiee Haziqah Shafii yang sebelum ini adalah calon Exco Wanita PKR Pusat 2018 dan AJK Srikandi Bersatu pada 2021. Disebabkan hal ini, UMNO kata Muda cakap tak serupa bikin bila sebelum ini janji politik bersih dan tolak politik katak?

Muda kekal tidak terima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen yang lompat dan membelakangkan mandat apabila dipilih oleh rakyat. Kita kekal dengan pendirian tersebut.

Walaupun ada yang ingin menyertai, kita tidak membenarkan kerana kita ingin mengangkat politik nilai dan menolak politik tidak berprinsip seperti ini sebab itu bagi saya apabila Langkah Sheraton berlaku, walaupun parti saya berada di tengah-tengah, saya lawan, saya tentang sampai hilang jawatan menteri, dibuang parti yang saya asaskan bersama.

Apa yang peliknya, UMNO yang menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri di Perak sebelum ini dengan membenarkan politik katak, yang menjatuhkan kerajaan Persekutuan, bersekongkol bersama Bersatu membenarkan politik katak, menjatuhkan kerajaan Sabah, politik katak.

Satu persatu membenarkan, mengangkat politik katak, kini pula hendak kata bahawa Muda yang membenarkan politik katak ini. Walhal tidak ada orang yang berkhidmat, dipilih oleh rakyat kita bawa masuk.

Sebanyak 92 peratus ahli Muda adalah mereka yang pertama kali menyertai parti politik, ada juga mereka yang berlatar belakang parti-parti yang lain kerana untuk Muda mengangkat dan memartabatkan suara rakyat, kita perlu menyatukan semua.

Sebagai contoh, mereka yang tiada pengalaman berpolitik dan juga mereka yang ada pengalaman. Afiqah Zulkilfi contohnya sebelum ini adalah totok Pas dan merupakan pemimpin mahasiswa Pas nombor dua, sampai dia digantung pelajaran kerana lantang bersuara membawa kebebasan akademik dan hak untuk mahasiswa berbahas dalam universiti.

Ada juga Al-Hafiz yang sebelum ini merupakan pemimpin tertinggi Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), ada juga beberapa nama lain. Kita ada ramai daripada parti-parti lain tetapi mereka bukan Yang Berhormat, tidak diberikan mandat oleh rakyat dan inilah orang yang kita ingin angkat, yang mungkin sebelum ini disisihkan melihat bahawa Muda adalah lembaran politik baharu, politik khidmat, politik dasar dan politik nilai yang diangkat untuk menyatukan seluruh rakyat. Bukan sekadar faktor agama dan bangsa tetapi fahaman politik juga.

Mereka ingin melihat Muda sebagai jentera, kenderaan untuk berkhidmat, mengangkat hak rakyat Malaysia, membina Malaysia yang maju dan bermaruah. Itu fokus kami. Jadi apa yang UMNO katakan, rasanya lebih baik lihat dahulu rekod mereka dalam mengangkat politik katak dan bagi Muda kita fokus untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Ada penganalisis politik mencadangkan Muda bergerak bebas dan tidak dekat dengan mana-mana parti politik untuk membawa pembaharuan sebenar kepada masyarakat. Muda dikatakan melakukan kesilapan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana dilihat Muda sebahagian dari mereka. Apa pandangan YB berkenaan cadangan ini?

Kita ingin membina Malaysia yang maju dan mengangkat rakyat yang berbilang bangsa dan agama serta fokus kepada pembaharuan dasar. Dalam hal ini, jika ada parti berkongsi idealisme yang sama, kita perlu cari titik sepakat khususnya apabila kita berdepan dengan gergasi UMNO-Barisan Nasional (BN).

Perlu ada titik sepakat tetapi jikalau ada masalah daripada segi idealisme dan pembaharuan yang ingin dibawa, Muda akan kekal dengan pendirian. Itu fokus utama kami, sebab itu dalam kita menyertai PRN Johor, kita sedia dengan apa juga kemungkinan tetapi fokus kami adalah untuk berkhidmat dan membawa politik pembaharuan dan dasar.

