ISU pemelukan Islam anak mualaf oleh salah seorang ibu atau bapa yang Islam kembali mendapat liputan dengan kes terbaru yang dilaporkan berlaku di Perlis. Dalam kes tersebut sepasang kembar berusia 14 tahun dan adik mereka berusia 10 tahun... Klik di sini untuk terus membaca

ISU pemelukan Islam anak mualaf oleh salah seorang ibu atau bapa yang Islam kembali mendapat liputan dengan kes terbaru yang dilaporkan berlaku di Perlis.

Dalam kes tersebut sepasang kembar berusia 14 tahun dan adik mereka berusia 10 tahun telah didaftarkan sebagai mualaf di Perlis.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin, yang menemubual mereka juga mengesahkan mereka tidak dipaksa memeluk Islam tetapi atas kerelaan mereka sendiri.

Pada 2004 melalui kes Shamala Sathiyaseelan melawan Dr Jeyaganesh Mogarajah mahkamah memutuskan ibu bukan Islam mendapat hak jagaan anak-anak yang telah diislamkan oleh bapa mualaf mereka dengan syarat antara lain berkaitan hak lawan dan ibu tersebut tidak boleh memberi makanan tidak halal, memberi didikan Islam dan lain-lain lagi.

Namun begitu ibu tersebut telah membawa lari anak-anak mereka keluar negara dan sehingga kini bapa mereka tidak dapat bertemu dengan anak-anaknya.

Dalam kes Subahsini melawan Saravanan sekitar tahun 2007 Mahkamah Persekutuan memutuskan salah seorang ibu atau bapa yang memeluk Islam mempunyai kapasiti untuk mendaftar keislaman anak-anaknya yang berumur di bawah 18 tahun.

Namun kedudukan ini diubah di dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu Indira Ghandi melawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak pada tahun 2018.

Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Ghandi tersebut memutuskan perkataan parent dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkataan mufrad hendaklah ditafsirkan sebagai kedua-dua ibu bapa. Oleh itu kebenaran kedua-dua ibu dan bapa wajib diperoleh terlebih dahulu sebelum pemelukan Islam anak bawah 18 tahun dibuat.

KUASA PERUNDANGAN

Sejak kes tersebut diputuskan kebanyakan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mengambil pendekatan terikat dengan keputusan tersebut.

Dalam kes Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melawan Wong Yang Lin Mahkamah Persekutuan terlepas peluang untuk memuktamadkan kedudukan ini sama ada mengikuti keputusan Subahsini ataupun Indira Ghandi apabila menolak permohonan mendapatkan kebenaran merayu oleh MAIS.

Dewan Undangan Negeri Perlis pada tahun 2006 telah menggubal antara lain seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perlis) 2006 yang menyatakan keperluan mendapatkan persetujuan ibu dan bapa atau penjaga bagi pemelukan Islam kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Namun pada tahun 2016 Dewan Undangan Negeri Perlis telah meluluskan pindaan kepada seksyen 117 tersebut dengan meminda frasa ‘ibu dan bapa’ kepada ‘ibu atau bapa’.

Hal yang demikian antara lain disebabkan terdapat fatwa yang diwartakan dikeluarkan oleh Mufti Perlis berkaitan kedudukan hukum syarak ini.

Dewan Undangan Negeri Perlis mempunyai kuasa membuat perundangan tersebut kerana ia terjumlah dalam perkara yang diliputi oleh Jadual Kesembilan Senarai II Butiran 1 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa kepada negeri-negeri menggubal undang-undang sedemikian.

Oleh itu, seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perlis) 2006 adalah berkaitan kapasiti pemelukan Islam Kanak-kanak bawah 18 tahun yang merupakan kuasa negeri.

Fakta bahawa Dewan Undangan Negeri Perlis telah meminda seksyen 117 tersebut pada 2016 kepada frasa ‘ibu atau bapa’ membezakan Perlis dengan negeri-negeri lain termasuklah kesan penghakiman dalam kes Indira Ghandi.

Hal ini memerlukan penelitian kemas bagi mendapatkan suatu penghakiman yang selaras dan mengelakkan mahkamah memberikan tafsiran sebaliknya.

Peranan umat Islam, berdoalah agar keputusan memihak kepada perundangan syariah.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca