SHAH ALAM - Seladang - spesies lembu liar yang terdapat di Semenanjung Malaysia akan berakhir sepertimana nasib badak sumbu Sumatera iaitu pupus sepenuhnya jika tiada usaha yang serius dilakukan untuk menyelamatkannya.
Spesies ini kini berada dalam keadaan yang terancam iaitu hanya selangkah di belakang harimau Malaya yang dikategorikan sebagai amat terancam.
Para pakar hidupan liar tempatan menegaskan, seratus tahun yang lalu, seladang boleh dijumpai di lembah-lembah sungai di seluruh Semenanjung Malaysia.
Rizab Hidupan Liar Krau di Pahang yang diwujudkan pada tahun 1923 misalnya adalah bertujuan untuk memulihara spesies yang menakjubkan ini.
Kawasan ini dipilih kerana terdapat banyak seladang.
Kajian menunjukkan pada tahun 1938, seladang adalah haiwan liar yang begitu biasa dijumpai sehinggakan pengurus ladang kelapa sawit di Tekal, iaitu kira-kira 7 kilometer dari Rizab Krau, memasang pagar elektrik untuk mengelakkan seladang daripada memasuki ladangnya.
Malang sekali, hari ini, tiada lagi seladang liar yang dapat dikesan di Krau atau di mana-mana kawasan berhampiran dengannya.
Bagaimanapun, masih terdapat sekumpulan kecil seladang yang ditempatkan di Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan yang terletak di pinggir Rizab Hidupan Liar Krau yang diuruskan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Namun secara realitinya, seladang liar sudah tidak ditemui lagi.
"Jumlah seladang liar kini dianggarkan sekitar beberapa ratus ekor sahaja. Ia hanya boleh dijumpai di kawasan utara Semenanjung Malaysia dalam beberapa kelompok kecil yang terpisah dan tidak dapat bertemu untuk membiak,” Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dipetik sebagai berkata.
Menurut beliau, pengurangan populasi selama berabad-abad ini adalah akibat daripada kehilangan habitat dan pemburuan haram.
Alasan pemburu bahawa seladang hanyalah lembu liar mungkin menyumbang kepada kemusnahan spesies ini.
Namun ia bukan sekadar seekor lembu. Ia adalah sebahagian daripada warisan semula jadi negara sebelum lembu liar dijinakkan.
Kini, terdapat kebimbangan bahawa populasi kecil seladang liar yang masih wujud, mungkin akan pupus sama sekali.
Jika tindakan yang sewajarnya untuk memulihara spesies ini tidak diambil, Malaysia berisiko untuk kehilangan spesies hidupan liar asal yang kedua terbesar selepas gajah Asia.
INFO
Spesies hidupan terancam di Malaysia
HARIMAU MALAYA - Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) merupakan salah satu subspesies harimau belang yang masih wujud di dunia dan hanya terdapat di Semenanjung Malaysia. Daripada sembilan subspesies harimau belang di dunia, tiga daripadanya telah diisytiharkan pupus.
GAJAH PIGMI - Gajah pigmi Borneo juga dikenali dengan panggilan gajah kerdil Borneo atau nama saintifiknya Elephas maximus borneensis. Ia merupakan sub spesies terkecil di dunia dan boleh ditemui di timur Sabah dan utara Kalimantan.
PENYU - Spesies reptilia laut ini terancam akibat perbuatan rakus manusia termasuk terkena kipas bot, tersangkut pada pukat nelayan dan termakan plastik.
TAPIR - Tapir atau Tapirus indicus mempunyai warna fizikal luar hitam dan putih. Fungsi haiwan yang mendiami pelbagai habitat ini adalah penting sebagai penyebar biji benih di dalam ekosistem hutan tropika. Anggaran minimum populasi tapir di seluruh Semenanjung Malaysia adalah antara 1,100 hingga 1,500 ekor.
TENGGILING - Tenggiling atau Manis javanica adalah haiwan yang sering dirampas daripada urus niaga haram hidupan liar di Asia dan kini diambang kepupusan.
DUGONG - Mamalia ini dilaporkan hanya tinggal 100 ekor di perairan Malaysia pada 2016. Hakikatnya, bilangan populasi mamalia akuatik itu amat sedikit dengan kebanyakannya didapati di perairan negeri Johor, Sarawak dan Sabah. Dianggarkan hanya tinggal 40 hingga 50 ekor di Johor, manakala 20 hingga 30 ekor di Sabah dan Sarawak.
SIAMANG - Siamang merupakan ungka terbesar dalam famili Hylobatidae. Lengannya yang panjang digunakan untuk bergayut di dahan-dahan pokok.
BERUANG MATAHARI - Beruang matahari merupakan spesies beruang terkecil di dunia yang mendiami kawasan hutan tropika di Asia Tenggara iaitu Semenanjung Malaysia, Myanmar, Thailand, Laos, Indonesia (Sumatera) dan Borneo. Saiz badan beruang matahari sepanjang 100 hingga140 sentimeter menjadikannya spesies terkecil dalam keluarga beruang.
Sumber: Perhilitan dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF)
Klik di sini untuk terus membaca