Atas pelbagai faktor, seperti keadaan ekonomi meruncing, ada kemungkinan peratusan rakyat yang pulang untuk mengundi di PRN Johor rendah dan ini memberi kelebihan untuk BN menang. Bagaimana Muda nak pastikan senario peratusan mengundi kurang dapat dielakkan?

Sebab itu kami berharap bahawa PRN Johor ini boleh dijadikan garis penentu kepada kebangkitan rakyat semula. Kita sudah lihat satu persatu tragedi demokrasi.

Langkah Sheraton hak rakyat dibelakangkan, jatuhkan kerajaan Johor, Sabah, Perak dan yang dipilih oleh rakyat. Selepas itu satu persatu kerajaan negeri ditumbangkan bermula di Melaka, kini Johor dan selepas ini dikatakan Perak dan Kedah selepas itu serta kemungkinan Sabah semula.

Tidak ada kestabilan langsung dan parti yang berkata bahawa mereka ingin membawa kestabilan adalah penyebab kepada ketidakstabilan tersebut. Mereka menyebabkan Langkah Sheraton, menyokong Langkah Sheraton, mereka angkat Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi tikam beliau juga, mengangkat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetapi ingin menikam beliau semula.

Kata kerajaan Ismail Sabri ini paling tidak stabil, kita perlu pergi kepada pilihan raya sekarang. Padahal ini adalah Perdana Menteri daripada UMNO juga, jadi apa yang berlaku selepas ini jikalau ada Perdana Menteri daripada UMNO yang turut tidak mahu ikut kata mereka, jatuhkan lagi sekali.

Sebab itu dalam hal ini, kita berharap bahawa rakyat akan keluar mengundi. Hendak mengundi siapa adalah hak rakyat dan kita tidak akan tahu kerana undi adalah rahsia tetapi perlu keluar mengundi kerana undi itu akan menentukan masa depan Johor lima tahun akan datang dan penting untuk kita jadikan ini titik kebangkitan kalangan rakyat supaya akhirnya kita dapat tentukan Johor sebagai negeri yang maju lima tahun akan datang.

Syed Saddiq (tengah) bersama wartawan Sinar Ahad, Mohammad Khairil Ashraf (kanan) dan Nurul Huda selepas wawancara eksklusif di Kompleks Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.

Kehadiran 750,000 pengundi muda di Johor dan permulaan kepada Undi18 dikatakan memberi kelebihan kepada Muda. Namun parti lain juga dilihat berlumba-lumba untuk mencalonkan wajah muda dan baru bagi memenangi undi golongan ini. Apa pula strategi lain Muda?

Fastabiqul khairat. Biar kita berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Saya rasa ini adalah trend yang baik kerana kita berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan membawa pembaharuan calon, cara kita berpolitik dan politik dasar serta bukan setakat untuk membinasakan atau menjatuhkan musuh politik.

Apabila lebih ramai anak muda dicalonkan oleh mana-mana parti politik, saya rasa itu adalah perkara yang baik dan kita perlu berlumba secara sihat. Bagi Muda, kita tidak sekadar melihat tawaran calon semata-mata dan calon kita agak luar biasa daripada segi umur dan trek rekod khidmatnya yang ingin dibawa.

Pada masa sama, kita ingin membawa pembaharuan politik secara keseluruhan. Kita ingin membicarakan soal dasar, penciptaan peluang pekerjaan yang berkualiti, isu gaji minimum, isu alam sekitar yang mengakibatkan banjir teruk di Johor, rumah mampu milik kerana kini hanya rumah mampu tengok dan bukannya mampu milik serta soal pengangkutan awam khususnya kawasan bandar di Johor. Ini adalah isu utama.

Saya juga selalu mengingatkan kepada pimpinan Muda bahawa hanya kerana Muda ini muda, kita mendapat sokongan anak muda. Tidak. Anak muda mahu melihat calon-calon yang berwawasan, rekod khidmat yang baik, tawaran pembaharuan yang ingin dibawa, visi apa parti itu dan semua perkara ini adalah penting. Apabila digabungkan, itulah tawaran menyeluruh bagi anak Johor dan harus dijadikan keutamaan Muda.

