PADA 21 Februari 1992, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Uzbekistan terjalin. Malaysia merupakan negara Asia Tenggara pertama yang mengiktiraf Uzbekistan dari rantau Asia Tengah selepas ia mencapai kemerdekaan setelah pembubaran... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 21 Februari 1992, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Uzbekistan terjalin. Malaysia merupakan negara Asia Tenggara pertama yang mengiktiraf Uzbekistan dari rantau Asia Tengah selepas ia mencapai kemerdekaan setelah pembubaran Kesatuan Soviet (USSR).

Semasa Perang Dingin, kebanyakan rakyat Malaysia dan Uzbekistan tidak mengenali antara satu sama lain akibat daripada politik Perang Dingin.

Ketika itu, rakyat Malaysia hanya tahu tentang USSR tetapi sebaik sahaja kejatuhan USSR dan kemerdekaan Uzbekistan, hubungan diplomatik Malaysia-Uzbekistan terjalin.

Walaupun kedua-dua negara terpisah akibat kedudukan geografi yang jauh, namun mereka berkongsi beberapa persamaan. Malaysia dan Uzbekistan berkedudukan strategik kerana kedua-duanya terletak di tengah-tengah rantau masing-masing.

Uzbekistan bersempadan dengan semua negara Asia Tengah (Kazakhstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Kyrgyzstan), manakala Malaysia berkongsi sempadan hampir semua negara di Asia Tenggara seperti Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Selain itu, kedua-dua negara telah berada dalam laluan perdagangan antarabangsa sejak dahulu. Misalnya, Uzbekistan telah lama menjadi sebahagian daripada laluan perdagangan yang dikenali sebagai Laluan Sutera.

Bandar-bandar seperti Bukhara, Samarkand dan Khiva pernah menjadi pusat peradaban Islam serta dikunjungi oleh pengembara seperti Marco Polo dan Ibn Batuta. Uzbekistan pernah menjadi sebuah empayar yang ulung ketika pemerintahan Amir Timur.

Begitu juga Malaysia, Melaka terkenal sebagai pusat perdagangan dan penyebaran Islam pada abad ke-15. Melaka pernah menjadi sebuah empayar yang penting di Asia Tenggara ketika Kesultanan Melayu Melaka.

Bagaimanapun kedua-dua negara pernah mengalami penguasaan empayar luar yang bukan Islam iaitu British di Malaysia dan Rusia, kemudian ideologi komunisme semasa USSR bagi Uzbekistan, namun masyarakat tempatan masih tabah dan berjaya mengekalkan identiti dan peradaban Islam sehingga hari ini.

POPULASI PENDUDUK

Selain itu, Malaysia dan Uzbekistan mempunyai penduduk yang hampir sama (kira-kira 33 juta orang) dan majoritinya Muslim. Di Uzbekistan 98 peratus penduduknya beragama Islam dan baki dua peratus lagi beragama Kristian Ortodoks Rusia.

Begitu di Malaysia, majoriti penduduk beragama Islam 62 peratus. Namun begitu, hak penduduk minoriti di Uzbekistan dan Malaysia dilindungi kerana rakyat di kedua-dua negara hidup harmoni antara satu sama lain.

Kedua-dua negara juga kaya dengan hasil bumi seperti di Malaysia merupakan pengeluar minyak kelapa sawit dan mempunyai simpanan minyak manakala Uzbekistan merupakan pengeluar kapas, minyak dan emas.

Hubungan antara kedua-dua negara bermula 30 tahun lalu ketika lawatan rasmi Presiden Uzbekistan yang pertama, Presiden Islam Karimov pada 1992.

Kemudian, dibalas dengan lawatan Perdana Menteri Malaysia keempat dan kelima, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1993 serta Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.

Pemimpin tertinggi Malaysia, Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail telah melawat negara tersebut pada 2003.

Hubungan Malaysia-Uzbekistan mencipta sejarah apabila Malaysia mendirikan pejabat kedutaan di Tashkent iaitu ibu kota Uzbekistan pada 1993, kemudian diikuti dengan penubuhan kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur pada 1999.

Kini, Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan ialah Hendy Assan. Beliau telah menyampaikan tauliahnya kepada Presiden Uzbekistan, Presiden Shavkat Mirziyoyev pada 2018.

Begitu juga Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov menyampaikan tauliah kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun yang sama.

Dari segi perdagangan dua hala bagi tempoh Januari hingga November 2021 telah mencecah AS$69.25 juta.

Antara sektor utama di Uzbekistan yang menjadi tumpuan para pengusaha Malaysia termasuk minyak dan gas asli, perabot, tekstil, barangan elektronik, kewangan dan pelancongan.

Industri pelancongan Uzbekistan khasnya pelancongan Islamik amat berpotensi dan berkemampuan menarik lebih ramai pelancong daripada Malaysia khasnya dengan pakej lawatan ke Bukhara dan Samarkard yang pernah menjadi pusat ketamadunan Islam.

Setelah 30 tahun berlalu, hubungan Kuala Lumpur-Tashkent telah berkembang daripada ‘orang yang tidak dikenali’ kepada sahabat.

Hubungan ini dijangka terus kukuh dalam masa depan terutama apabila sempadan Malaysia dibuka semula.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca