RUSIA berulang kali menafikan bahawa ia merancang untuk melakukan serangan ke atas Ukraine.
Bagaimanapun, tindak-tanduk jiran Moscow ke atas Kiev sejak hujung tahun lalu lagi telah menyebabkan terdapat maklumat perisikan bahawa ia akan melakukan serangan ketenteraan ke atas negara jirannya itu pada bila-bila masa.
Dakwaan bahawa Rusia akan melancarkan serangan itu bermula selepas imej satelit menunjukkan kehadiran ramai askarnya dan peralatan tentera di sempadan Ukraine pada November 2021.
Sehubungan itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberikan reaksi terhadap kehadiran tentera itu dengan memberikan amaran bahawa Moscow akan dikenakan sekatan ekonomi oleh Barat jika ia menyerang Ukraine.
Rusia kemudian membentangkan senarai tuntutan keselamatannya kepada Barat termasuk meminta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) supaya menghentikan semua aktiviti ketenteraan di Eropah Timur dan negara jirannya itu.
Ia juga meminta NATO atau negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang lain menjadi anggotanya.
Tuntutan itu masih tidak dipenuhi oleh NATO sehingga sekarang.
Pada awal Januari lalu, Biden memberi jaminan kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy bahawa AS akan bertindak balas dengan tegas jika Rusia menyerang Ukraine.
Pelbagai maklumat kemudian tersebar tentang tarikh peperangan tersebut sehingga ia didakwa akan berlaku pada Rabu lalu tetapi peperangan yang dijangkakan itu masih belum berlaku.
Ukraine merupakan bekas anggota Kesatuan Soviet yang berfahaman komunis tetapi kini sudah berpecah dan ia pernah mengundi untuk mencapai kemerdekaan pada tahun 1991.
Setelah kejatuhan Kesatuan Soviet, NATO berkembang ke arah dunia sebelah timur dan menjadikan Estonia, Latvia dan Lithuania sebagai anggotanya.
Kesemua negara tersebut pernah menjadi anggota Kesatuan Soviet.
NATO kemudian menyatakan hasrat untuk menjadikan Ukraine menjadi anggotanya.
Namun, Ukraine menegaskan bahawa Moscow tidak dapat menghalang Kiev daripada membina hubungan yang lebih dekat dengan NATO atau sebaliknya campur tangan dalam politik di dalam negara tersebut.
Bagaimanapun, Presiden Rusia, Vladimir Putin menganggap pengembangan keanggotaan NATO itu sebagai satu ancaman dan prospek Ukraine menyertainya sebagai satu perbuatan bermusuhan.
Putin juga sebelum ini pernah menekankan pandangannya bahawa negara itu adalah sebahagian daripada Rusia berdasarkan kepada budaya, linguistik dan politik.
Walaupun sebahagian besar penduduk yang berbahasa Rusia terdapat di timur Ukraine tetapi penduduk yang berbahasa Ukraine berada di sebelah barat negara berkenaan.
Dari segi sejarahnya, Ukraine menyokong integrasi yang lebih baik dengan Eropah.
Bagaimanapun, Putin tidak pernah mengarahkan tenteranya yang berada di sempadan untuk melepaskan satu das tembakan ke arah Ukraine sejak konflik antara kedua-dua pihak tercetus beberapa bulan lalu.
Walaupun begitu, Moscow telah dituduh terlibat dalam peperangan siber terhadap Ukraine, tekanan ekonomi dan propaganda untuk membangkitkan ketegangan dengan negara berkenaan.
MISTERI
Menurut CNN, niat sebenar Rusia ke atas Ukraine sebahagian besarnya masih kekal menjadi misteri.
Pada Disember tahun lalu, Putin pernah menyindir AS bahawa Rusia tidak pernah menempatkan misil dekat sempadan negara ‘Uncle Sam’ itu.
Konflik antara kedua-dua negara tersebut dihangatkan lagi dengan dakwaan bahawa Rusia kemungkinan akan mengiktiraf ‘Republik’ Donetsk dan Lugansk yang dikuasai kumpulan propemisah Ukraine.
Rayuan itu dibuat oleh Parlimen Rusia kepada Putin untuk mengiktiraf ‘Republik’ Donetsk dan Lugansk sekali gus telah meningkatkan lagi ketegangan antara Moscow dan Kiev.
Ukraine telah memerangi golongan pemisah pro-Rusia di Ukraine timur sejak tahun 2014 dalam konflik yang menyebabkan kira-kira 14,000 orang terbunuh.
Pertempuran yang dilakukan oleh para pemisah itu kemudian berkurangan sejak Perjanjian Minsk pada tahun 2014 dan 2015 ditandatangani yang mana Rusia dan Ukraine bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata.
Bagaimanapun, Presiden Ukraine baru-baru ini menyatakan bahawa beliau tidak menyukai kandungan dalam perjanjian Minsk itu.
Perjanjian tersebut memerlukan dialog tentang pilihan raya tempatan diadakan di dua kawasan pemisah yang disokong Rusia.
Namun, Putin telah bertindak balas dengan menyatakan bahawa tidak kira sama ada Zelenskyy menyukai rancangan itu atau tidak ia mesti dilaksanakan.
Presiden Ukraine itu pernah menjadi pelakon, pelawak dan memenangi pilihan raya Presiden pada tahun 2019 sekali gus menjadi Presiden keenam Ukraine.
Walaupun peperangan belum berlaku tetapi isu tentang peperangan masih berada pada tahap mencemaskan.- Agensi
Klik di sini untuk terus membaca