Syed Saddiq ketika wawancara eksklusif di Kompleks Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.

Parti Warisan mengesahkan bahawa parti itu akan bertanding dalam PRN Johor. Dengan adanya parti seperti Warisan dan Pejuang yang turut akan menyertai pilihan raya ini, sejauh manakah peratus kemenangan pembangkang dalam PRN Johor?

Saya tidak boleh mengulas mewakili pembangkang-pembangkang yang lain, tetapi bagi Muda menyertai PRN Johor buat pertama kali, kita mesti realistik. Disebabkan itu, kita ingin menawarkan politik khidmat dan politik dasar yang terbaik. Jika dipilih sebagai kerajaan atau pembangkang, kita bersedia.

Walaupun kita menjadi pembangkang tidak mengapa, kita tetap akan berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat Johor disebabkan kita ingin mempertahankan hak, ingin melatih kepimpinan kita supaya pada masa akan datang dapat menjadi parti yang menawarkan pakej yang terbaik bagi anak Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhan. Fokus kami adalah untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat.

Bagaimana dengan status Muda sebagai rakan strategik PH. Adakah Muda selepas ini akan bersama dengan PH?

Kita bincang status PRN Johor dahulu. Muda telah menandatangani perjanjian supaya tidak ada pertindihan kerusi dan pada masa yang sama mengekalkan identiti Muda untuk menggunakan logo, lambang, membawa visi dan idealisme Muda.

Pada masa sama kita tidak mahu bertindih terlalu banyak kerusi supaya kita dapat memfokuskan kepada politik dasar dan nilai yang ingin kita bawa.

Adakah Muda akan melancarkan manifesto sendiri dalam PRN Johor dan apa teras manifesto ini?

Sebagai sebuah parti yang ingin fokus kepada pembaharuan dan politik dasar, tawaran itu sangat penting. Tawaran itu jika kita berada di kedudukan kerajaan ini tawaran kita manakala jika kita berada di kedudukan pembangkang ini adalah fokus dan teras kita sebagai pembangkang yang matang.

Dalam hal ini, ada banyak teras yang dibincangkan. Isu pekerjaan dan penciptaan pekerjaan yang berkualiti, pembukaan sempadan dengan Singapura secara selamat tetapi secepat mungkin supaya ekonomi Johor dapat dihidupkan semula, perbincangan mengenai isu alam sekitar dan tawaran perjanjian hijau baharu kepada rakyat, isu insentif kepada pemain industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang teruk terkesan dan kini varian Omicron yang melanda.

Ada banyak teras utama tetapi tawaran yang kita ingin ketengahkan itu datang daripada rakyat juga kerana Muda selepas ditubuhkan telah melakukan pelbagai jenis kempen mendengar.

Bukan kita berceramah kepada rakyat tetapi kita mendengar keluh-kesah dan cadangan mereka, kita berjumpa pakar-pakar dan akhirnya satukan tawaran Muda untuk anak Johor.

Bila manifesto ini akan dilancarkan?

Dalam tempoh terdekat.

Ramai yang mengatakan sekiranya berlakunya pertandingan banyak penjuru dalam PRN Johor membolehkan BN menang. Apa komen YB mengenai perkara ini?

Tanggungjawab hakiki bagi Muda adalah untuk membawa politik dan tawaran yang baharu kepada anak Johor. Dalam kita merangka strategi untuk ke hadapan, adalah penting kita mengurangkan pertindihan kerusi. Jika ada juga dan ia tidak dapat dielakkan, anak Johor mempunyai hak untuk memilih parti mana yang akan mewakili prinsip idealisme pembaharuan yang ingin mereka lihat di Johor dan Insya-ALLAH dibawa ke peringkat persekutuan. Kuasa itu akhirnya terletak di tangan rakyat.

INFO SYED SADDIQ

Nama: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Tarikh lahir: 6 Disember 1992

Asal: Pulai, Johor Bahru, Johor

Pendidikan: Jurusan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Jawatan:Ahli Parlimen Muar

Presiden Muda

Bekas Menteri Belia dan Sukan

Bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

Klik di sini untuk terus membaca